16 Jan 2012

Antologi Harga Sebuah Lukisan

Syair Berbuat Jasa Tg3 PDF Cetak
Nota
Ditulis oleh Cikgu Zainudin   
Rabu, 21 Disember 2011 11:26

Syair: Berbuat Jasa
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum

MAKSUD

Rangkap
Maksud
1
Generasi muda disarankan supaya berbuat jasa kerana jasa tetap akan dikenang walaupun sudah tiada.
2
Penyair mengajak supaya berbuat jasa dan menyerahkan semuanya kepada Tuhan kerana setiap jasa yang dicurahkan akan menerima balasan di akhirat sana.
3
Penyair mengingatkan supaya kehidupan janganlah disia-siakan. Sebaliknya, berbuatlah jasa kerana jasa yang baik akan dikenang selama-lamanya.
4
Penyair menyeru agar bersungguh-sungguhlah berbuat jasa supaya segala kebaikan dapat dimanfaatkan oleh orang lain.
5
Penyair menegah supaya setiap jasa yang ditabur janganlah mengharapkan balasan dan pujian kerana keadaan sedemikian akan menyebabkan timbulnya perasaan tamak.
6
Penyair sekali lagi mengingatkan jangan mengharapkan balasan dan penghormatan memadai jasa yang dicurahkan boleh dimanfaatkan.
7
Penyair mengajak supaya sentiasa berbuat baik walaupun tidak diketahui orang kerana Tuhan lebih mengetahui.


TEMA

Kepentingan berbuat jasa.

PERSOALAN


i.                     Keikhlasan dalam pengorbanan.
Contoh:
Buatlah baik sedaya upaya,
Hidup berbakti memberi cahaya;
Sumbu pelita tidak sia-sia,
Terbakar dirinya menerangi raya. 

ii.                    Berhati-hati ketika menerima pujian.
Contoh:
Jangan menilik balas dan puji,
Atau pahalanya dikaji-kaji;
Rasa demikian tamak dan keji,
Padalah baiknya tinting dan uji.
iii.                  Persoalan budi yang baik akan berkekalan
selama-lamanya. Walaupun orang yang menabur jasa
sudah tiada lagi di dunia ini, namun jasanya tetap lagi
dikenang.
Contoh:
Hidup manusia jangan percuma,
Buatlah bakti budi utama;
Selagi baiknya kekal menjelma,
Si mati hidup selama-lama.              

BENTUK

i.              Mempunyai 7 rangkap.
ii.             Mempunyai 4 baris bagi setiap rangkap.
iii.            Semua baris adalah maksud.
iv.            Jumlah perkataan antara 4 hingga 5 perkataan sebaris.           
Contoh: buatlah jasa wahai teruna
(4 perkataan – rangkap 1)
Contoh: jasa yang kekal berfaedah murni
(5 perkataan – rangkap 2)
v.             Terdiri daripada 9 hingga 12 suku kata sebaris.
Contoh: Tu/han/ ta/hu/ i/a/kah/ bu/kan/
(9 suku kata – rangkap 7)
Contoh: cu/kup/lah/ di/si/tu/ mu/la/i/ ter/gan/tung
(12 suku kata – rangkap 6)
vi.            Rima akhir aaaa.
vii.           Bentuk syair terikat.

GAYA BAHASA

i.                     Asonansi – Pengulangan vokal a
                Contoh: buatlah jasa wahai teruna
ii.                    Aliterasi – Pengulangan konsonan b
                Contoh: buatlah bakti budi utama
iii.                  Sinkope – Pemendekan kata
                Contoh: Kamu yang mati jasa tak fana,
                 Asalkan jasamu padat berdentung.
iv.                  Inversi – Pembalikan kata
                Contoh: hidup manusia jangan percuma
                sepatutnya jangan percuma hidup manusia
v.                   Diksi – Penggunaan Bahasa Arab
                Contoh: Tuhan Rabbani
vi.                  Perlambangan
                Contohnya: buahnya, sumbu pelita
vii.                Kata Ganda –
                Contoh: selama-lama, sia-sia, dikaji-kaji
viii.               Repitisi – Pengulangan perkataan ’hidup’ sebanyak 4 kali.


NILAI

i.              Nilai keikhlasan.
                Ikhlas dalam berbuat jasa tanpa mengharapkan balasan.
                Contoh:
Pahala dan  balas jangan dihitung,
Ataupun bintang di dada beruntung,
Asalkan jasamu padat berdentung,
                Cukuplah di situ mulai tergantung.

ii.           Nilai mengenang jasa.
Budi yang baik akan dikenang.
Contoh:
Hidup manusia jangan percuma,
   Buatlah bakti budi utama,
Selagi baiknya kekal menjelma,
Si mati hidup selama-lama.

iii.    Nilai rasional.
Berfikir dahulu sebelum  menerima sebarang pujian.
Contoh:
Jangan menilik balas dan puji,
Atau pahalanya dikaji-kaji,
Rasa demikian tamak dan keji,
Padalah baiknya tinting dan uji.

PENGAJARAN

i.                     Kita haruslah ikhlas dalam melakukan sesuatu
pekerjaan supaya beroleh keberkatan.
                Contoh:
Pahala dan  balas jangan dihitung,
Ataupun bintang di dada beruntung,
Asalkan jasamu padat berdentung,
Cukuplah di situ mulai tergantung.

ii.                 Kita hendaklah mengenang jasa orang yang telah
menabur jasa kepada kita supaya hubungan yang
terjalin akan berkekalan kelak.
Contoh:
Hidup manusia jangan percuma,
Buatlah bakti budi utama,
Selagi baiknya kekal menjelma,
Si mati hidup selama-lama.

iii.                  Kita perlulah menimbang baik dan buruk sesuatu
sebelum mengambil sebarang   tindakan.
Contoh:
Jangan menilik balas dan puji,
Atau pahalanya dikaji-kaji,
Rasa demikian tamak dan keji,
Padalah baiknya tinting dan uji.

SOALAN


i.                        Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam syair ini.
ii.                        Huraikan tiga gaya bahasa yang terdapat dalam Syair
Berbuat Jasa.

JAWAPAN

i.                        Dua persoalan yang terdapat dalam syair di atas ialah Persoalan
keikhlasan dalam pengorbanan. Buktinya penyair menyeru
agar bersungguh-sungguh berbuat jasa supaya segala kebaikan
dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Kedua ialah berhati-hati
ketika menerima ujian. Buktinya penyair menegah supaya setiap
jasa yang ditabur janganlah mengharapkan balasan dan
pujian kerana keadaan sedemikian akan menimbulkan perasaan
tamak.

ii.                        Tiga gaya bahasa yang terdapat dalam syair di atas
ialah asonansi contoh buatlah jasa wahai teruna
(pengulangan vokal a). Aliterasi contoh buatlah bakti
budi utama (pengulangan konsonan b) dan sinkope –
kamu yang mati jasa tak fana.