18 Sep 2012

PENULIS MUDA


Karyawan muda ceriakan dunia sastera


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Sejak dekad lampau, kemunculan penulis kreatif muda yang sedang menuntut di luar negara makin ketara. Mereka menuntut dalam pelbagai jurusan agama, sains dan teknologi di Eropah, Afrika, negara Arab, Australia dan sebagainya.

Kebanyakan mereka pelajar aliran sains. Hal ini bukan suatu perkara yang mustahil kerana Allah menjadikan minda manusia lengkap dengan keperluan naluriah imaginasi, kreativiti, objektif, saintifik dan rasional. Ahli sains Islam, serta ulama Islam yang terkenal turut menghasilkan puisi yang kreatif lagi indah. Kemunculan penerbitan karyawan muda ini menyegarkan dunia sastera kita. Ketika kelas sastera tulen di negara ini dalam keadaan yang membimbangkan, kemunculan penerbitan karyawan muda luar negara memberi harapan baru kepada kita. Kita tidak boleh memberi harapan tinggi kepada kelas sastera tulen di negara ini untuk dapat melahirkan penulis muda yang baik. Ia adalah akibat persepsi negatif terhadap sastera, guru yang kurang terlatih, murid yang terpinggir, dan modul serta kurikulum agak lapuk. 
Karyawan muda luar negara ini, walaupun tidak menempuh pendidikan sastera formal, tahu memanfaatkan bakat yang mereka miliki. Mereka generasi muda yang pintar kerana dunia sastera memerlukan karyawan yang pintar, berfikir, sensitif terhadap isu semasa dan tahu bagaimana memasukkan pengalaman serta renungan intelektualnya ke dalam lembar puisi, cerpen atau novel.

Memang fitrah Tuhan mentakdirkan proses penggenerasian terus berlaku. Proses dialami bukan saja oleh flora, fauna, dan peralatan moden, malah yang lebih penting turut dialami oleh manusia. Sebagai hayawan natiq yakni makhluk berbahasa, manusia turut belajar daripada bahasa alam, melihat bagaimana daunan hijau muda perlahan-lahan berubah warna menjadi coklat perang; melihat bagaimana telur menetaskan burung yang kemudian melesat terbang; melihat bagaimana peralatan moden terus dicipta dan diperbaharui, ada yang semakin mengecil dan menipiskan bentuknya.

Penggenerasian manusia selalu menghadirkan polemik kaum tua dan kaum muda, bukan saja yang mengkhusus dalam ranah keagamaan seperti yang pernah terjadi di negara kita, malah meluaskan ranahnya ke medan kehidupan yang lain.

Penggenerasian tidak terjadi dalam vakum atau kekosongan. Penggenerasian terjadi bersama gerak kebudayaan masyarakat. Justeru, golongan yang mapan atau berasa dirinya mapan, akan selalu bersemuka dan berdialog dengan generasi muda mengenai pelbagai aspek kehidupan. 
Kini, kesusasteraan Melayu moden muncul daripada  latar sosial, budaya, dan zaman yang terus berubah. Di sekitar kita terjadi perubahan penting yang bukan saja membabitkan anggota masyarakat, malah penulis dan karya mereka. Oleh sebab zaman ini memberikan lebih banyak saham kepada penulis muda, maka penulis muda wajar menanggapi perubahan dalam konteks cabaran dan tantangan yang harus ditangani dengan bijaksana.

Sama ada seseorang penulis muda itu mahu menggariskan perjuangan seninya yang sekali gus bererti bersedia menghadapi cabaran, serta memetakan arah perjuangan seninya, sangat bergantung kepada tujuan mengarang. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk mencipta nama, maka namanya akan diingat buat sementara waktu. Jika tujuan mengarang hanya untuk mendapatkan wang, maka ringgit dan sennya akan habis di dunia ini. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk seni, maka ia hanya mengagungkan seni yang relatif. Akan tetapi jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang kerana menggunakan bakat untuk menjadi pendakwah seni mengandung ilmu, maka karyanya menjadi lebih bererti dan lebih lestari.

Tulisan Hassan Ahmad pada 2008 antara lain menyatakan : "Penulis mesti tahu apakah tujuan dia menulis. Kalau dia ahli sains atau sarjana dalam bidang ilmu tertentu, dia menulis untuk tujuan menyampaikan ilmunya kepada orang lain, kepada masyarakat. Itu tujuannya. Dia tidak boleh main-main. Dia mesti serius. Ini bukan kerja mudah. Dia mesti berfikir, mengolah ilmu. Tetapi bukan itu saja. Dia juga harus menguasai alatnya dan teknik penulisan dengan baik. Alat penting penulis ialah bahasa. Kalau dia tidak menguasai alat ini dengan baik, nanti ilmu yang cuba disampaikan pun boleh keliru, tidak jelas, salah dan sukar difahami pembaca. Tetapi menguasai bahasa saja belum cukup. Dia juga mesti menguasai teknik penulisan, menguasai kebolehan menggunakan bahasa secara kreatif, dengan gaya bahasa yang menarik, dan sebagainya".

Berdasarkan karya penulis muda kita di luar negara yang saya baca, saya dapati mereka terus menajamkan bakat penulisan, memasukkan bumbu ilmu ke dalamnya, membawa pelbagai latar sejagat dengan segala macam masalah alam dan manusiawi masuk ke dalam lembar puisi dan cereka, prihatin akan nasib umat manusia, dan menjadi pendakwah seni dalam kapasiti masing-masing.

Sastera Melayu moden akan merakam sumbangan penting mereka. Mereka menawarkan variasi karya untuk tatapan generasi angkatan mereka yang dikelilingi kehidupan serta teknologi yang berubah dan bergerak dengan begitu pantas sekali. Mereka menyumbang ke arah pemerkasaan rupa serta jiwa tamadun berasaskan persuratan Melayu masa depan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

15 Sep 2012

Karangan Ransangan PMR


Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang fenomena pembaziran dalam kalangan masyarakat berdasarkan gambar tersebut. Panjangnya huraian anda hendaklahtidak melebihi 120 patah perkataan.



[ 20 markah ]
Karangan contoh
Amalan berjimat cermat perlulah dipupuk sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya Malangnya, penduduk di negara kita membelakangkan amalan mulia berjimat-jimat sehingga menjadikannya satu penyakit sosial.

Masyarakat marcapada suka membeli-belah kerana pusat beli-belah dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Natijahnya, pembelian yang tidak terancang dilakukan oleh masyarakat kita tanpa menyedari besar kuali, besarlah keraknya. Oleh itu, sikap mereka menyebabkan kadar inflasi meningkat sekali gus kegawatan ekonomi berlaku.

Sumber air yang semakin terhad juga dibazirkan oleh masyarakat. Acap kali, air dibiarkan mengalir sehingga melimpah tanpa disedari. Tegasnya, prinsip ingat sebelum kena, jimat sebelum habis hanya menjadi masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Janganlah kita menyesal kemudian kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Masa itu emas, pemahamannya semakin luntur dalam kalangan remaja. Mereka melakukan aktiviti kurang berfaedah tanpa menyedari masa yang berlalu tidak akan kembali. Apakala pelajaran terjejas, hanya air mata menghiasi muka.

Intihanya, pembaziran mestilah dijauhi oleh masyarakat di seantero jagatraya. Maka, sumber alam, wang, dan tenaga dapat dijimatkan demi masa depan.
( 120 patah kata)



Karangan jenis pengalaman


KARANGAN RAMALAN 1
SOALAN: Setiap pelajar perlu menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah.
Ceritakan pengalaman anda semasa menyertai satu aktiviti tersebut.
Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti luar bilik darjah yang wajib disertai oleh semua pelajar. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum biasanya dijalankan selepas waktu belajar atau pada hari Sabtu. Antara aktiviti ini termasuklah persatuan, kelab, permainan, unit beruniform, dan sukan. Saya telah menyertai pasukan pengakap sejak tingkatan satu lagi untuk menambah pengetahuan dan pengalaman kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semasa menyertai pasukan pengakap sekolah, banyak pengalaman telah saya lalui.

Pasukan pengakap sekolah sangat aktif. Kami perlu menghadiri perjumpaan pada setiap minggu. Biasanya, kami akan dilatih untuk belajar cara-cara berkawad kaki. Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan kawad kaki unit beruniform merupakan aktiviti utama dalam agenda tahunan pasukan pengakap. Oleh hal yang demikian, saya mempelajari teknik berkawad dengan berpegang pada prinsip genggam bara api, biar sampai jadi abu. Walaupun berkawad kaki merupakan latihan yang sukar, namun saya tetap dapat menguasainya kerana saya tidak mudah berputus asa untuk mempelajari sesuatu ilmu.

Selain itu, saya dan rakan-rakan yang menyertai pasukan pengakap juga diajar cara-cara untuk mendirikan khemah. Hal ini dikatakan demikian kerana kami perlu mendirikan khemah sendiri tanpa bantuan guru pengajar sewaktu perkhemahan dijalankan. Dalam aktiviti ini, kami diajar teknik mencari batu yang sesuai, kayu yang kukuh, dan mengetahui kelengkapan yang perlu disediakan untuk mendirikan khemah. Di samping itu, kami juga diingatkan agar sentiasa mengingati kata-kata orang tua iaitu berat sama dipikul, ringan sama dijinjing sewaktu mendirikan khemah bersama kawan-kawan. Dengan berbuat begitu, bukan sahaja khemah yang kukuh dapat didirikan, malah hubungan persahabatan yang utuh seperti isi dengan kuku dapat dibina.

Di samping itu, saya juga mempelajari cara-cara untuk memberikan bantuan kecemasan. Hal ini dikatakan demikian kerana khidmat pasukan pengakap sekolah amat diperlukan apabila pihak sekolah mengadakan program seperti Hari Kantin, Hari Sukan, Hari Bertemu dengan Pelanggan dan sebagainya. Oleh sebab itu, ilmu bantuan kecemasan ini merupakan pengetahuan yang amat berguna kepada saya. Saya diajar cara membasuh luka, membalut luka, dan mengikat tangan yang patah apabila berlakunya kecederaan. Saya amat yakin bahawa ilmu dalam bidang ini menjadikan diri saya lebih kental dan tabah menghadapi cabaran sebagai pelajar kerana ilmu pelita hidup.

Sementara itu, saya turut dapat mempelajari ilmu ikhtiar hidup apabila menyertai pasukan pengakap sekolah. Hal ini memang benar kerana guru pembimbing pengakap sentiasa berkongsi ilmu dengan kami tentang pokok yang boleh dijadikan herba untuk mengubati luka dan mengurangkan kesakitan. Dalam pada itu, kami turut diajar untuk mengenal pasti pokok yang menyimpan banyak air untuk diminum. Dengan ilmu yang saya pelajari ini, persiapan untuk menyertai perkhemahan di dalam hutan akan menjadi lebih sempurna. Saya sentiasa mengingati pesanan guru pembimbang yang mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Sepanjang menyertai pasukan beruniform ini, saya juga banyak memperoleh pengalaman hidup yang berharga sebagai bekalan masa depan. Hal ini dikatakan demikian kerana saya dapat mempelajari kepentingan bekerja dalam pasukan kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Misalnya, suatu aktiviti perkhemahan yang dijalankan hanya dapat dijayakan dengan kerjasama daripada semua pihak termasuklah guru pengiring, pelatih, dan ahli pengakap. Oleh itu, saya diajar untuk menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersatu padu untuk menghadapi cabaran. Pendek kata, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Kesimpulannya, pasukan pengakap merupaka satu daripada aktiviti kokurikulum yang saya sertai. Saya yakin bahawa setiap unit beruniform mahupun persatuan dan kelab mempunyai keunikan yang tersendiri. Para pelajar harus menyertainya untuk merasai dan melalui sendiri pengalaman sewaktu menyertai aktiviti tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana tak kenal maka tak cinta. Sebagai penyimpul bicara, kita haruslah menyahut seruan Menteri Pelajaran untuk menjadikan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum sebagai kriteria penting dalam penerimaan kemasukan ke universiti atau institusi pengajian tinggi. Oleh sebab itu, jom kita aktif dalam kegiatan kokurikulum.

14 Sep 2012

Kepentingan Hutan


Mutakhir , kita seringkali didedahkan dengan kemusnahan hutan melalui dada-dada akhbar dan lohong-lohong radio. Penebangan hutan berleluasa berikutan sifat tamak manusia yang mengejar kemewahan.

Antara kepentingan hutan adalah sebagai landskap yang menjadi habitat flora dan fauna. Namun begitu, penebangan hutan menyebabkan haiwan-haiwan menjadi berkurangan. Selain itu, hutan juga merupakan sumber kayu balak serta menjadi tempat rekreasi atau ekopelancongan bagi menjana pendapatan negara. Kawasan seperti air terjun di dalam hutan lazimnya menjadi tumpuan pelancong dari segenap empat penjuru dunia. Di samping itu, terdapat juga sumber perubatan tradisional di dalam hutan seperti tongkat ali dan kacip Fatimah sebagai penawar manusia sejagat.

     Deduksinya, hutan merupakan aset penting kepada manusia. Sesungguhnya, kita bukan mewarisi alam semulajadi ini daripada nenek moyang kita tetapi meminjamnya daripada cucu –cicit kita.

Amirul Afiq 

9 Sep 2012

BAHAS PIALA PERDANA MENTERI KE-39 2012

PUTRAJAYA - Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya diumumkan sebagai juara Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-39 Sekolah Berasrama Penuh selepas menewaskan Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban dalam kategori bahasa Melayu di sini semalam.

Bagaimanapun, SDAR dipilih sebagai juara bahas bagi kategori bahasa Inggeris selepas mengalahkan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban.


Selaku juara, masing-masing membawa pulang wang tunai RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Sementara itu, Pembahas Terbaik kategori bahasa Melayu dimenangi pelajar Sekolah Datuk Abdul Razak, Muhammad Luqman Sufyan Junaidi manakala kategori bahasa Inggeris diraih Abdulrazaq Hazrin Fazail.

Mereka membawa pulang wang tunai RM1,000 dan piala iringan.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud.

Turut hadir, Pemangku Pengurus Besar Kanan Operasi Perbankan Bank Rakyat, Mustafha Abd. Razak dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sufaat Tumin.

Sumber: Kosmo

SMKA SHAMS