16 Ogo 2011

kARANGAN


KARANGAN BAHAGIAN A
Soalan:
Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada sambutan bulan kemerdekaan di sekolah. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan di sekolah pada setiap tahun. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

KARANGAN CONTOH

Hari ulang tahun kemerdekaan negara yang kita sambut setiap tahun mempunyai kebaikan dan kepentingannya yang tersendiri. Hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang perlu disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara dijalankan untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis perarakan atau perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, sambutan hari tersebut hendaklah diteruskan agar generasi muda yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan akan mengerti dan menghayati kebaikannya.

Kebaikan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ini adalah dapat memupuk semangat patriotik atau cinta akan negara. Dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, seseorang itu akan merasai pengalaman itu sendiri dan berasa megah dengan hari kemerdekaan negaranya sendiri. Perkara ini demikian kerana,tak kenal maka tak cinta, iaitu seseorang itu akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih bermakna melalui penglibatan dan penyertaannya dalam sambutan hari ulang tahun kemerdekaan atau menyaksikan majlis sambutan tersebut secara langsung.

Selain itu, dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana, pelbagai kaum yang terdapat di negara kita akan bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan diadakan. Kita dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan Bajau turut serta dalam sambutan terebut. Perkara ini tentunya akan menjadi bukti bahawa perpaduan kaum dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.

Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan juga, kita dapat menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara. Kita akan memahami dan menghayati pengorbanan serta perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita suatu masa dahulu. Mereka sanggup berkorban harta, nyawa dan tenaga iaitu seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain, semata-mata untuk memerdekakan negara kita. Jasa mereka patut dikenang kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Dengan cara itu, sebagai rakyat negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai bila-bila.

Intihanya, ulang tahun hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat negara ini dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan kempen melalui media massa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sambutan ulang tahun tersebut. Hal ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek perpaduan kaum. Sekiranya usaha ini tidak dijalankan, sudah pasti rakyat negara kita kurang menyedari kepentingan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.
[375 patah kata]

ULASAN DRAMA

SOALAN :
Pihak sekolah telah menganjurkan satu pertandingan mengulas drama berdasarkan drama yang anda tonton atau baca . Anda berminat untuk menyertainya. Sediakan ulasan drama tersebut dengan selengkapnya.

Tajuk Drama : Serunai Malam.
Nama Penulis : Usman Awang.
Sumber :Antologi Anak Laut (2000)
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pengulas :Mastura binti Salleh.

Drama “Serunai Malam” karya penulis prolifik yang juga seorang Sasterawan Negara ,iaitu Datuk Dr. Usman Awang ini sarat dengan pelbagai persoalan yang menarik. Apa yang jelas, Datuk Dr.Usman Awang cuba mengajak audiens atau khalayak pembaca meneliti mentaliti masyarakat kita, iaitu berhubung dengan perbezaan pandangan tentang kerjaya kerana perbezaan latar belakang sosial dan pendidikan.

Drama ini bermula dengan penampilan watak seorang ibu, iaitu Limah dan anaknya,Safiah. Digambarkan Safiah sedang resah menanti kedatangan Umar, iaitu tunangnya. Umar berjanji akan sampai ke rumah Safiah pada pukul 10.00 pagi. Namun begitu, sehingga pukul 11.00 pagi Umar belum juga tiba. Sebenarnya, Umar lambat sampai kerana sibuk dengan persiapan terakhir bagi majlis konvokesyen di universitinya yang akan berlangsung pada pukul 2.30 petang itu. Setelah Umar tiba di rumah Safiah, masing-masing bertukar pendapat berhubung dengan kerjaya Umar, iaitu sama ada menjadi guru atau pegawai MSC atau Foreign Service.

Pada hari yang sama ayah dan ibu Umar dijangka akan sampai dari kampung. Namun, hanya ayah Umar, iaitu Majid yang datang ke rumah Saifiah kerana ibu Umar sibuk dengan majlis potong jambul di rumah anak buah mereka di kampung. Majid turut membawa buah-buahan dari kampung dan disambut mesra oleh Safiah dan ibunya. Ketika Majid sampai, Umar tidak ada di rumah kerana ada urusan berkaitan dengan konvokesyennya.Tidak lama kemudian, Umar pulang ke rumah tersebut, dan perbincangan berhubung dengan soal pemilihan kerjaya diteruskan semula antara Safiah dengan Umar. Safiah mahu bakal suaminya itu menjadi pegawai MSC supaya dia berpeluang tinggal di luar negeri. Umar pula bertegas mahu menjadi guru. Mereka bertelingkah sehingga menyebabkan Safiah menangis. Umar cuba memujuk Safiah dengan bijaksana dan berjaya mempengaruhi pemikirannya Umar membangkitkan kisah manis mereka ketika bertemu di Selat Tebrau. Masing-masing tersenyum dan bertambah mesra dan kelihatan bahagia. Ibu Safiah muncul dan ikut tersenyum mengerti. Lagu ‘Serunai Malam’ turut mengalun seolah-olah mengerti akan kehadiran dua jiwa yang sedang memadu kasih.

Drama “Serunai Malam” ini cuba mengungkapkan pelbagai persoalan menarik. Antaranya ialah perbezaan pandangan antara orang kota dengan orang bandar. Umar dan Safiah datang daripada latar belakang sosial yang beza. Umar berasal dari desa, manakala Safiah berasal dari kota. Oleh itu, tidak hairanlah jika Safiah lebih suka jika Umar menjadi pegawai MSC , sedangkan Umar pula lebih suka menjadi guru. Dengan menjadi guru,dapatlah dia mencurahkan bakti kepada anak desa. Dalam hal ini, sudah tentu sebagai warga kota , Safiah tidak suka tinggal di desa dan dia lebih suka menetap di bandar atau luar negara. Perbezaan pandangan antara generasi muda dengan generasi tua juga cuba disingkapkan dalam drama ini. Ayah Umar yang amat mementingkan waktu solat terus solat apabila tiba waktu sembahyang. Umar dan Safiah pula asyik meneruskan perbincangan atau berbual-bual sedangkan mereka tahu bahawa waktu sembahyang atau solat telah pun tiba. Begitulah perbezaan antara generasi tua dengan generasi muda dalam soal keagamaan. Generasi tua lebih mementingkan soal keagamaan berbanding dengan generasi muda. Pakaian yang dipakai oleh Safiah dianggap kurang manis oleh ayah Umar, iaitu Pak Majid. Bagi Umar, dia tidakpun berasa aneh dengan pakaian Safiah. Mungkin pendedahan hidup di kota dan akibat pengaruh modenisasi telah turut memodenkan pemikiran Umar berhubung dengan pakaian.

Sebagai pengulas drama, saya ingin melahirkan rasa kagum dengan kebolehan penulis drama ini “menyuntik” pelbagai nilai murni dalam drama beliau itu. Antara nilai murninya ialah tolong-menolong antara satu sama lain. Nilai ini begitu dominan dalam masyarakat Melayu khususnya mereka yang tinggal di desa. Sebagai contohnya, ibu Umar sanggup tidak datang ke majlis konvokesyen anaknya, Umar semata-mata kerana mahu menghadiri majlis potong jambul anak mak cik Umar. Hakikat ini menunjukkan bahawa masyarakat desa amat menitikberatkan soal kerjasama atau tolong-menolong antara satusama lain. Sikap ini yang masih “subur” dalam kalangan masyarakat dapat mengeratkan hubungan silaturahim atau tali ukhuwah. Sehubungan dengan itu, setiap lapisan masyarakat perlulah meneruskan tradisi tolong-menolong ini agar tidak pupus ditelan arus modenisasi.

Nilai seterusnya ialah tegas pendirian. Nilai murni ini digambarkan dengan jelas melalui perwatakan Umar yang teguh pendiriannya walaupun cuba dipengaruhi oleh tunangnya. Safiah mahukan Umar menjadi pegawai MSC tetapi Umar tetap mahu menjadi guru dan berbakti kepada masyarakat desa. Pendek kata, Umar tegas pendiriannya dan tidak mudah goyah oleh pujukan tunangannya itu. Akhirnya, dia berjaya memujuk pula Safiah agar akur dengan pendiriannya itu. Sehubungan dengan itu,setiap orang dipinta agar memiliki pendirian yang tegas, apatah lagi dalam membuat sesuatu keputusan yang berkaitan dengan masa depan kita. Kata-kata Umar, iaitu “untuk membangunkan bangsa atau negeri haruslah bermula di tanah air kita sendiri dan bukannya bermula dari luar negeri” itu perlu dihayati oleh para pembaca atau audiens.

Jika diteliti aspek watak dan perwatakan, penonjolan watak-watak seperti Umar ,Safiah, Pak Majid , dan Limah amat bersesuaian dengan peranan masing-masing. Umar dan ayahnya mewakili masyarakat desa, manakala Safiah dan ibunya mewakili masyarakat kota. Pandangan antara masyarakat desa dengan bandar ada sedikit perbezaan , namun semua ini dapat diatasi jika ada sikap bertoleransi dan saling memahami antara satu sama lain. Konflik antara Umar dengan Safiah berhubung dengan pemilihan kerjaya tidaklah sampai merosakkan hubungan yang mesra kerana Safiah akhirnya memahami isi hati Umar. Sesungguhnya, penulis drama ini berjaya menghidupkan watak-watak itu sehingga menjadikan drama ini menarik dan “hidup”. Perwatakan Umar yang digambarkan sebagai seorang yang bersifat patriotik dan tegas pendirian merupakan watak yang patut dicontohi oleh anak-anak muda kita.Kejayaan anak desa ini meraih kejayaan dalam pelajaran seharusnya melonjakkan cita dan semangat para pelajar yang tinggal di desa. Umar telah membuktikan bahawa anak desa juga beroleh kejayaan jika berusaha gigih.

Dari segi gaya bahasanya pula, penulis drama ini menggunakan bahasa yang mudah difahami dan bersahaja dari segi pemilihan katanya. Penulis juga banyak menggunakan kata-kata yang lazim dituturkan dalam perbualan seharian. Oleh hal yangdemikian, khalayak pembaca atau audiens mudah mengikuti perkembangan ceritanya. Selain itu, penulis juga berjaya menyulam pelbagai ragam ayat sehingga menjadikan ayat itu menarik dan tidak menimbulkan kebosanan. Apa yang menariknya ialah kemampuan penulis “mengolah” bahasanya sehingga mencetuskan kesan tertentu . Sesungguhnya, olahan sebegini adalah antara kelebihan Datuk Dr. Usman Awang dalam penulisan drama ini. Di samping itu, lagu Serunai Malam yang menjadi lagu latar drama ini berjaya menimbulkan suasana atau“mood” cerita. Lagu ini seolah – olah cuba membawa mesej tertentu, iaitu kemesraan hubungan dan ketulusan cinta antara Safiah dengan Umar .Penggunaan bahasa kiasan juga ada digunakan, contohnya, “macam sarung nangka” dan “merajuk membatu”.

Kesimpulannya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada penulis drama ini, iaitu Datuk Dr. Usman Awang kerana berjaya menghasilkan drama yang menarik ini. Saya berharap agar hasil karya beliau terus menyuburkan dunia kesusasteraan kita, dan kepada warga pelajar khususnya, kita haruslah mencontohi pelbaga nilai dan pengajaran yang terdapat dalam drama ini sebagai pedoman hidup.
[1057 patah kata]