16 Ogo 2011


egara kita mempunyai pelbagai kaum yang memiliki hari perayaan tersendiri. Pada majlis perayaan ini, semua kaum akan merayakannya bersama-sama.
Pada pendapat anda, apakah kebaikan-kebaikan perayaan ini disambut bersama-sama.

Negara kita dikenali sebagai syurga perayaan kerana mempunyai banyak perayaan yang disambut oleh masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai Tahun Baru Cina, Hari Raya, Krismas, Deepavali dan banyak lagi perayaan yang disambut oleh penduduk negara ini. Perayaan ini telah memberi satu dimensi baru kepada masyarakat kita dan luar tentang erti perayaan sebenar. Kepelbagaian perayaan di negara ini turut membuka banyak kebaikan kepada negara dan masyarakat yang mendiami negara tercinta ini.

Kesan yang paling ketara ialah perayaan ini telah meningkatkan hubungan dan interaksi antara penduduk yang berbilang kaum ini. Semua pihak memahami dan terlibat dalam perayaan yang disambut oleh kaum lain. Lawatan ke rumah terbuka yang diamalkan telah mengeratkan hubungan antara kaum. Jadi, kekerapan interaksi ini menyebabkan wujudnya perpaduan yang utuh di negara ini yang menjadi sanjungan masyarakat luar.

Selain itu, golongan remaja mampu memahami erti perpaduan kepada negara ini. Mereka yang tidak mengalami kesusahan ketika era awal kemerdekaan mungkin memandang enteng perpaduan. Namun, apabila mereka melihat suasana perayaan barulah mereka memahami dan menyanjungi erti perpaduan. Keadaan ini menyebabkan remaja yang dilahirkan merupakan remaja berwawasan dan terbilang. Semuanya gara-gara wujudnya perayaan yang pelbagai di negara ini. Cuba bayangkan tiadanya sambutan perayaan di negara ini?

Malahan, kepelbagaian perayaan ini menyebabkan ekonomi negara terus berkembang. Keadaan ini wujud kerana pelbagai pesta pembelian akan dijalankan untuk setiap perayaan yang disambut oleh masyarakat di sini. Kekerapan masyarakat negara untuk berbelanja setiap kali perayaan amatlah tinggi dan memberi ruang kepada ahli perniagaan untuk mengaut keuntungan. Sudah pasti situasi ini menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Kesimpulannya, perayaan yang ada di negara kita bukanlah sesuatu kekangan tetapi satu rahmat yang harus digunakan dengan sebaik mungkin. Kita harus menjadikan perayaan itu sebagai cubaan untuk merapatkan hubungan dan mengurangkan perbezaan antara kaum. Kalau itu mampu dicapai sudah pasti kemakmuran negara akan berkekalan. Sememangnya Malaysia sebuah negara yang melambang erti benua Asia kerana mempunyai pelbagai keturunan dan perayaan.
306 patah kata


Negara kita mempunyai pelbagai kaum yang mengamalkan budaya atau adat resam mereka yang tersendiri. Budaya atau adat resam ini telah menjadi satu identiti kepada kaum tersebut.
Pada pendapat anda, apakah kepentingan budaya atau adat resam ini kepada masyarakat dan negara kita.


Salah satu kelebihan negara kita ialah masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai kaum Melayu, Cina, India, dan berdozen-dozen kaum minoriti yang lain terutama di Sabah serta Sarawak. Situasi ini menyebabkan negara kita mempunyai pelbagai adat atau budaya yang menarik untuk diperhatikan. Malah, adat atau budaya yang unik ini mempunyai banyak kepentingan jika dihargai dengan sewajarnya.

Sebenarnya, budaya yang unik ini memang wajar dihargai kerana budaya inilah yang menonjolkan sesuatu kaum itu. Tanpa budaya ini sesuatu kaum itu akan kehilangan identitinya buat selama-lama. Budaya yang diamalkan itu seperti memakai pakaian tradisional, makan menggunakan tangan, pergi ke kubur ketika hari raya dan sebagainya turut menimbulkan rasa bangga kepada pengamal budaya kaum itu. Individu yang terbabit akan berasa mereka telah berjaya mengekalkan budaya turun-temurun nenek moyang mereka selama ini.

Selain itu, tindakan individu tertentu menghargai budaya ini menjadi satu cara yang paling mudah untuk mempamerkan rasa mengormati generasi tua daripada generasi muda. Budaya memakai pakaian tradisional menjadi satu kaedah yang mudah untuk diamalkan oleh remaja dalam usaha mereka mengekalkan budaya tradisional ini. Remaja bukan sahaja mamu membuktikan rasa hormat mereka tetapi turut menerima penghargaan generasi tua lantaran sanggup mengekalkan budaya.

Malah, sikap menghargai budaya memastikan sesuatu budaya kaum itu tidak akan luput ditelan zaman. Lihat sahaja budaya bekerjasama menjalankan kenduri sudah mula hilang sedikit demi sedikit lantaran masyarakat kita lebih suka menggunakan perkhidmatan katering. Atas alasan mudah, kita sudah melupakan budaya bekerjasama ketika mengadakan kenduri yang mempunyai banyak impak positif tetapi penat itu. Usaha mengekalkan budaya kaum sudah pasti akan mengembalikan nostalgia majlis kenduri yang dijalankan secara meriah.

Tambahan pula, pengamalan budaya ini memastikan peraturan dan saling bergantung anggota masyarakat diamalkan. Untuk mencapai perpaduan, semua kaum harus mengekalkan budayanya kerana melalui budayalah kita bersatu. Sikap hormat antara satu sama lain menyebabkan kita tidak akan cuba menyakiti kaum lain atas perkara-perkara yang remeh. Sebaliknya, penghargaan terhadap budaya menguatkan semangat perpaduan kita.

Kesimpulannya, budaya atau adat sesuatu kaum itu merupakan satu khazanah yang arus dipertahankan oleh rakyat negara ini. Usahlah kita terlalu memandang ke arah kemodenan sehingga menganggap budaya sendiri sudah lapuk atau tidak sesuai lagi. Kita harus melihat budaya sebagai satu alat yang mampu membentuk kita ke arah kemodenan yang lebih baik lagi iaitu kemodenan rohaniah dan kebendaan. Mungkin selepas menguasai budaya barulah kita boleh menganggap diri kita sudah mencapai kemodenan hidup.
[378 patah kata]


Semangat kebangsaan dalam kalangan remaja semakin menipis. Keadaan ini sering dikaitkan dengan perubahan kehidupan masyarakat kita.
Nyatakan usaha-usaha untuk memupuk dan kepentingan memiliki semangat ini kepada remaja.


Semangat kebangsaan merujuk sikap cinta akan negara atau nasionalisme yang mendalam terhadap negara yang tercinta. Sememangnya semangat nasionalisme ini semakin berkurangan terutama dalam kalangan generasi muda kita lantaran corak kehidupan yang semakin berubah selari dengan perubahan zaman. Maka, banyak tindakan yang mampu dilaksanakan untuk memastikan sikap ini terus wujud kerana sikap ini memiliki kesan yang positif.

Tindakan yang pertama ialah subjek sejarah yang diajar di sekolah dilaksanakan secara meluas. Pelajaran sejarah penting ditekankan kerana subjek ini mampu memberi rasa cinta yang meluas dalam diri remaja. Pemahaman tentang sejarah ini menyedarkan remaja mengenai kepentingan memiliki sikap menyintai negara yang mendalam. Jadi, langkah menjadikan subjek sejarah ini mampu menyuntik sikap nasionalisme dalam diri masyarakat terutamanya remaja.

Selain itu, kerajaan boleh menonjolkan pejuang-pejuang negara yang sanggup berkorban demi kedaulatan negara ketika hari Kebangsaan. Penonjolan ini boleh dilakukan melalui penggunaan media massa dengan menyiarkan maklumat diri pejuang-pejuang tersebut beserta kepentingan tindakan mereka dalam menentukan hala tuju kemerdekaan negara pada masa lampau. Langkah ini mampu meningkatkan pemahaman remaja tentang sebab musabab yang membawa kepada pejuang negara itu melakukan sesuatu tindakan yang dipelajari dalam subjek sejarah. Ringkasnya, langkah mempamerkan informasi tentang pejuang-pejuang negara ini mampu meningkatkan semangat remaja untuk meniru semangat yang telah dipamerkan oleh pejuang-pejuang bangsa itu sebelum ini.

Malah, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan boleh menjalankan satu pertandingan yang melibatkan remaja seperti deklamasi sajak, menulis esei, dan pementasan drama yang bertemakan semangat kebangsaan. Aktiviti ini dapat memastikan remaja menyelami dan memahami peristiwa yang dialami oleh pejuang-pejuang negara secara lebih mendalam lagi. Pertandingan yang berunsur sastera ini dapat mendekatkan remaja dengan pejuang-pejuang negara yang sudah lama meninggalkan negara ini. Maka, aktiviti berunsur pertandingan sastera ini memberi satu dimensi baru kepada remaja untuk mencintai negara mereka.

Kerajaan boleh menonjolkan kejayaan negara dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Kejayaan ini mungkin diperoleh melalui kejayaan melangsungkan kejohanan sukan, memenangi sesuatu anugerah, dan pencapaian luar biasa rakyat kita dalam sesuatu perkara. Kejayaan rakyat kita mendaki Gunung Everest dan penghasilan kereta nasional mampu meningkatkan sikap cinta akan negara ini selain kemampuan negara dalam menganjurkan Sukan Komanwel suatu masa dahulu. Perkara ini penting ditekankan supaya remaja mempunyai sesuatu perkara yang boleh mereka banggakan dan kaitkan dengan negara apabila berbicara tentang negara sendiri. Sesungguhnya, semua kejayaan negara memberikan satu motivasi yang tinggi kepada remaja untuk turut mencapai kejayaan yang serupa atau menghasilkan kejayaan yang lebih baik lagi.

Kesimpulannya, pemupukan semangat kebangsaan memang menjadi perkara penting dalam pembangunan negara sejak dahulu. Pemupukan ini penting supaya remaja tidak lupa akan perjuangan yang sudah dilakukan oleh generasi terdahulu dan membiarkan pengorbanan mereka menjadi sia-sia belaka. Mungkin remaja sekarang harus merenung dan bertanya kepada diri sendiri, “apa yang mampu mereka sumbangkan kepada negara” dan bukannya “apa yang mampu diberikan oleh negara kepada mereka”.
[445 patah kata]


Semangat kejiranan sudah longgar dalam masyarakat kita kalau kita lihat sejak akhi-akhir ini. Keadaan ini menimbulkan pelbagai spekulasi kepentingan semangat ini diamalkan.

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk meningkatkan semangat ini.

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.

Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.

Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.

Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri, siapakah jiran kita?
[301 patah kata]