23 Ogo 2011

Karangan Pelancongan PMR


Contoh Karangan Cemerlang PMR (Usaha Memajukan Sektor Pelancongan)

Sektor pelancongan di negara kita banyak memberi sumbangan bagi menggerakkan ekonomi negara.  Pelancong asing yang datang dari seantero dunia menjadi punca pengaliran pertukaran wang asing yang meningkatkan ekonomi negara.  Oleh itu, kita seharusnya berusaha untuk memajukan sektor pelancongan bagi menjamin kestabilan ekonomi.  Terdapat pelbagai usaha yang boleh kita aplikasikan bagi memajukan sektor pelancongan negara.

      Pihak kerajaan memainkan peranan penting dengan melancarkan kempen 'Cuti-cuti Malaysia' dan yang terbaru 'Malaysia My Second Home' bagi mempromosikan negara kita sebagai negara pelancongan.  Kerajaan mengeksploitasi keunikan negara kita melalui kepelbagaian budaya yang berbeza di samping ekopelancongan yang menampilkan hutan hujan tropika yang sudah berjuta tahun umurnya bagi menarik pelancong dari negara luar.  Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dengan pihak kerajaan bagi menjayakan kempen pelancongan.  Contohnya, kita boleh menawarkan diri  untuk menyertai program 'homestay' iaitu program yang mendedahkan kehidupan tradisional yang sebenar kepada pelancong asing.  Hal ini dapat membantu menarik lebih ramai pelancong yang berminat untuk merasai kehidupan warga Malaysia.

      Selain itu, kerajaaan juga boleh mengambil inisiatif untuk menganjurkan program yang bertaraf antarabangsa.  Contohnya, Piala Thomas, Le Tour De Langkawi dan Grand Prix Formula One di Sepang.  Peminat acara sukan bertaraf antarabangsa sudah semestinya tidak mahu ketinggalan melihat acara seperti ini secara langsung.  Bagi menggalakkan acara sukan yang bertaraf antarabangsa diadakan, pihak kerajaan perlu meningkatkan infrastruktur yang sedia ada bagi melicinkan lagi acara tersebut dijalankan.  Tamsilnya, Litar Antarabangsa Sepang yang berteknologi tinggi telah dibina bagi mengadakan pelbagai acara perlumbaan seperti Formula One dan MotoGP.  Kemudahan yang lengkap akan mendapat pujian daripada peserta mahupun penonton dan hal ini semestinya dapat meningkatkan ekonomi dan menjulang nama negara di mata dunia.

      Masyarakat setempat juga memainkan peranan penting dalam memajukan sektor pelancongan melalui kebersihan.  Pelancong yang datang dari luar amat mementingkan kebersihan terutamanya pelancong dari negara-negara Barat.  Setiap individu dapat meningkatkan tahap kebersihan bagi memajukan sektor pelancongan.  Contohnya, mengutip sampah-sarap yang bertaburan di tempat awam.  Hal ini juga dapat mengurangkan risiko penyakit dan virus yang menular.  Pihak berkuasa tempatan seperti dewan bandar raya atau majlis daerah juga turut berperanan dalam menjaga kebersihan dengan mengadakan kutipan sampah secara berjadual. Dengan kebersihan yang terjaga, negara kita berpotensi menarik lebih ramai pelancong asing dan seterusnya memajukan sektor pelancongan negara.

      Di samping itu,  kita sebagai warga Malaysia harus berbudi bahasa apabila berdepan dengan pelancong asing.  Adat Melayu yang mementingkan budi bahasa janganlah dilupakan kerana pelancong asing akan berasa dihormati jika kita berbudi bahasa.  Sebaliknya, jika kita memaki hamun pelancong tersebut, adakah mereka akan kembali ke negara kita pada suatu masa nanti?  Oleh itu, peranan masyarakat yang perlu menjaga budi amat penting bagi membantu sektor pelancongan negara secara tidak langsung.

      Konklusinya, seluruh warga Malaysia berperanan bagi memajukan sektor pelancongan negara.  Setara  dengan cogan kata negara iaitu 'Bersekutu Bertambah Mutu', kita seharusnya bersatu dengan meningkatkan hospitaliti dan produktiviti pelancongan negara.  Sektor pelancongan yang maju penting bagi menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain serta dihormati negara-negara serantau.