3 Mei 2011

Hilangnya kesantunan Berbahasa

Hilangnya kesantunan bahasa kita

by Ikatan Penulis Sabah on Saturday, February 19, 2011 at 10:24am

oleh Rohaidah Mashudi

BERBICARA tentang kesantunan bahasa memang telah banyak diperkatakan oleh tokoh-tokoh bahasa terkenal di Malaysia seperti Asmah Omar dan Awang Sariyan.

Ini tidak termasuk kajian-kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli bahasa di universiti-universiti tempatan dan antarabangsa.
Malah ruang lingkup kajian tidak hanya tertumpu kepada takrif kesantunan itu sendiri tetapi turut menyentuh perkara-perkara lain yang membicarakan persoalan tentang kesantunan bahasa dalam kalangan komuniti yang dikaji.
Pemahaman tentang kesantunan bahasa bagi setiap golongan mungkin berbeza kerana ada yang berpendapat cukup sekadar memanggil orang tua dengan panggilan pak cik dan mak cik maka terserlah prinsip kesantunan tersebut.
Namun hakikatnya, banyak perkara yang perlu diteliti dalam menyelongkar maksud sebenar kesantunan bahasa dalam erti kata yang sebenar, di samping mencari inisiatif dalam meningkatkan kesantunan dalam kalangan masyarakat.
Perbincangan di sini bukanlah hendak memberi fokus kepada perlakuan atau perbuatan fizikal yang tidak menunjukkan kesantunan. Tetapi memberi tumpuan kepada penggunaan bahasa yang tidak sopan.

Sekiranya hendak dibincangkan perlakuan yang tidak sopan dalam kalangan masyarakat hari ini, saban hari kita telah disajikan dengan berita-berita yang mengarah kepada perlakuan di luar sempadan kesantunan tersebut.
Malah daripada pemaparan perlakuan yang sekecil-kecilnya kepada yang sebesar-besar perlakuan tidak sopan dan boleh mencapai kepada perlakuan yang lebih ganas.

Hakikatnya seperti yang dinyatakan oleh Awang Sariyan bahawa kesantunan bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang tertentu.

Lumrahnya, masyarakat akan melihat didikan daripada ibu bapa sebagai asas kepada pembentukan kesantunan bahasa.
Ini sejajar dengan pernyataan Awang Sariyan bahawa asas kepada kesantunan bahasa adalah kepatuhan kepada peraturan bahasa.

Namun demikian dalam realiti kehidupan seperti dalam percaturan sesuatu ceramah bagi tujuan berkempen dalam kalangan ahli politik mungkin ada sebahagian masyarakat beranggapan tidak memaparkan kesantunan bahasa.
Justeru, di sinilah perlunya untuk melihat kepada peraturan penggunaan bahasa. Pihak lawan dan yang dilawan akan saling mencari idea dalam memancing undi para pengundi.

Maka peraturan bahasa tidak lagi diguna pakai dalam hal yang sedemikian. Walapun demikian tidak dinafikan masih ada lagi ahli-ahli politik yang patuh pada peraturan penggunaan bahasa ini, mungkin untuk mengelakkan dikatakan sebagai calon atau ahli politik yang biadap.

Jika asasnya bermula daripada didikan ibu bapa maka seharusnya kita mencari pendekatan yang benar-benar memudahkan kalangan ibu bapa dalam memberi pengetahuan dan praktikal kepada anak-anak.

Ini kerana kita sendiri akan berasa malu sekiranya ada kalangan pelajar di peringkat pengajian tinggi masih terbawa-bawa dengan adap sopan santun dengan orang tua yang mungkin telah diterima dari sejak kecil untuk memanggil golongan tua dengan panggilan mak cik dan pak cik.

Walaupun nampak tidak ada kewajarannya bagi situasi ini untuk seorang yang terpelajar memanggil seorang pensyarah dengan panggilan mak cik atau pak cik hanya kerana pensyarah tersebut sudah kelihatan agak tua. Tetapi itulah kebenarannya.

Kalau kita menjadikan pakaian kita sebagai cara untuk menutup segala keaiban fizikal kita, maka ini juga merupakan suatu bentuk kesantunan.

Dalam memperkatakan kesantunan berpakaian sudah tentu banyak perkara yang perlu diteliti bukan sekadar sehelai kain yang menutup tubuh seseorang tetapi yang perlu dilihat adalah lebih daripada itu seperti jenis kain, saiz pakaian, ketebalan kain dan sebagainya.

Jika dilihat daripada perspektif bahasa, kesantunan bahasa menjadi pakaian harian kepada individu.
Ini kerana setiap hari kita tidak dapat lari dalam berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling kita. Maka di sini peraturan penggunaan bahasa amat dititik beratkan.

Dalam situasi formal dan tidak formal penggunaan bahasa yang seharusnya diambil perhatian sudah tentu berbeza.
Peraturan bahasa yang menjadi asas kepada kesantunan bahasa, seperti yang dikatakan oleh Asmah Omar perlu dilihat kepada tiga jenis iaitu peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik.

Secara ringkas peraturan linguistik memberi penelitian terhadap sebutan dan nahu, manakala peraturan sosiolinguistik melibatkan peraturan dalam berkomunikasi atau berinteraksi dan seterusnya peraturan pragmatik menyentuh tentang keberkesanan tujuan komunikasi tersebut.

Berdasarkan kepada peraturan bahasa ini bermakna setiap satu melibatkan konteks yang berbeza.
Hanya kita sebagai masyarakat mungkin tidak dapat membezakan dan mungkin tidak sedar bahawa setiap bentuk perlakuan dan penggunaan bahasa seharian kita ini, sebenarnya telah mematuhi peraturan-peraturan tersebut.
Kebiadapan individu dalam berkomunikasi akan mencetuskan pelanggaran peraturan ini, akibatnya komunikasi akan gagal.

Jadi bagaimanakah seharusnya sebagai ibu bapa dan juga masyarakat kita dapat mendidik anak-anak kita agar benar-benar mengikut peraturan tersebut?

Dalam hal ini, sebagai masyarakat biasa, pemahaman terhadap setiap peraturan tersebut cukuplah sekadar dengan kita memahami peraturan penggunaan bahasa yang tidak menyinggung perasaan orang sekitar kita.

Juga pada dasarnya perlulah melihat juga kepada kesesuaian keadaan, masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak.

Kekangan dalam memastikan setiap anggota masyarakat patuh pada peraturan ini dalam penggunaan bahasa mungkin agak sukar.

Ini terutamanya jika individu tersebut terlalu cepat terpengaruh dengan penggunaan bahasa tidak sopan yang dipaparkan dalam internet atau mungkin dalam media massa.

Oleh itu masyarakat yang menjadi pemerhati atau penilai bagi penggunaan bahasa dalam kalangan komuniti atau di luar komuniti mereka, juga perlu bertindak mengikut peraturan ini.

Bahkan dengan melarikan diri daripada sebarang peraturan bahasa ini akan meletakkan masyarakat tersebut kepada pengabaian kesantunan bahasa.

Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Teras dan Lanjutan (FOSEE), Universiti Multimedia (MMU), Melaka