27 Jan 2016

SEJADAH RINDU



CINTA AHMAD MUTAWAKKIL
(Zainal Rashid Ahmad)

Sinopsis
            Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil ( Zainal Rasyid Ahmad) telah menggunakan pendekatan sorot balik tentang kisah perjuangan Ahmad Mutawakkil dalam menzahirkan cintanya terhadap bangsa dan negara. Ahmad Mutawakkil yang parah ditembak telah memeranjatkan penduduk kampung yang ketika itu sedang berdoa seusai solat maghrib. Setelah menjelaskan keadaan Ahmad Mutawakkil yang parah, terkulai lalu pengsan, penulis mula mengimbas kembali kisah perjuangan anak muda tersebut bermula daripada perubahan sosioekonomi penduduk kampung kesan kehadiran Tuan Booth sekeluarga. Kehadiran mereka bukan sahaja berjaya meningkatkan ekonomi penduduk kampung, malahan Ahmad Mutawakkil membesar sebagai pemuda berilmu hasil bantuan anak Tuan Booth, Sandra. Dia bukan sahaja menjadi penyebar maklumat tentang hal ehwal semasa kepada masyarakat di kampungnya, malahan turut bekerja membaca dan menjawab surat-surat rahsia daripada Inggeris untuk kumpulan anti-Jepun.
Cerpen ini diteruskan lagi dengan Ahmad Mutawakkil menyampaikan khabar kepada penduduk kampung tentang pengeboman Hiroshima dan Nagasaki yang membawa kelegaan dan rasa syukur mereka. Ahmad Mutawakkil kemudiaannya digambarkan sebagai pemuda yang berjiwa pemimpin apabila dia dapat mempengaruhi penduduk kampung dengan pidatonya yang membangkitkan semangat patriotisme dalam jiwa mereka. Dalam masa yang sama Ahmad Mutawakkil berjaya mengajak penduduk kampung untuk menjalinkan silaturahim dengan Tuan Booth sekeluarga yang tidak pernah memusuhi masyarakat di situ. Cerpen ini juga dikembangkan dengan kisah hubungan antara Ahmad Mutawakkil dengan Sandra yang sering menjadi tanda tanya kepada penduduk di situ.
Plot dirumitkan lagi dengan situasi 16 Jun 1948 di Perak apabila darurat diisytiharkan kerana Parti Komunis Malaya mula menggila. Ahmad Mutawakkil tetap mengajak masyarakat kampungnya berjuang tanpa menghiraukan keselamatan dirinya walaupun pihak komunis telah memberi amaran kepadanya melalui Tuan Booth agar tidak menghasut orang kampung membenci komunis.

Kemuncaknya, Ahmad Mutawakkil berjaya meniupkan semangat perjuangan yang begitu mendalam dalam jiwa penduduk kampung melalui pidato citra merdeka dan kritikan terhadap bangsa Melayu yang sanggup diperalat Parti Komunis Malaya. Setelah ditemui oleh seorang budak lelaki yang tidak dikenali seusai majlis ceramah tersebut, Ahmad Mutawakkil pergi dan tidak pulang-pulang sehingga dia datang pada malam esoknya di surau kampung dalam keadaan berlumuran darah. Ahmad Mutawakkil terbunuh namun semangat perjuangannya terus membara dalam masyarakat kampung sama seperti mereka rindu akan kata-kata semangat anak muda itu “ Tanah Melayu pasti merdeka!”. Tuan Booth sekeluarga pulang ke England seminggu selepas Tanah Melayu merdeka namun rasa cinta yang mendalam Sandra terhadap Ahmad Mutawakkil telah membawa dia pulang ke kampung tersebut untuk meneruskan kehidupannya di situ. 

Tema
Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil (Zainal Rasyid Ahmad) memaparkan tema perjuangan mementang penjajah. Ahmad Mutawakkil yang merupakan watak utama dalam cerpen ini telah menzahirkan cintanya terhadap bangsa dan negara melalui perjuangan menentang penjajah Inggeris, Jepun dan Komunis. Ahmad Mutawakkil telah menggunakan penguasaan ilmunya dalam menjadi penyebar maklumat tentang penjajah kepada mesyarakat di kampungnya. Sejak usia belasan tahun lagi, Ahmad Mutawakkil telah menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin muda yang berpengaruh. Hal ini dibuktikan melalui pidato- pidato yang disampaikan kepada masyarakat kampung untuk meniupkan semangat patriotisme dalam diri setiap ahli masyarakat. Ahmad Mutawakkil merupakan seorang pemuda yang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi sehinggakan tidak sanggup menerima sebarang pujian selagi Tanah Melayu belum merdeka. Dia sanggup menggadaikan nyawanya untuk menentang komunis dan akhirnya dia terbunuh sebelum mengecap kemerdekaan Tanah Melayu. Perjuangan dan pengorbanannya terus diingati oleh masyarakat kampungnya sama seperti mereka mengingati kata-kata anak muda itu “Tanah Melayu pasti merdeka!”.





Persoalan
1.    Persoalan perubahan sosioekonomi masyarakat kampung
Contoh: Kedatangan Tuan Booth dan keluarga telah merubah sosioekonomi masyarakat kampung apabila beliau telah mengupah beratus-ratus buruh termasuk penduduk kampung sendiri untuk meneroka belukar bagi meluaskan penanaman getah. (m/s 40)

2.    Persoalan kepentingan sikap berdikari dalam kehidupan
Contoh: Ahmad Mutawakkil belajar berdikari setelah kematian bapanya, Wan Sadir dengan cara bekerja dengan orang putih. (m/s 41)

3.    Persoalan kesan kedatangan penjajah
Contoh:Kedatangan penjajah yang membawa kepada serangan telah menyebabkan seluruh ketenangan hidup masyarakat kampung hilang. (m/s 42)

4.    Persoalan tanggungjawab seorang pemimpin
Contoh: Imam Ngah Deraman bergegas meninggalkan surau selepas solat isyak untuk mencari Ahmad Mutawakkil yang kehilangan tempat menumpang nasib setelah pemergian Tuan Booth sekeluarga akibat kedatangan Jepun dan mengambil Ahmad Mutawakkil sebagai anak angkatnya.(m/s 43)

5.     Persoalan kepentingan menguasi ilmu dalam kehidupan
 Contoh: Ahmad Mutawakkil menjadi tempat penduduk kampung mendapatkan   
 maklumat tentang hal ehwal semasa kerana dia boleh menulis dan bercakap  
 dalam bahasa Inggeris. (m/s 44)

6.    Persoalan semangat patriotisme dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan
Contoh: Ahmad Mutawakkil menyeru ahli masyarakat agar mengikis tabiat buruk,  berjuang mengubah sikap dan pandangan sempit bangsa Melayu untuk merdeka. (m/s 50)