Kegiatan
kokurikulum merupakan aktiviti luar bilik darjah yang wajib disertai oleh semua
pelajar. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum biasanya dijalankan selepas waktu
belajar atau pada hari Sabtu. Antara aktiviti ini termasuklah persatuan, kelab,
permainan, unit beruniform, dan sukan. Saya telah menyertai pasukan pengakap
sejak tingkatan satu lagi untuk menambah pengetahuan dan pengalaman
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semasa menyertai
pasukan pengakap sekolah, banyak pengalaman telah saya lalui.
Pasukan
pengakap sekolah sangat aktif. Kami perlu menghadiri perjumpaan pada setiap
minggu. Biasanya, kami akan dilatih untuk belajar cara-cara berkawad kaki. Hal
ini dikatakan demikian kerana pertandingan kawad kaki unit beruniform merupakan
aktiviti utama dalam agenda tahunan pasukan pengakap. Oleh hal yang demikian,
saya mempelajari teknik berkawad dengan berpegang pada prinsip genggam
bara api, biar sampai jadi abu. Walaupun berkawad kaki merupakan latihan
yang sukar, namun saya tetap dapat menguasainya kerana saya tidak mudah
berputus asa untuk mempelajari sesuatu ilmu.
Selain itu,
saya dan rakan-rakan yang menyertai pasukan pengakap juga diajar cara-cara
untuk mendirikan khemah. Hal ini dikatakan demikian kerana kami perlu mendirikan
khemah sendiri tanpa bantuan guru pengajar sewaktu perkhemahan dijalankan.
Dalam aktiviti ini, kami diajar teknik mencari batu yang sesuai, kayu yang
kukuh, dan mengetahui kelengkapan yang perlu disediakan untuk mendirikan
khemah. Di samping itu, kami juga diingatkan agar sentiasa mengingati kata-kata
orang tua iaitu berat sama dipikul, ringan sama dijinjing sewaktu
mendirikan khemah bersama dengan kawan-kawan. Dengan berbuat begitu, bukan
sahaja khemah yang kukuh dapat didirikan, malah hubungan persahabatan yang
utuh seperti isi dengan kuku dapat dibina.
Di samping
itu, saya juga mempelajari cara-cara untuk memberikan bantuan kecemasan. Hal
ini dikatakan demikian kerana khidmat pasukan pengakap sekolah amat diperlukan
apabila pihak sekolah mengadakan program seperti Hari Kantin, Hari Sukan, Hari
Bertemu dengan Pelanggan dan sebagainya. Oleh sebab itu, ilmu bantuan kecemasan
ini merupakan pengetahuan yang amat berguna kepada saya. Saya diajar cara
membasuh luka, membalut luka, dan mengikat tangan yang patah apabila berlakunya
kecederaan. Saya amat yakin bahawa ilmu dalam bidang ini menjadikan diri saya
lebih kental dan tabah menghadapi cabaran sebagai pelajar kerana ilmu
pelita hidup.
Sementara
itu, saya turut dapat mempelajari ilmu ikhtiar hidup apabila menyertai pasukan
pengakap sekolah. Hal ini memang benar kerana guru pembimbing pengakap sentiasa
berkongsi ilmu dengan kami tentang pokok yang boleh dijadikan herba untuk
mengubati luka dan mengurangkan kesakitan. Dalam pada itu, kami turut diajar
untuk mengenal pasti pokok yang menyimpan banyak air untuk diminum. Dengan ilmu
yang saya pelajari ini, persiapan untuk menyertai perkhemahan di dalam hutan
akan menjadi lebih sempurna. Saya sentiasa mengingati pesanan guru pembimbang
yang mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Sepanjang
menyertai pasukan beruniform ini, saya juga banyak memperoleh pengalaman hidup
yang berharga sebagai bekalan masa depan. Hal ini dikatakan demikian kerana
saya dapat mempelajari kepentingan bekerja dalam pasukan kerana bersatu
kita teguh, bercerai kita roboh. Misalnya, suatu aktiviti perkhemahan yang
dijalankan hanya dapat dijayakan dengan kerjasama daripada semua pihak
termasuklah guru pengiring, pelatih, dan ahli pengakap. Oleh itu, saya diajar
untuk menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersatu padu untuk menghadapi
cabaran. Pendek kata, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat.
Kesimpulannya,
pasukan pengakap merupakan salah satu
aktiviti kokurikulum yang saya sertai. Saya yakin bahawa setiap unit
beruniform mahupun persatuan dan kelab mempunyai keunikan yang tersendiri. Para
pelajar harus menyertainya untuk merasai dan melalui sendiri pengalaman sewaktu
menyertai aktiviti tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana tak
kenal maka tak cinta. Sebagai penyimpul bicara, kita haruslah menyahut
seruan Menteri Pelajaran untuk menjadikan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum
sebagai kriteria penting dalam penerimaan kemasukan ke universiti atau
institusi pengajian tinggi. Oleh sebab itu, jom kita aktif dalam kegiatan
kokurikulum.