17 Mac 2012

CIRI-CIRI KOMUNIKASI BERJAYA

Ciri-ciri Komunikasi Berjaya - oleh MOHD IDZANEY ZAKARIA 

 

Kajian mendapati manusia suka dan mudah terpengaruh oleh kata-kata, percakapan dan perbualan individu-individu yang sudah berjaya. Kejayaan menyebabkan seseorang itu mempunyai kuasa manakala kuasa pula menentukan statusnya dalam masyarakat.

Kemahiran berkomunikasi ialah kemahiran menggunakan bahasa untuk menimbulkan kesan-kesan positif ke atas hubungan sesama manusia, khususnya di antara pemimpin dan individu-individu yang dipimpinnya. Kajian pakar-pakar psikologi dan pakar-pakar komunikasi mendapati kemahiran berkomunikasi memainkan peranan yang sangat penting di dalam kehidupan manusia.

Kajian-kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar komunikasi pula mendapati, individu-individu yang menggunakan bahasa positif dipandang sebagai individu-individu yang menarik. Dalam erti kata yang lain, penggunaan bahasa yang positif menyebabkan seseorang itu dipandang sebagai orang yang lebih tampan dan lebih jelita daripada dirinya yang sebenarnya. Manakala kajian pakar-pakar psikologi mendapati unsur ketampanan dan kejelitaan pula menyebabkan seseorang itu dipandang sebagai orang yang lebih pandai bergaul, lebih pintar dan lebih berbakat daripada keadaannya yang sebenarn. Disebabkan kemahiran berkomunikasi menyebabkan seseorang itu dipandang dengan cara-cara yang positif hasilnya dia mudah disukai orang.

Salah satu tujuan seseorang pemimpin berkomunikasi ialah kerana dia hendak mendorong dan mempengaruhi pemikiran individu-individu lain. Keupayaan seseorang pemimpin untuk melakukan perkara itu adalah faktor yang sangat penting peranannya di dalam mencapai kejayaan dalam semua bidang, baik kejayaan di dalam kerjayanya mahupun di dalam kehidupan peribadi. Sebagai contoh, untuk menjadi ahli politik yang berjaya, seseorang memerlukan keupayaan mempengaruhi para pengundi supaya mengundinya; untuk menjadi usahawan yang berjaya, seseorang itu perlu berupaya mempengaruhi ramai pihak termasuk pegawai-pegawai kerajaan, kakitangan bank, para pelabur dan bakal pelanggan; untuk naik pangkat di tempat kerja seseorang perlu berupaya mempengaruhi mereka yang menilai bakat, potensi dan prestasinya.

Pakar-pakar psikologi bidang komunikasi organisasi banyak mengkaji ciri-ciri pemimpin yang dianggp efektif. Antara mereka ialah W.C. Redding dan juga F. M. Jablin. Kajian-kajian mereka menunjukkan ketua-ketua yang efektif memiliki ciri-ciri berikut:

1. Mereka percaya komunikasi yang betul adalah penting. Mereka seronok bersuara dan bercakap di dalam perbincangan dan mesyuarat. Mereka pandai menerangkan dengan jelas arahan dan dasar-dasar organisasi. Mereka suka dan seronok berbincang dengan orang-orang bawahan.

2. Mereka pandai mendengar dengan empati dan sedia membuka telinga kepada orang-orang bawahan mereka. Mereka sanggup melayan soalan-soalan “bodoh”, mendengar cadangan-cadangan dan komplen-komplen dengan sikap bertimbang rasa.

3. Mereka suka menggunakan teknik-teknik bertanya dan mendorong orang-orang bawahan apabila hendak mengarahkan mereka melakukan sesuatu. Mereka tidak menggunakan teknik menyuruh-nyuruh dan mengarah-arah.

4. Mereka menjaga air muka dan maruah orang bawahan, oleh itu mereka mengkritik secara tertutup.

5. Mereka bersikap terbuka dengan maklumat. Mereka suka memberitahu awal-awal lagi apabila ada perubahan yang akan terjadi. Mereka juga menerangkan alasan-alasan di sebalik semua arahan dan dasar.
Kajian mendapati manusia suka dan mudah terpengaruh oleh kata-kata, percakapan dan perbualan individu-individu yang sudah berjaya. Kejayaan menyebabkan seseorang itu mempunyai kuasa manakala kuasa pula menentukan statusnya dalam masyarakat. Kajian juga mendapati manusia suka berkenalan, bersahabat, bercakap-cakap dan berbual-bual dengan individu-individu yang mempunyai kuasa dan status. Individu-individu yang berjaya adalah juga individu-individu yang popular. Mereka mempunyai banyak kenalan dan sahabat. Mereka juga mempunyai individu-individu yang terikut-ikut gaya dan cara mereka. Dengan cara bercakap-cakap dan berbual-bual, individu-individu yang sudah berjaya dapat dengan mudah mempengaruhi pemikiran individu-individu lain supaya menerima gaya dan cara-caranya melakukan sesuatu serta menyokong idea-idea mereka. Akibatnya, mereka lebih berjaya lagi, sebagai contoh, seorang artis yang berjaya dapat mempengaruhi para peminatnya supaya membeli album barunya hasilnya, dia menjadi lebih berjaya lagi sebagai artis. Seorang usahawan yang sudah berjaya dapat mempengaruhi pemikiran individu-individu lain supaya menanam modal di dalam syarikat barunya, hasilnya beliau dapat mengumpulkan sumber kewangan bagi memulakan operasi syarikat barunya itu akibatnya dia menjadi usahawan yang lebih berjaya lagi.
Seorang ahli politik yang sudah berjaya dapat mempengaruhi pemikiran lebih ramai individu-individu lain supaya menyokong pencalonannya hasilnya dia mendapat lebih banyak undi lagi akibatnya, dia menjadi lebih berjaya lagi di dalam kerjaya politiknya.

Ramai individu mempunyai latar belakang kelulusan akademik yang serupa tetapi, walaupun mereka memiliki kelayakan yang serupa, namun kejayaan mereka dalam bidang kerjaya yang mereka ceburi tidak serupa. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan sesetengah individu lebih berjaya daripada individu-individu lain yang serupa latar belakang kelulusan akademiknya?

Kajian-kajian pakar psikologi mendapati wujudnya perkaitan yang kuat antara kejayaan yang dicapai oleh seseorang itu dengan ciri-ciri pada gaya bahasa yang mereka gunakan apabila mereka bercakap dan berbual-bual. Mereka mendapati individu-individu yang berjaya bercakap menggunakan ciri-ciri bahasa yang berbeza daripada ciri-ciri bahasa yang digunakan oleh individu-individu yang kurang berjaya ataupun mereka yang gagal. Secara ringkasnya, bahasa percakapan dan perbualan individu-individu yang berjaya tidak serupa dengan bahasa individu yang gagal. Hasil penemuan ini mempunyai implikasi bagi mereka yang masih berusaha untuk berjaya. Disebabkan kejayaan mempunyai daya pengaruh yang tinggi, bagi mereka yang masih belum mencapai kejayaan, mereka perlu membina imej kejayaan pada diri mereka.

Dalam erti kata lain, mereka perlu membuat orang memandang mereka sebagai individu-individu yang berjaya, dengan cara itu sasaran mereka akan berminat bercakap-cakap dan berkenalan dengan mereka. Untuk melukiskan imej individu yang berjaya, salah satu caranya ialah dengan bercakap menggunakan ciri-ciri bahasa individu yang sudah berjaya.

Bahasa ialah salah satu unsur jarak psikologi yang besar pengaruhnya. Jarak psikologi ialah sejauh mana pendengar berasa kenal dan mesra dengan orang yang bercakap kepadanya. Jarak psikologi yang dekat menyebabkan pendengar mudah menyukai orang yang bercakap. Jarak psikologi yang jauh menyebabkan pendengar berasa “jauh,” “asing” dan “tidak kenal” dengan individu yang bercakap dengan mereka dan oleh yang demikian mereka tidak menyukai individu itu sedangkan, manusia mudah terpengaruh oleh kata-kata orang yang mereka sukai.

Bahasa adalah punca utama mengapa jurang jarak psikologi boleh menjadi makin rapat ataupun makin luas. Untuk menghapuskan jarak psikologi itu, seseorang itu perlu menggunakan bahasa yang digunakan oleh individu-individu yang hendak dipengaruhi. Inilah prinsip yang diamalkan oleh pakar-pakar strategi pemasaran artis-artis antarabangsa. Sebelum mereka pergi ke sesuatu negara untuk membuat persembahan, mereka akan belajar bercakap sepatah dua di dalam bahasa tempatan, dan menyanyikan satu lagu tempatan. Dengan demikian jarak psikologi antara mereka dengan peminat tempatan dapat dirapatkan dan mereka akan tambah disukai oleh peminat-peminat mereka walau ke mana mereka pergi membuat pertunjukan. Hasilnya jualan album mereka tambah laris.

Bahasa positif adalah gaya bahasa yang sangat digemari orang, oleh itu gaya ini sangat berpengaruh. Maksudnya, jikalau seseorang itu hendak membuat individu-individu lain suka bercakap-cakap dan berbual-bual dengannya supaya mereka dapat dipengaruhi, maka gaya bahasa positif dapat membantunya mempengaruhi mereka. Disebabkan individu-individu yang berjaya adalah juga individu-individu yang menggunakan gaya bahasa positif, maka tidak hairanlah apabila percakapan individu-individu yang berjaya dapat mempengaruhi individu lain dengan lebih mudah.

Bahasa adalah seperti kapal yang sarat dengan berbagai muatan. Ia bukan setakat mengandungi makna perkataan-perkataan yang digunakan sebaliknya ia juga memberi tahu berbagai-bagai maklumat berkenaan diri si pengguna bahasa itu. Dengan mendengar bahasa yang digunakannya, orang-orang lain dapat mengetahui banyak maklumat berkenaan peribadi si penutur, sebagai contoh, dia boleh tahu sama ada si penutur mempunyai keyakinan diri yang tinggi, mempunyai pendidikan yang tinggi ataupun rendah, serta bidang pendidikannya. Orang juga boleh tahu emosi yang sedang dirasakannya waktu itu serta sikapnya, iaitu sama ada dia seorang yang bersikap positif ataupun negatif. Satu lagi maklumat peribadi yang akan dapat diketahui oleh orang-orang lain melalui bahasa iaitu sama ada si penutur seorang yang memiliki estim tinggi ataupun rendah.

Estim ialah perasaan di mana seseorang itu berasa suka dan seronok menjadi dirinya sendiri, iaitu keadaaan dirinya yang sekarang. Apabila seseorang itu sangat seronok menjadi dirinya sendiri, estimnya tinggi tetapi apabila seseorang itu tidak seronok, estimnya rendah. Satu ujian yang mudah untuk mengetahui sama ada estim seseorang itu tinggi ataupun rendah ialah dengan menengok cermin muka. Apabila seseorang itu suka pada apa yang dia nampak dalam cermin itu, iaitu bayangan wajahnya saat itu maka itu tandanya estimnya tinggi.

Pakar-pakar psikologi mengatakan individu-individu yang berjaya adalah individu-individu yang mempunyai estim tinggi manakala, individu-individu yang gagal di dalam kehidupan mereka mempunyai estim yang rendah. Apabila individu-individu yang mempunyai estim tinggi bercakap, bahasa yang mereka gunakan mempunyai ciri-ciri seperti mereka bercakap dengan lebih lancar, tersusun dan tatahabasanya betul. Mereka menggunakan kata-kata daripada jenis yang positif. Mereka menunjukkan komitmen kepada apa yang mereka ucapkan, ertinya mereka akan mengotakan kata-kata mereka.

Individu-individu yang estimnya rendah mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza. Mereka tidak seronok menjadi diri mereka sendiri, mereka hendak menjadi individu lain. Mereka malu dengan keadaan diri mereka oleh itu mereka terdorong meniru-niru dan terikut-ikut orang lain sebagai contoh, mereka cuba meniru bahasa, gaya dan tingkah laku orang-orang lain yang mereka anggap lebih mulia daripada diri mereka sendiri. Individu-individu yang mempunyai estim rendah suka melihat kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri mereka. Mereka melihat diri mereka tidak sehebat orang-orang lain oleh sebab itu mereka percaya dengan menjadi seperti orang lain, barulah diri mereka akan jadi sehebat orang-orang yang mereka tiru itu, akibatnya mereka yang rendah estim sangat kuat berusaha hendak menjadi seperti orang lain.

Mereka juga menunjukkan sifat di mana mereka tidak yakin kepada diri mereka sendiri. Mereka tidak yakin bahawa apa-apa yang ada pada diri mereka adalah sebaik apa-apa yang dimiliki oleh orang lain sebagai contoh, mereka percaya bahasa orang lain lebih hebat, begitu juga budaya hidup orang lain lebih baik, akibatnya mereka meniru bahasa dan budaya orang-orang itu. Mereka itu menyangka apabila mereka boleh menunjukkan bahawa mereka pandai bercakap dalam bahasa orang asing, mereka akan jadi sehebat orang asing itu. Begitu juga apabila mereka mengamalkan budaya orang asing, mereka pun akan naik taraf, sama dengan taraf orang asing itu.

Menurut pakar-pakar psikologi, individu-individu yang rendah estim sangat mudah terikut-ikut orang lain disebabkan mereka tidak berani menjadi individu yang berbeza daripada kebanyakan orang lain. Mereka sangat mengambil berat apa orang lain kata tentang diri mereka sebaliknya individu-individu yang tinggi estim tidak suka jadi seperti kebanyakan orang lain. Mereka tidak suka terikut-ikut. Mereka suka berbeza daripada kebanyakan orang malah mereka mahu orang lain yang terikut-ikut mereka.

Hasil kajian pakar-pakar psikologi menunjukkan jelas sekali wujudnya perkaitan kuat antara kejayaan, bahasa dan estim. Salah satu faktor yang menyebabkan individu-individu lain mudah terpengaruh oleh seseorang individu ialah estim yang dipancarkan di dalam bahasa yang digunakannya untuk mempengaruhi individu-individu lain. Estim mempunyai kesan persuasif, oleh itu inidividu-individu yang memiliki estim tinggi juga mempunyai daya persuasif yang tinggi, dan begitu juga sebaliknya. Sumber estim yang paling besar ialah kejayaan, itulah sebabnya manusia mudah terpengaruh dengan cakap individu-individu yang dianggap lambang kejayaan. Manusia mudah menerima idea, cadangan, nasihat, pandangan-pandangan dan teguran individu-individu yang berjaya sebaliknya, kalau pandangan yang serupa, tetapi ia datang dari individu yang tidak berjaya, maka ia tidak mudah diterima.

Menurut pakar-pakar psikologi, manusia mudah suka kepada individu-individu yang bersikap positif di mana perasaan suka itulah yang menyebabkan manusia juga mudah terpengaruh oleh mereka yang bersikap positif. Disebabkan individu-individu yang bersikap positif dapat mempengaruhi individu-individu yang mendengar mereka bercakap, jadi mereka lebih mudah berjaya dalam apa yang mereka lakukan. Inilah faktor yang dapat menerangkan mengapa individu-individu yang berjaya adalah juga individu-individu yang mempunyai estim tinggi dan mereka adalah juga individu-individu menggunakan bahasa positif. Estim, stail bahasa positif dan kejayaan, adalah tiga perkara yang saling kait-mengait, Yang satu menyebabkan yang satu lagi, dan begitulah seterusnya ia berputar-putar dalam lingkaran yang mencipta kejayaan demi kejayaan.

Individu-individu beretim tinggi bercakap dengan lebih fasih, lancar dan teratur. Bahasa mereka tersusun rapi. Mereka berhati-hati apabila memilih perkataan yang digunakan. Intonasi mereka terkawal, dan mereka bercakap pada kadar kelajuan yang sederhana, iaitu tidak terlalu laju ataupun terlalu lambat. Bahasa mereka tidak “patah-patah” dan tidak bercampur-aduk dengan loghat daerah, loghat basahan ataupun bahasa-bahasa asing. Bahasa yang bercampur-aduk menimbulkan kesan negatif kepada imej estim seseorang akibatnya kata-katanya tidak dapat mempengaruhi pemikiran individu-individu yang hendak dipengaruhi. Ayat yang patah-patah dan bahasa campur-aduk menggambarkan si penutur seorang yang tidak yakin dengan apa yang diucapkannya dan tidak yakin kepada perkataan-perkataan dan bahasa yang digunakannya.

Bahasa yang tidak lancar juga memberi gambaran si penutur tidak selesa dengan apa yang dia ucapkan dan ia menggambarkan si penutur tidak mengetahui dengan mendalam perkara itu. Bahasanya itu mencerminkan dia tidak komited dengan idea-idea yang sedang di-sampaikannya. Lebih serius lagi, bahasa yang patah-patah dan bercampur-aduk menunjukkan ia datang daripada pemikiran yang tidak teratur, kelam-kabut, dan memberi gambaran si penutur “belum siap berfikir” tetapi sudah mahu bercakap. Faktor-faktor ini menyebabkan si pemimpin tidak dapat memancarkan karisma yang mungkin ada pada dirinya seandainya dia bercakap dengan gaya positif.

Kemahiran berkomunikasi adalah berdasarkan ilmu pengetahuan oleh itu ia mesti dipelajari, sebagaimana seseorang itu mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan lain. Untuk berkomunikasi secara berkesan, faktor-faktor yang menghalangannya perlu dikenal pasti. Dengan cara mengenal pasti halangan-halangan ini, ia membantu pemimpin berhati-hati dalam berkomunikasi.