PANTUN EMPAT KERAT (MUAFAKAT)
Pengenalan
Pantun tergolong dalam genre prosa tradisional. Penggunaan pantun dalam komunikasi zaman dahulu melambangkan kehalusan akal budi dan ketinggian adab seseorang. Pembayang pantun yang tulen ialah tentang unsur alam, atau tentang kerenah manusia.
Setiap baris pantun yang baik mengandungi antara 10 hingga 12 suku kata. Bentuk pantun yang paling mudah ialah pantun 2 kerat, manakala pantun yang lebih rumit ialh pantun 8 kerat. Pantun diungkapkan dengan gaya dan lagu suara (nada, gelombang sebutan) yang tersendiri.
Dalam setiap rangkap pantun, dua baris pertama ialah pembayang, manakala dua baris berikutnya ialah maksud atau mesej sebenar yang ingin disampaikan. Walaupun secara paling baik, rima awal, rima tengah dan rima akhir antara pasangan ayat pembayang dan maksud cuba disamakan, hakikatnya perkara itu sukar untuk dilakukan. Memadai jika rima akhir pasangan baris pertama dengan ketiga, dan kedua dengan keempat, dapat disamakan.
Perbincangan rangkap demi rangkap
Indah sungguh warna pelangi,
Tidak luput hingga senja;
Ke lurah sama diharungi,
Usaha bersama membawa bahagia.
Susah payah dalam sesuatu pekerjaan akan menjadi lebih ringan jika dilakukan secara beramai-ramai. Malah, cara demikian akan menumbuhkan rasa bahagia dan gembira kepada semua orang yang turut serta. Sebarang masalah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan mudah.
Buah salak di dalam kantung,
Kulitnya keras isinya kelat;
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.
Ambilan peribahasa klasik ini memang tepat dengan mesej keseluruhan pantun. Kekuatan masyarakat atau mana-mana kumpulan manusia terletak kepada ikatan kerjasama yang terjalin. Persefahaman ialah teras keutuhan sesebuah masyarakat.
Turun ke paya memetik kangkung,
Hati-hati terkena getahnya;
Bergotong-royong penduduk sekampung,
Hidup muafakat hidup bahagia.
Amalan dan tradisi gotong-royong berakar umbi di kawasan desa dan kampung. Kerja seperti kenduri kendara dan membina rumah dilaksanakan secara beramai-ramai. Bibit kemesraan yang tumbuh menyumbang terhadap kehidupan masyarakat yang rukun damai dan sejahtera.
Beras segantang sudah disukat,
Lalu disimpan di atas para;
Andai seluruh masyarakat muafakat,
Negara damai rakyat sejahtera.
Muafakat hanya tercapai jika semua anggota masyarakat bersatu hati, sekata dan sejiwa dalam sesuatu hal, atau urusan kerja. Muafakat ialah asas perpaduan. Akhirnya, negara akan beroleh suasana (milieu) yang aman, sentosa dan tenteram sehingga rakyat jelata menikmati kesejahteraan hidup.
Sawah padi luas terbentang,
Kuning keemasan indahnya maya;
Percaya-mempercayai asas berpegang,
Barulah muafakat kekal selamanya.
Prasyarat kejayaan muafakat ialah ikhlas, jujur dan saling percaya. Pegangan sedemikian ialah sebagai jaminan supaya amalan muafakat dapat bertahan sepanjang masa.
Harum sungguh bunga melati,
Hiasan sanggul amat memikat;
Bertolak ansur, hormat-menghormati,
Mengukuhkan perpaduan ikatan muafakat.
Amalan muafakat perlu kepada sikap tolak ansur dan saling hormat. Perbezaan dalam perkara-perkara kecil hendaklah diketepikan, sebaliknya mendahulukan persamaan buah fikiran dan cara bertindak. Perpaduan masyarakat sangat bergantung kepada kesanggupan menerima perbezaan seadanya.
Kajian komsas
Pantun selenggaraan Zailani Taslim dari Terengganu di atas menyebut perkataan muafakat dalam semua rangkap, kecuali rangkap pertama yang disebut sebagai usaha bersama. Unsur perulangan itu sejajar dengan tema pantun yang berkisar kepada amalan muafakat mengukuhkan perpaduan masyarakat. Pembayang pantun nyata lebih menjurus kepada unsur alam.
Nilai murni: kerjasama, tolak ansur, saling percaya, saling hormat, perpaduan
Persoalan: kerjasama membawa bahagia
: muafakat mengukuhkan perpaduan masyarakat
: tolak ansur menjayakan muafakat
: saling percaya menentukan muafakat
: saling hormat teras muafakat
: perpaduan masyarakat menerusi muafakat
Pengajaran: kita hendaklah sentiasa bermuafakat dalam melakukan sebarang pekerjaan / membuat keputusan
: kita hendaklah mengutamakan perpaduan masyarakat
: kita hendaklah bertolak ansur dalam kerja bermuafakat (pasukan)
: kita hendaklah saling percaya membina muafakat
: kita hendaklah saling hormat menuju muafakat
: kita jangan hanya mementingkan diri sendiri / memencilkan diri dalam masyarakat
Kajian kbkk:
: muafakat remaja seperti kumpulan belajar, kokurikulum, permainan, sukan, perkongsian ilmu
: muafakat remaja seperti kumpulan belajar, kokurikulum, permainan, sukan, perkongsian ilmu
: muafakat warga sekolah seperti gotong-royong perdana, menyokong wakil sekolah yang bertanding
: muafakat keluarga seperti membersih dan mengemas rumah dan laman rumah, rehlah dan riadah
: muafakat komuniti seperti hari keluarga, kempen menghapuskan sarang nyamuk aedes
: muafakat organisasi / pertubuhan seperti kelab / persatuan pengguna / rukun tetangga / bomba bantuan
: muafakat negara seperti belanja berhemat melawan inflasi, membanteras jenayah