Akhir-akhir ini, Razali dipeningkan oleh lagak isterinya yang mula berubah. Semakin hari semakin degil, membangkang dan melawan saja tingkahnya. Apakah kerana si isteri telah mengalami perubahan hormon secara drastik atau sebab penyakit yang mempengaruhi emosinya. Apalagi jika terlalu kerap ditinggal out station dan mulalah isteri bergaul dengan member-member bermasalah maka berjangkitlah penyakit ‘bawaan kawan’ ini. Razali mula tak sabar dengan kegilaan baru isterinya membeli belah dan berhutang along demi mengikut trend. Jika dinasihat melenting tak pasal-pasal, anak-anak ditinggal hingga larut malam kerana mahu mencuba perniagaan baru kononnya.
Razali mengadu kepada ibunya, mak mertua dan kawan-kawan yang prihatin. Tetapi, dia lupa kesilapan isteri itu sebenarnya berkait rapat dengan kelemahan dirinya sendiri. Sebenarnya perkahwinan itu mula retak jika suami dan isteri tiada rasa bertanggungjawab ke atas pasangan. Rasa bertanggungjawab ke atas pasangan ini amat penting untuk memastikan keduanya berjalan sama langkah kearah yang satu.
Tanggungjawab bermakna kita mesti mendidik pasangan untuk bersatu hati, komited atas kerja membina keluarga bersama-sama, berbincang dan bermesyuarat dalam merancang masa depan, membahagi tugas dan peranan masing-masing tanpa diskriminasi dan manipulasi satu sama lain.
Bagaimana isteri mahu dibawa berbincang jika suami asyik bawa diri sendiri? Sibuk dengan kerja sampai tak ingat macam mana nak berkomunikasi mesra dengan isteri. Bila berjumpa hanya arahan saja yang kedengaran ataupun suka sangat menyalahkan isteri, cerewet melihat ketidak sempurnaan layanan walaupun sebenarnya isteri telah bertungkus lumus untuk memberi ruang keselesaan. Lama-kelamaan isteri tak puas hati, suami asyik nak mengata dia salah saja, suami benar selama-lamanya.
Di manakah sentuhan jiwa suami yang dulu pernah menjinakkan isteri? Jangankan bercakap lembut, mata suami pun tak sempat lagi memandang isteri tapi suaranya yang tak puas hati sudahpun memenuhi atmosfera rumah mereka. Kalau ada hajat barulah isteri disentuh-sentuh, dipujuk-pujuk padahal ketika itu isteri masih menyimpan marah dan langsung tiada mood untuk bermesra. Akhirnya aktiviti seksual yang dilakukan asal jalan saja, tanpa keseronokan dan kepuasan.
Jika isteri memberontak, suami pun mengata isteri degil dan suka melawan. Tapi tak pernah suami mencari punca-puncanya. Tiada masa untuk berbincang sebagaimana dulu semasa baru berkenalan. Mengapa masa amat mencemburui mereka? Sibuk ke sana ke mari hingga tak tersentuh insan yang paling berharga dalam hidup kita. Sebenarnya masalah isteri degil ini telah dinyatakan dalam Al-Quran dan suami-suami yang beriman wajib menasihat isteri sebelum memulaukan atau memukul tanpa memcederakan.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nisa ayat: 34 yang bermaksud; “Perempuan-perempuan yang kamu khuatirkan akan nusyuz hendaklah kamu beri nasihat kepada mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidurnya atau pukullah mereka. Tetapi jika mereka mentaati kamu maka janganlah mencari-cari alasan untuk menyusahkan mereka.”
Tidak perlu pukulan, memaki dan memulau isteri, yang paling mustahak adalah kasih sayang dalam bentuk nasihat dan tunjuk ajar. Jika masa berbual pun terhad bahkan tiada macam mana anda boleh dikatakan telah menunaikan tanggungjawab menasihati isteri? Belum berjaya menasihat dah tak sabar terus memaki isteri, hati siapa boleh terima hinaan?
Sebenarnya tak susah mencairkan hati isteri, berbincanglah dan berbual panjang-panjang, dengar rintihannya dan ajaklah dia memahami anda. Isteri pun manusia biasa yang boleh tenggelam oleh persekitaran yang negatif, bahkan diri anda pun tiada beza. Jadi kenalah bersabar jika mahu meluruskan tulang belakang yang bengkok. Jika terkasar boleh patah tetapi tidak boleh anda biarkan ia rosak.
Isteri adalah amanah Allah, bukan barang hak mutlak milik anda seorang. Anda disuruh menjaganya bukan mempergunakannya sesuka hati. Dah habis diguna jika rosak buang ke tong sampah, dituduh tak sempurna, tak bermanfaat, tak membawa untung. Dia adalah amanah Allah, yang akan disoal ke atas setiap suami bagaimanakah mereka menjaga isteri sesuai dengan suruhan Allah dan Rasul-Nya.
Rasulullah SAW bersabda kepada para suami yang bermaksud: “Pulanglah kepada keluarga kalian, berdiamlah, ajari dan bimbing mereka. Lakukanlah salat begini dan begini.” (Hadis Muttafaqun ‘alaih)
Begitulah sentuhan jiwa yang diperlukan isteri, kepimpinan suami menjejaki jalan yang sukar dilalui biarlah anda mengenggam tangannya menapaki kehidupan ini dengan sentuhan iman, kasih sayang, kelembutan dan nasihat yang tidak mencederakan hati isteri. Bukan hanya salat, bahkan ajari dia mengenal Allah, berbuat baiklah seolah-olah tiada seorang pun yang pernah melayannya dengan lembut kecuali anda. Wanita fitrahnya inginkan kelembutan, jika ditengking bertambah degillah dia.
Sumber : Dr Juanda