16 Nov 2011
Bagaimana Mencipta Ketenangan Hati
Ketenangan hati adalah punca kebahagiaan. Jika ia dapat dibeli dengan wang ringgit, sudah tentu orang yang memiliki kekayaan sahaja yang dapat tersenyum lebar. Atau mungkinkah ketenangan hati hanya boleh dirasai oleh orang yang glamor dan terkenal, cantik, seksi atau segak sahaja? Tidak semudah itu meletakkan harga ‘ketenangan’ pada apa yang mereka miliki. Bukankah Allah Taala Maha Adil. Rupanya ketenangan itu bersifat abstrak dan susah untuk diprediksi. Si miskin yang tinggal di rumah usang di pinggir desa pun mampu tersenyum bila mendapat seratus dua ringgit sebulan, hasil usaha dengan hati yang cekal dan gagah mengharung nasib. Berbanding mereka yang mengeluarkan seribu dua ribu ringgit untuk melepak di hotel-hotel terkemuka tetapi berhati risau dan sedih, takut dan pengecut menerima suratan takdir. Ada yang mengorbankan maruah dan sifat manusiawinya untuk kemewahan semata, padahal dia tidak mampu memberi ‘ketenangan’ yang diimpikannya selama ini.
Ketenangan yang dicari menjadi formula yang amat berharga. Di manakah ia tersembunyi? Ada yang mencarinya di tempat yang salah, ada juga yang menemuinya di tempat yang betul tetapi terseleweng akibat kecetekan ilmu. Sesungguhnya ketenangan itu milik Allah Taala, hanya Dia yang boleh meletakkannya di dalam hati makhluk-Nya. Manusia boleh mencari ketenangan semahunya tetapi sayang, ke manapun dia pergi sulit untuk dijumpai. Rupanya Allah Taala belum berkenan menitiskan ‘benih ketenangan-Nya’ ke dalam hati si pencari ini. Padahal telah banyak air mata yang ditumpahkannya untuk membeli ketenangan abadi. Kasihan sungguh orang seperti ini. Hanya belaian rahmat Allah Taala saja yang mampu mengusap air matanya.
Hamba ini tak tahu bahawa ketenangan yang dicarinya selama ini berada dekat di hatinya, tempat yang disinggahi para malaikat, di situlah hujan rahmat sentiasa turun mendamaikan jiwa. Di manakah destinasi itu? Ketenangan hanya dapat anda rasai bila berada dekat dengan Allah Taala. Dekat sedekat-dekatnya, hingga kita tidak pedulikan apa-apapun melainkan Dia. Mengapa manusia lupa bahwa hanya Allah saja yang Maha Tahu formula yang paling baik untuk mendapatkan ketenangan? Bukankah Allah Yang Maha Mencipta pasti memegang segala rahsia kebahagiaan? Allah Taala telahpun menurunkan syariat-Nya yang mengandungi formula-formula yang hebat itu. Tetapi manusia justeru memilih formula yang lain. Semakin dia menjauh diri dari Allah SWT, semakin tersiksa batinnya. Hawa nafsunya semakin tenat kerana tidak pernah puas mencari kebahagiaan palsu.
Formula ketenangan itu ada pada ilmu yang bermanfaat. Carilah rahmat Allah SWT di atas lembaran-lembaran al-Quran, terangilah jalan anda dengan suluhan Rasulullah SAW melalui hadis-hadis baginda. Ketenangan berpunca daripada destinasi ini. Iaitu kembali kepada Allah dan Rasul-Nya dengan menuntut ilmu, mengkaji dan mengamalkannya. Nescaya kita tetap berada pada landasan yang betul walaupun zaman berubah.
Formula ketenangan yang kedua ialah harta yang berkat. Kita akan merasai ketenangan apabila kita pandai mengurus diri. Untuk itu kita memerlukan harta yang akan memastikan segala keperluan asas dapat dipenuhi. Harta juga ikut membantu memudahkan ibadat kita kepada Allah SWT. Tidak mungkin ketenangan ibadat diwujudkan tanpa sokongan harta yang berkat. Orang yang tidak pandai mengurus hartanya akan menyebabkan dia jauh daripada Allah SWT. Jika kaya lupa daratan, apabila miskin lagi teruk sikapnya. Hentam saja, halalkah atau haram, yang penting dapat.
Impian orang mukmin menjadi kaya membuatnya bersungguh-sungguh mencari harta yang berkat. Betapa bahagianya jika harta itu boleh digunakan untuk menolong sesama manusia dan memperjuangkan agama Allah SWT. Di samping untuk mendapatkan kemanisan beribadat kepadanya, rumah yang selesa, anak-anak yang terjaga dan terdidik dengan sempurna, isteri yang baik, keluarga dan masyarakat yang mapan material dan spiritualnya. Negara yang maju berdiri memimpin manusia ke jalan yang diredai Allah. Sesungguhnya kita diciptakan Allah SWT untuk mentadbir dunia ini sebagai syarat mendapatkan syurga di akhirat nanti. Ketenangan itu bukan hanya milik penghuni syurga tetapi ia ada di dunia nyata jika kita ikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh-Nya.
Formula ketenangan yang ketiga ialah menikmati hidup dengan reda. Anda akan sentiasa dikejar bayang-bayang yang menakutkan apabila tidak bersandar pada sikap reda pada qadak dan qadar dari Allah Taala. Reda adalah syarat mendapat ketenangan. Jika ramai manusia tidak mahu reda dengan keadaan yang menimpa, pasti akan terjadi huru-hara di dunia ini. Suami dan isteri yang tidak reda dengan pasangannya akan menimbulkan permusuhan, dendam dan akhirnya perceraian. Demikian juga jika seorang pekerja yang tidak reda dengan hasil pendapatannya, dia akan berani melakukan rasuah, menipu dan memakan harta orang lain demi mendapatkan kekayaan dengan cepat dan mudah. Pasti ada orang yang menjadi mangsa atas perbuatan jahat sebegini. Di rumah, anak-anaklah mangsanya. Dalam perniagaan, ekonomi dan politik pun serupa jika dijalankan oleh mereka yang rosak emosinya kerana tiada sikap reda.
Di manakah ketenangan yang dicari? Jalannya telahpun terang seperti kata-kata Nabi Allah Yusuf AS kepada dua orang pemuda yang meminta fatwa dari balik tembok penjara yang di situ tempat bersarangnya kerisauan, kegelisahan, putus asa dan sakarat. Satu saja nasihat Nabi Allah Yusuf AS yang dinyatakan di atas firman Allah SWT yang bermaksud: ”Wahai kamu berdua, adakah tuhan-tuhan yang kamu sembah itu lebih baik, ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa?” (Surah Yusuf: Ayat 39)
Bagi sesiapa yang dihimpit rasa risau, gelisah dan takut, tidak merasai ketenangan dan kebahagiaan, ketahuilah sesungguhnya punca semua itu adalah kerana ada tuhan lain yang mengisi hati kita. Tuhan harta, Tuhan benda, Tuhan pangkat dan ilmu, Tuhan nafsu dan syahwat yang semuanya itu telah menjadi lebih Akbar berbanding Allah Yang Maha Besar.
Sumber : Blog Dr. Juanda
-
Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi ,"bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat ". Semangat perpaduan ...
-
PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Selain dorongan ibu bapa dan tunjuk ajar daripada para guru, sikap sabar dan konsisten merupakan kunci kej...