APABILA DITIKAM DARI BELAKANG…
Bagaimana rasanya jika anda ditikam dari belakang? Maksudnya, anda dikhianati oleh orang yang anda percayai, hormati malah sayangi. Apakah perasaan anda jika anda ingin perkara seumpama itu tidak berlaku (malah tidak pun menyangkanya) tetapi ia berlaku juga dalam episod hidup yang singkat ini? Ya, anda, saya dan kita semua pasti melalui episod yang sedih dan tidak disangka itu dalam hidup. Jika tidak berkali-kali, pasti sekali kita mesti ’terkena’.
Saya ingin tegaskan… mesti ada rasa takut, jeran dan kecewa. Malah kadangkala anda menjadi curiga dan berprasangka buruk dengan semua orang. Insiden pahit yang sekali itu menjadi trauma dalam jiwa yang menyebabkan kita sukar mempercayai sesiapa lagi. Ya, jika dia yang begitu akrab dengan kita, mungkin begitu tinggi ilmunya, mungkin telah banyak budi dan jasanya… pun tergamak melakukanya, apatah lagi orang lain? Begitu getus rasa kita.
Jika itulah akibatnya, hidup kita akan hilang bahagia. Kita tidak akan ceria lagi. Bila kita sudah tidak ceria, apa yang dibuat pasti tidak menjadi. Hari-hari yang indah bertukar gundah. Kita rasa malas melangkah dan segala potensi diri pudar tidak menyerlah!
Jika itulah yang berlaku, kita sebenarnya sedang memberi kemenangan total kepada orang yang mengkhianati kita. Dia akan berjaya memporak-perandakan kehidupan kita berkali-kali. Jangan biarkan dia menang. Sebaliknya, berhentilah mengenang perbuatannya. Jauhkan diri dan berhati-hati dengan ’gunting dalam lipatan’ ini.
Tetapkan satu jarak yang jauh tetapi jangan memutuskan. Sekiranya tidak mampu melupakan, tidak mengapa, tetapi belajarlah memaafkan. Jangan membalas. Jangan kita mengkhianati diri sendiri hasil pengkhianatan orang kepada kita!
Bersabar atas karenah pergaulan dengan manusia adalah tuntutan agama. Kita tidak hidup dalam masyarakat malaikat – yang tidak alpa dan tidak berdosa. Tarik nafas dalam-dalam dan helakannya panjang-panjang. Cubalah bermuhasabah dengan diri sendiri penuh berani dan jujur. Acapkali, kita dikhianati kerana pernah mengkhianati. Atau kita berdiam diri apabila orang lain dikhianati dan dizalimi. Padahal, membela dan bersuara atas kebenaran itu satu tuntutan. Jangan dayus, penakut dan peangpu… itu umpama syaitan bisu.
Sudah lumrah dalam hidup ini, kita terpaksa hadapi perkara yang tidak kita inginkan. Kita tidak mampu mengawal semua yang berlaku agar sentiasa cocok dengan keinginan dan kemampuan kita. Justeru, selalu berlaku perkara-perkara yang kita sendiri tidak inginkan berlaku. Lantas kita akan mengalami ketakutan – takut sakit, takut gagal, takut dicerca orang dan sebagainya. Kita tidak boleh lari daripada hakikat ini.
Itu semua adalah realiti dan basahan dalam hidup yang terpaksa kita hadapi. Soalnya, bagaimana kita dapat menangani semua itu dengan cara yang sebaik-baiknya? Hingga dengan itu bukan sahaja kita dapat mengatasinya, malah dapat memanfaatkannya untuk terus mencapai kejayaan. Salah satu caranya ialah dengan membesarkan cita-cita. Ya, cita-cita yang besar akan mengecilkan kritik, pengkhianatan dan sabotaj oleh musuh dalam selimut!
Bayangkan dalam perang Khandak yang hebat itu. Musuh – tentera-tentera Ahzab mengepung di luar kota Madinah, manakala Yahudi menikam dari dalam kota Madinah. Ditambah oleh tipu daya licik para munafik. Bekalan makanan pun kekurangan. Bagaimana Rasulullah menghadapi ya?
Ya, dengan menanamkan satu berita dan cita-cita besar – Rom dan Parsi – dua kuasa besar dunia ketika itu akan tersembam di telapak kaki umat Islam. Jika difikirkan mana logiknya? Sedangkan tentera gabungan puak Quraisy dan pengkhianatan pihak Yahudi sedang mencengkam pada saat yang sangat kritikal itu. Namun itulah Rasulullah… penderitaan dunia yang sedang dihadapi diperkecilkannya dengan janji syurga, ancaman musuh di peringkat ’local’ dipermudahkannya dengan kejatuhan musuh besar di peringkat internasional.
Jangan trauma dengan pengkhianatan masa silam. Jangan bimbang dengan pengkhinatan masa akan datang. Tetapi binalah cita-cita besar yang mampu ’meremehkan’ semua itu. Dengan cita-cita besar kita akan menjadi raja. Bukan raja untuk berbangga tetapi raja yang mempunyai keyakinan diri dan kemurnian reputasi. Biarlah anjing menyalak bukit. Bukit tidak akan runtuh. Begitulah orang yang menikam kita dari belakang… kerana dia hakikatnya lemah, penakut dan tidak punya keyakinan diri untuk bertarung secara berdepan!
Tidak ada orang yang mahu menendang anjing yang telah mati. Maka begitulah kita, selagi ada tenaga, upaya dan keinginan yang menyala-nyala maka akan sentiasa ada ’musuh’ dalam selimut yang ingin mengacau kita. Kritik yang tidak adil adalah pujian yang tidak rasmi. Tikaman dari belakang petanda kita gagah dan digeruni untuk dihadapi secara berdepan.
Yang penting, bermusabah diri. Jaga hati agar sentiasa lurus dan tulus. Jaga perlakuan agar sentiasa diikat oleh syariat. Jika itu telah dapat kita usahakan… pengkhianatan akan dapat kita hadapi dengan senyuman. Strategi liciknya akan membelit dirinya sendiri. Dan dia akan terjerumus dalam lubang yang digalinya sendiri!
Kita? Biarlah tetap menjadi hamba Allah. Tetapi menjadi raja kepada diri kita sendiri!
] DOA AGAR TERHINDAR DARI BERBAGAI KEJAHATAN
] DOA AGAR TERHINDAR DARI BERBAGAI KEJAHATAN
اللَّـهُمَّ رَبَّ السَّمَوَاتِ السَّبْعِ و رَبَّ الأَرْضِ، وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَالإِنْجِيلِ وَالفُرْقَانِ، أَعُوذُبِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ، اللَّـهُمَّ أَنْتَ الأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، و أَنْتَ َالآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَ أَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ، إِقْضِ عَنَّا الدَّيْنِ، وَأَغْنِنَا مِنَ الفَقْرِ
Ya Allah , Tuhan langit yang tujuh, tuhan bumi, tuhan arasy yang agung, Tuhan kami dan Tuhansegala sesuatu , pembelah biji dan benih , tuhan yang menurunkan taurat , injil dan al-Furqan ( al-Quran ), aku berlindung kepadaMu dari segala kejahatan yang Engkau pegang ubun-ubunnya, ya Allah engkaulah yang pertama tiada sesuatu sebelumMu, Engkaulah yang paling akhir, tiada sesuatupun sesudahMu. Engkaulah yang Zahir, tiada sesuatu yang lebih hebat dariMu, dan Engkaulah yang batin, tiada sesuatupun yang tersembunyi dariMu, tunaikanlah hutang kami dan cukupkanlah keperluan kami .
Ya Allah , Tuhan langit yang tujuh, tuhan bumi, tuhan arasy yang agung, Tuhan kami dan Tuhansegala sesuatu , pembelah biji dan benih , tuhan yang menurunkan taurat , injil dan al-Furqan ( al-Quran ), aku berlindung kepadaMu dari segala kejahatan yang Engkau pegang ubun-ubunnya, ya Allah engkaulah yang pertama tiada sesuatu sebelumMu, Engkaulah yang paling akhir, tiada sesuatupun sesudahMu. Engkaulah yang Zahir, tiada sesuatu yang lebih hebat dariMu, dan Engkaulah yang batin, tiada sesuatupun yang tersembunyi dariMu, tunaikanlah hutang kami dan cukupkanlah keperluan kami .