Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak.
Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
Peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya memberikan bukti yang jelas akan peranan utama ibu bapa dalam aspek pembacaan anak-anak. Ibu bapa menjadi tunggak atau pendorong utama dalam memupuk sikap membaca generasi muda kita kelak. Maka, pelbagai peranan yang mampu dilaksanakan oleh ibu bapa dalam menyelesaikan isu ini.
Ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam aspek ini. Mereka perlulah sendiri mengamalkan sikap membaca dengan jelas seperti membaca semua bahan-bahan penting seperti akhbar atau bersama-sama membaca bersama anak mereka. Contoh yang diberikan oleh ibu bapa ini sudah pasti akan tertanam dalam dalam sanubari anak-anak mereka lalu menjadi satu tabiat positif pula.
Malah, ibu bapa boleh membelikan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak mereka. Bahan bacaan ini tidak semestinya merupakan bahan bacaan sekolah sahaja tetapi mungkin bacaan umum. Kepelbagaian bahan bacaan ini mampu memberikan satu dimensi pengetahuan yang unik kepada anak selain memupuk sikap membaca mereka.
Malahan, satu sudut khas untuk menyimpan buku atau ruang membaca harus disediakan di rumah oleh ibu bapa. Ruang atau bilik ini perlulah dilengkapi dengan pelbagai jenis buku dan kerusi serta meja untuk menjadikan suasana membaca lebih selesa. Bilik ini boleh menjadi tempat anak-anak menghabiskan masa lapang mereka dengan begitu berfaedah.
Tambahan pula, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak mereka menyimpan wang untuk membeli buku. Setiap hujung bulan ibu bapa boleh membawa anak ke kedai buku dan membenarkan mereka membeli buku-buku yang mereka suka. Mungkin juga ibu bapa boleh memberi sedikit bantuan kewangan jika harga buku yang dibeli oleh anak itu melebihi daripada wang yang mereka kumpul sebelum ini sebagai tanda menghargai sikap membaca mereka itu.
Kesimpulannya, amalan membaca membolehkan pelbagai jenis ilmu diperoleh oleh generasi muda kita. Peranan dan sikap ibu bapa amat penting dalam memupuk sikap membaca ini kerana merekalah yang menjadi teladan kepada anak-anak. Sikap membaca yang tinggi juga mampu menjadikan warga masyarakat kita satu kelompok masyarakat yang berilmu tinggi kelak.