10 Sep 2011

1. KEPENTINGAN MEMBELI BARANGAN BUATAN TEMPATAN
Isi-isi penting
1. menjimatkan perbelanjaan
2. Industri tempatan semakin berkembang
3. Peluang pekerjaan dalam bidang industri tempatan semakin berkembang.
4. Imej negara dapat ditingkatkan
5. Pengaliran mata wang keluar negara dapat dikurangkan
Kempen 'Beli Barangan Malaysia' bertujuan menggalakkan rakyat membeli barangan tempatan. Rakyat perlu menyokong kempen tersebut. Kini, sudah tiba masanya rakyat mengubah sikap dan menerima barangan tempatan. Rakyat perlu menjadi pengguna yang bijak. Terdapat pelbagai kepentingan dalam menggunakan barangan tempatan.
Kita dapat menjimatkan perbelanjaan jika kita membeli barangan tempatan. Harga barangan tempatan lebih murah berbanding barangan import. Sebagai contoh harga motosikal buatan tempatan, iaitu Kriss lebih murah berbanding motosikal import. Oleh itu, dengan membeli barangan buatan tempatan, kita dapat menjimatkan perbelanjaan untuk membeli barangan lain. Dalam hal ini, kita dapat menabung untuk masa depan, bak kata peribahasa sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.
Industri tempatan semakin berkembang. Banyak industri desa muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Sebagai contoh, industri batik, kraf tangan, songket dan tembikar. Industri ini dapat membantu rakyat hidup selesa. Dengan cara itu, industri tempatan dapat terus berkembang maju.
Peluang pekerjaan dalam bidang industri tempatan semakin berkembang. Rakyat mendapat peluang pekerjaan dan pengangguran dapat dikurangkan. Masalah sosial dapat dikurangkan. Rakyat dapat menikmati hidup yang lebih selesa. Oleh itu, rakyat dapat membantu perkembangan industri tempatan.
Imej negara dapat ditingkatkan. Negara dapat mengeluarkan barangan yang bermutu. Mutu barangan buatan tempatan sama dengan mutu barangan import. Sebagai contoh barangan daripada kulit, seperti kasut, beg, dan dompet. Barangan ini menjadi buah tangan pelancong yang datang ke negara kita. Malaysia dikenali dalam kalangan pelancong kerana menghasilkan pelbagai barangan yang berkualiti.
Pengaliran mata wang keluar negara dapat dikurangkan. Wang tersebut dapat digunakan untuk membantu rakyat. Sebagai contoh, kerajaan dapat menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat seperti jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan. Rakyat dapat hidup dengan lebih sejahtera. Oleh itu, ekonomi negara menjadi lebih stabil.
Kesimpulannya, industri barangan tempatan memberi banyak kebaikan kepada pelbagai pihak. Kita perlu bekerjasama untuk memajukan industri barangan tempatan. Kita bertanggungjawab untuk memastikan Malaysia duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Belilah barangan buatan Malaysia kerana barang buatan Malaysia kebanggaan kita bersama.
2. USAHA-USAHA MENGGALAKKAN PEMBELIAN BARANGAN BUATAN MALAYSIA
Isi-isi penting
  1. Membeli dan menggunakan barangan tempatan
  2. ibu bapa juga berperanan menggalakkan ahli keluarga membeli barangan buatan Malaysia
  3. guru boleh menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia
  4. Media massa sama ada media elektronik atau media cetak perlu menyiarkan iklan-iklan berkaitan barangan buatan Malaysia
  5. kerajaan sepatutnya mengadakan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia secara berterusan
Slogan Belilah Barang Buatan Malaysia merupakan slogan yang sering kita dengar sama ada di televisyen atau di radio. Barang buatan Malaysia ialah barang yang dihasilkan di dalam negara. Antara barang buatan Malaysia ialah kereta Proton Saga, barangan tembikar, batik lukis dan perabot rotan. Banyak kilang yang didirikan untuk menghasilkan barangan tempatan. Pelbagai usaha yang boleh dilakukan untuk menggalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia.
Kita membeli barangan buatan Malaysia dan menggunakannya. Barangan buatan Malaysia berkualiti dan setanding dengan barangan import. Kita harus berbangga dengan barangan buatan Malaysia, contohnya kereta nasional Myvi, dan kasut Bata. Kita perlu menggunakan barang buatan Malaysia dalam kehidupan seharian. Oleh itu sebagai rakyat Malaysia kita perlu berbangga dan menyokong barangan keluaran Malaysia.
Selain itu, ibu bapa juga berperanan menggalakkan ahli keluarga membeli barangan buatan Malaysia. Ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak dengan menggunakan barangan buatan Malaysia di rumah, contohnya perabot, pakaian, makanan dan barangan elektrik. Kesannya, anak-anak akan mengikuti jejak langkah ibu bapa, bak kata peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan teladan kepada anak-anak.
Guru-guru di sekolah juga seharusnya memupuk perasaan cinta akan negara. Guru-guru boleh menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan kemahiran hidup. Guru juga boleh menjadi teladan kepada pelajar dengan menggunakan barangan buatan Malaysia seperti kereta nasional, bak kata peribahasa kepimpinan melalui teladan. Oleh hal yang demikian, guru adalah suri teladan kepada pelajar.
Media massa sama ada media elektronik atau media cetak perlu menyiarkan iklan-iklan berkaitan barangan buatan Malaysia. Media massa boleh menjadikan iklan barangan buatan Malaysia sebagai selingan semasa menayangkan sesuatu rancangan. Sebagai contoh iklan-iklan yang kreatif ini mampu menarik minat rakyat untuk membeli barangan buatan Malaysia. Rakyat akan dapat maklumat terkini berkaitan barangan buatan Malaysia. Hal ini jelas menunjukkan bahawa media massa bertanggungjawab menggalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia.
Akhir sekali, kerajaan sepatutnya mengadakan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia secara berterusan. Hal ini dapat menggalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia dan seterusnya memupuk perasaan cinta akan negara, bak kata peribahasa tak kenal maka tak cinta. Sehubungan dengan itu, kerajaan boleh mengadakan promosi barangan buatan Malaysia melalui Karnival Barangan Tempatan. Oleh itu, kerajaan memainkan peranan penting dalam menggalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia demi Kerana Mu Malaysia.
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh pelbagai usaha boleh dilakukan untuk meningkatkan penggunaan barangan tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia. Semua pihak memainkan peranan dalam menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan barangan buatan Malaysia. Marilah kita menyokong barangan buatan Malaysia kerana produk kita kebanggaan kita.
3. USAHA-USAHA MENGURANGKAN KADAR KEMALANGAN JALAN RAYA
RANGKA ISI

· Pengguna perlu mematuhi peraturan jalan raya.
· Ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak ketika berada di jalan raya.
· Sekolah memperkenalkan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya.
· Media massa menyiarkan dokumentari berkaitan kemalangan jalan raya untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya.
· Kerajaan menjalankan kempen-kempen secara berterusan.
4. CIRI-CIRI PENULIS BERJAYA
1.0 Pendahuluan
2.0 Isi
2.1 rajin membaca
2.2 mempunyai minat yang mendalam
2.3 berpengetahuan luas
2.4 tabah / tidak mudah putus asa
2.5 berwawasan / bermotivasi tinggi
3.0 Penutup

Karangan Lengkap:
Pada masa ini kerjaya sebagai penulis semakin diminati. Kerjaya ini meliputi bidang seperti kewartawanan, novelis dan penyajak. Bidang ini menjanjikan pulangan yang lumayan kepada sesiapa yang menceburinya. Sebagai contoh tokoh penulis yang berjaya di Malaysia ialah A.Samad Said, Shahnon Ahmad dan Nisa Haron. Seseorang itu memerlukan pelbagai ciri positif untuk menjadi penulis yang berjaya.
Ciri pertama yang perlu ada ialah seseorang itu perlu rajin membaca. Dengan membaca, kita akan mendapat banyak pengetahuan yang berguna. Pengetahuan tentang ekonomi, masyarakat ,pertanian, sukan dan antarabangsa dapat membantu kita untuk menulis bahan yang berkualiti. Hal ini demikian, kerana membaca jambatan ilmu. Sesungguhnya, hasil penulisan yang diolah daripada bahan bacaan bermutu dapat menjadikan seseorang, penulis yang berjaya.pada masa hadapan.
Selain itu, minat yang mendalam juga merupakan ciri yang perlu ada untuk menjadi penulis berjaya. Apabila kita berminat dalam sesuatu bidang maka kita akan suka melakukannya secara bersungguh-sungguh. Minat yang mendalam juga akan mendorong kita untuk terus mendalami bidang tersebut tanpa unsur paksaan. Oleh yang demikian, kita akan terus mengasah bakat sedia ada dalam menghasilkan pelbagai karya. Jelaslah bahawa minat yang mendalam penting untuk kita menjadi penulis yang berjaya.
Berpengetahauan luas juga menjadi ciri penting untuk kita menjadi penulis yang berjaya. Pengetahuan dapat diperoleh dengan melakukan pemerhatian, perbincangan dan menimba pengalaman orang lain. Pengetahuan juga boleh dipelajari daripada orang yang pakar dalam bidang tertentu. Sebagai contohnya, kita boleh mengikuti kursus , seminar atau perbengkelan yang berkaitan dengan aspek penulisan. Oleh itu, kita dapat menggunakan pelbagai pengetahuan yang diperoleh untuk menjadi penulis yang berjaya.
Di samping itu, seseorang itu juga haruslah memiliki sifat tabah untuk menjadi penulis yang berjaya. Perkara ini penting kerana kejayaan tidak boleh dicapai dalam masa yang singkat. Kejayaan juga memerlukan usaha yang berterusan tanpa sifat jemu dan tidak mudah berputus asa. Pelbagai dugaan dan cubaan akan ditempuh sebelum kita mencapai kejayaan. Nyatalah, bahawa jika kita ingin menjadi penulis yang berjaya, maka sifat tabah dan tidak mengenal putus asa perlu ada.
Seterusnya, motivasi diri juga amat penting untuk kita menjadi penulis berjaya. Motivasi penting untuk mendorong dan menggerakkan kita untuk melakukan sesuatu perkara. Motivasi boleh dibahagikan kepada motivasi dalaman dan motivasi luaran. Akan tetapi motivasi dalaman yang paling penting untuk mendorong kita melakukan sesuatu. Dengan motivasi yang tinggi kita akan mampu menjadi penulis yang berjaya.
Kesimpulannya, pelbagai sifat dan sikap positif perlu ada dalam diri kita untuk menjadi penulis berjaya. Ciri-ciri ini dimiliki secara semula jadi atau dipelajari dari semasa ke semasa. Belakang parang kalau diasah lagikan tajam. Oleh itu,bakat dan minat dalam bidang penulisan perlu disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menjadi penulis yang berjaya.

5. KEPENTINGAN MEMUPUK PERPADUAN KAUM
1.0 Pendahuluan
2.0 Isi
2.1 dapat hidup dalam keadaan harmoni
2.2 dapat menyelesaikan masalah
2.3 dapat mengekalkan keamanan negara
2.4 dapat meningkatkan eknomi negara
2.5 dapat menjaga nama baik negara
3.0 Penutup
Karangan Lengkap.
Perpaduan kaum berkaitan dengan cogan kata bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Perpaduan kaum membolehkan masyarakat hidup secara bersatu hati. Pergaduhan antara kaum memberikan banyak kesan kepada negara. Banyak usaha perlu dilakukan untuk memupuk perpaduan kaum di negara kita. Pelbagai kepentingan dapat diperoleh melalui perpaduan kaum dalam masyarakat.
Perpaduan kaum menyebabkan masyarakat hidup dalam keadaan yang harmoni. Keadaan yang harmoni membolehkan masyarakat bergerak secara bebas di negara ini. Hal ini demikian kerana masyarakat tidak berasa takut dan tidak terikat dengan mana-mana undang-undang darurat. Sebagai contoh rusuhan kaum 13 Mei 1969 menyebabkan negara menjadi tidak aman. Oleh itu, semua pihak perlu menjaga keharmonian negara.
Selain itu, perpaduan kaum dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku. Masalah yang berlaku lebih mudah diatasi melalui usaha dan idea pelbagai pihak. Orang Melayu, Cina dan India yang tinggal di sesuatu kawasan perlu bermesyuarat untuk membuat sesuatu keputusan. Sebagai contoh mereka bergotong- royong untuk mengatasi masalah nyamuk aedes. Tanpa masalah yang dihadapi, negara menjadi semakin maju.
Keamanan negara juga dapat dikekalkan melalui perpaduan kaum. Keamanan negara penting bagi membolehkan negara maju dalam pelbagai bidang. Masyarakat pelbagai kaum perlulah memisahkan perbezaan politik ketika menghadapi masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, kita perlulah bersatu hati mengatasi masalah kemasukan pendatang tanpa izin ke negara kita. Keamanan negara dapat memastikan kemerdekaan negara terus terpelihara.
Perpaduan kaum juga, membantu meningkatkan ekonomi negara. Kemajuan ekonomi negara dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada penduduk. Dengan adanya perpaduan kaum penduduk dapat bekerja dan menambah pendapatan diri, keluarga dan negara. Sebagai contoh, semua kaum bekerjasama dalam bidang perniagaan yang memberikan banyak keuntungan. Kemajuan ekonomi negara membolekan negara kita terus maju.
Seterusnya, perpaduan kaum dapat menjaga nama baik negara. Nama baik negara penting bagi memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Masyarakat perlu bekerjasama dan tidak menimbulkan masalah kepada negara. Sebagai contoh, pertunjukan budaya pelbagai kaum dan aktiviti rumah terbuka merupakan aktiviti yang baik. Nama baik atau imej negara perlu dipelihara oleh generasi muda.
Kesimpulannya, perpaduan kaum mendatangkan pelbagai kebaikan kepada masyarakat dan negara. Kita perlulah bersikap bagai aur dengan tebing untuk menjaga perpaduan kaum. Semua pihak perlulah menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengekalkan perpaduan kaum. Sesungguhnya, tanpa perpaduan kaum, negara akan musnah.

6. USAHA-USAHA MEMUPUK PERPADUAN

1.0 Pendahuluan.
2.0 Isi:
2.1 Peranan ibu bapa
2.2 Peranan sekolah
2.3 Peranan masyarakat
2.4 Peranan media massa
2.5 Peranan kerajaan
3.0 Penutup
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Cogan kata ini menggambarkan kepentingan perpaduan kaum di Malaysia. Hal ini kerana negara kita mempunyai rakyat yang berbilang kaum iaitu kaum Melayu, Cina, India, Iban , Kadazan dan lain-lain lagi. Mereka mengamalkan cara hidup yang berbeza-beza antara satu dengan yang lain . Oleh sebab itu pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia.
Ibu bapa ialah orang yang berperanan penting memupuk perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia. Mereka perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak agar nilai perpaduan dapat dipupuk sejak kecil lagi. Hal ini kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai contoh ibu bapa perlulah berbaik-baik dengan jiran yang berlainan kaum dan agama. Mereka juga boleh mengajar anak-anak agar menghormati kaum dan agama orang lain. JIka hal ini dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak tidak mustahil perpaduan kaum akan dapat diwujudkan di Malaysia.
Pihak sekolah juga dapat membantu mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Melalui pendidikan di sekolah, guru-guru dapat menerapkan nilai-nilai perpaduan. Sebagai contoh, mata pelajaran Pendidikan Islam, Pengetahuan Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, murid-murid dapat diajar nilai-nilai menghormati kaum lain. Di samping itu, aktiviti kokurikulum seperti sukan, persatuan dan permainan dapat dilakukan bagi menyemai nilai perpaduan dalam kalangan pelajar. Jelaslah aktiviti pendidikan dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu.
Nilai perpaduan juga dapat disemai melalui aktiviti kemasyarakatan. Masyarakat yang tinggal di kawasan kampung dan taman-taman perumahan perlu mengadakan pelbagai aktiviti yang memupuk perpaduan. Antaranya ialah aktiviti bergotong royong membersihkan kawasan kediaman, hari keluarga dan menyambut perayaan secara bersama-sama. Dengan cara ini mereka dapat bekerjasama dan mengenali antara satu dengan lain. Apabila aktiviti ini diamalkan sudah pasti mereka akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni. Hal ini kerana muafakat membawa berkat.
Di samping itu, media massa turut membantu dalam usaha memupuk perpaduan kaum. Media massa seperti televisyen, radio, surat khabar dan majalah ialah alat yang penting pada masa ini. Media massa ini perlu menyiarkan rancangan dan iklan yang menggambarkan perpaduan kaum. Jika rancangan dan iklan tersebut disiarkan berulang kali, sudah pasti nilai perpaduan dapat diterapkan. Hal ini kerana masyarakat akan mudah mengikuti teladan yang dipaparkan di media massa tersebut. Sesungguhnya, media massa memainkan peranan yang penting bagi memupuk perpaduan.
Usaha memupuk perpaduan kaum oleh pihak kerajaan perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Melalui konsep Satu Malaysia setiap kaum perlu menghormati kaum yang lain. Selain itu, kempen-kempen perpaduan hendaklah dilancarkan di seluruh negara. Aktviti Bulan Kemerdekaan . Bulan Bahasa dan Rukun Tetangga yang dijalankan oleh pihak kerajaan amat penting dalam membentuk perpaduan rakyat. Justeru, kerajaan perlukan bersungguh-sungguh dalam memupuk perpaduan dan janganlah bersikap hangat-hangat tahi ayam.
Sudah terang lagi bersuluh, sekiranya tiada langkah-langkah dilakukan untuk memupuk perpaduan kaum, tidak mustahil masyarakat Malaysia akan berpecah belah. Jika hal ini dibiarkan, sudah tentu generasi akan datang tidak akan hidup dengan aman. Apabila keadaan ini terjadi, usahlah kita sesalkan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak ada gunanya.
7. KEPENTINGAN ILMU PENGETAHUAN
Rangka karangan:
1. Ilmu pengetahuan dapat meluaskan kosa kata seseorang
2. Ilmu pengetahuan dapat menjamin masa hadapan seseorang
3. Seseorang akan mengetahui pelbagai bidang ilmu
4. Seseorang mampu menyelesaikan masalah
5. Ilmu pengetahuan mampu melahirkan insan bermoral
6. Seseorang tidak mudah terlibat dalam gejala social
Pendahuluan
Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China merupakan ungkapan yang amat sinonim dengan kepentingan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan merupakan sesuatu maklumat yang diperoleh melalui pelbagai sumber. Antara sumber untuk memperoleh pelbagai jenis ilmu pengetahuan ialah daripada media cetak dan media elektronik. Ilmu pengetahuan mempunyai pelbagai kepentingan kepada semua anggota masyarakat.
Antara kepentingan memiliki ilmu pengetahuan ialah seseorang boleh meluaskan kosa kata. Hal ini demikian kerana kosa kata seseorang boleh bertambah jika mereka banyak membaca. Bahan bacaan yang boleh membantu untuk meluaskan kosa kata ialah seperti majalah, akhbar,novel,dan cerpen. Jelaslah bahawa penguasaan kosa kata yang luas merupakan kepentingan ilmu yang harus dimanfaatkan oleh seseorang.
Selain itu, kepentingan ilmu pengetahuan juga boleh menjamin masa hadapan yang cemerlang. Jika seseorang berusaha bersungguh-sungguh, mereka akan memperoleh ilmu yang dipelajari kerana usaha tangga kejayaan . Sebagai contoh, mereka boleh menimba ilmu pengetahuan daripada guru yang mengajar mata pelajaran sejarah di sekolah. Menerusi mata pelajaran ini mereka dapat mengetahui sejarah kejayaan seseorang tokoh. Secara tidak langsung mereka akan menjadikan tokoh tersebut sebagai idola dalam usaha mencapai cita-cita.
Kepentingan ilmu pengetahuan lain yang boleh dimanfaatkan ialah seseorang dapat mengetahui ilmu dalam pelbagai bidang yang dipelajari. Hal ini demikian kerana mereka boleh mendapat ilmu dalam pelbagai bidang melalui mata pelajaran yang dipelajari di sekolah seperti sains, matematik, perdagangan, ekonomi dan sastera. Ilmu yang diperoleh boleh diamalkan dalam kehidupan seharian mereka. Sudah terang lagi bersuluh seseorang akan berjaya jika mereka boleh menguasai ilmu pelbagai bidang yang dipelajari.
Seterusnya, seseorang juga mampu menyelesaikan masalah jika mereka memiliki ilmu pengetahuan yang berguna. Dalam menjalani kehidupan seharian kita akan mengalami pelbagai masalah. Cara yang paling baik untuk mengatasi masalah dengan berkesan,mereka harus memiliki ilmu pengetahuan kerana ilmu pelita hidup. Contohnya, jika seseorang pelajar mempunyai ilmu agama yang tinggi, mereka akan dapat menyelesaikan masalah tanpa tindakan yang terburu-buru. Oleh itu kemahiran menyelesaikan masalah dengan berkesan boleh dikuasai jika kita mempunyai ilmu pengetahuan.
Dengan memiliki ilmu pengetahuan, kita juga boleh menjadi insan yang memiliki sahsiah terpuji. Hal ini demikian kerana kita akan mendapat panduan yang baik melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Sebagai contoh, seseorang yang berilmu akan dapat memanfaatkan nilai-nilai murni yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Antara nilai murni yang boleh diamalkan ialah saling menghormati, bertanggungjawab, bertimbang rasa dan menghargai. Sesungguhnya, kita akan menjadi insan yang berakhlak mulia jika kita berilmu pengetahuan.
Kesimpulannya, setiap anggota masyarakat perlu menuntut ilmu pengetahuan bagi memastikan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan. Hasrat ini perlu direalisasikan agar rakyat dapat menyumbang ke arah kemajuan negara menjelang tahun 2020.
8. PERANAN IBU BAPA MEMUPUK AMALAN MEMBACA
Rangka karangan
  1. Pendahuluan
  2. Isi
2.1 Ibu bapa sebagai suri teladan
2.2 Ibu bapa membeli bahan bacaan secara tetap
2.3 Ibu bapa membawa anak-anak ke pesta buku,
2.4 Ibu bapa memberi galakan kepada anak-anak dengan menghadiahkan buku
2.5 Ibu bapa menyediakan perpustakaan mini
3. Penutup
Karangan lengkap
Dewasa ini amalan membaca amat kurang dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kajian menunjukkan purata rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Amalan membaca amat penting dalam melahirkan rakyat Malaysia yang cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi negara maju, bak kata pepatah Cina bacalah sehingga tua, belajarlah sehingga akhir hayat. Oleh sebab itu, ibu bapa memainkan peranan penting memupuk amalan membaca dalam diri anak-anak.
Memang tidak dapat dinafikan, ibu bapa memainkan peranan sebagai suri teladan untuk menarik minat anak-anak membaca buku. Ibu bapa perlu membaca buku bersama-sama
anak-anak semasa berada di rumah, seperti pepatah melayu, melentur buluh biarlah dari rebung. Anak-anak akan lebih mudah untuk mengikut apa-apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Aktiviti membaca boleh dilakukan pada hari cuti sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah.
Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli bahan bacaan secara tetap setiap bulan. Secara tidak langsung anak-anak akan tertarik untuk membaca buku yang baru dibeli oleh ibu bapa mereka. Oleh itu, anak-anak dapat menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Misalnya ibu bapa boleh membeli buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta majalah Dewan Siswa.
9. PUNCA-PUNCA KEJADIAN TANAH RUNTUH
1.0 Pendahuluan
2.0 Isi
2.1 aktiviti pembangunan / ekonomi di lereng-lereng bukit
2.2 penebangan pokok / hutan yang tidak terkawal
2.3 aliran air bawah tanah.
2.4 Kerja-kerja penarahan bukit.
2.5 faktor semula jadi seperti gempa bumi dan hujan lebat yang berterusan.
3.0 Penutup
Karangan Lengkap
Belakangan ini, isu berkaitan kejadian tanah runtuh pernah menggemparkan negara kita. Kejadian tanah runtuh bermaksud kawasan tanah di lereng bukit dan gunung jatuh atau menggelongsor. Tanah runtuh mengakibatkan kemusnahan dan mengancam keselamatan. Kejadian tanah runtuh misalnya pernah berlaku di Bukit Antarabangsa yang telah mengorbankan nyawa penduduk di situ. Terdapat pelbagai punca berlakunya kejadian tanah runtuh di negara ini.
Kejadian tanah runtuh berpunca daripada aktiviti pembangunan yang dilaksanakan di lereng-lereng bukit. Aktiviti pembangunan tersebut seperti mendirikan rumah kediaman atau kegiatan pertanian. Aktiviti ini menyebabkan pokok-pokok di lereng bukit ditebang dan tumbuhan tutup bumi dibersihkan. Kesannya, air hujan akan mengalir dengan deras di kawasan lereng bukit tersebut. Keadaan ini akan menyebabkan tanah dengan mudah dibawa oleh arus air yang mengalir deras dan mengakibatkan kejadian tanah runtuh berlaku.
Kejadian tanah runtuh juga berlaku apabila pokok-pokok hutan ditebang dengan tidak terkawal. Perbuatan ini dilakukan oleh syarikat-syarikat pembalakan terutama yang dijalankan oleh pembalak haram. Penebangan yang tidak terkawal menyebabkan berlakunya tanah runtuh semasa hujan turun dengan lebat. Kejadian tanah runtuh telah menyebabkan sebuah perkampungan orang asli di Kuala Dipang, Perak musnah. Kerakusan manusia untuk mendapat kekayaan telah mengakibatkan penderitaan kepada manusia yang lain.
Seterusnya, kegiatan ekonomi juga boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh. Sebagai contoh semasa masyarakat menjalankan kegiatan melombong pasir khususnya di kawasan sungai. Pasir-pasir sungai dikaut dengan banyaknya untuk mendapatkan keuntungan yang berganda. Apabila pasir sungai dikorek tanpa kawalan, aliran air sungai akan menjadi lebih deras. Aliran air yang deras menyebabkan tebing sungai runtuh. Kesannya, rumah-rumah yang dibina berhampiran tebing-tebing sungai terdedah kepada bahaya tanah runtuh.
Selain kesan daripada aktiviti manusia, tanah runtuh juga berlaku disebabkan oleh aliran air bawah tanah. Hujan lebat yang menakung air bawah tanah akan membentuk aliran menyebabkan struktur tanah menjadi longgar. Struktur tanah yang longgar akan memudahkan tanah runtuh dengan sendirinya. Perkara ini biasanya berlaku di kawasan-kawasan yang bercerun. Kita selalu terbaca berita tentang tanah runtuh di kawasan-kawasan lebuh raya yang diakibatkan kewujudan aliran air bawah tanah.

Kejadian tanah runtuh yang lebih besar terjadi akibat kejadian gempa bumi. Walaupun Malaysia tidak mengalami kejadian gempa bumi, negara jiran seperti Indonesia telah mendapat akibatnya. Gempa bumi akan mengakibatkan gegaran di muka bumi. Gegaran ini menyebabkan struktur bumi menjadi lemah. Gegaran yang kuat, walaupun dalam masa yang singkat telah menyebabkan kejadian tanah runtuh yang besar. Gempa bumi telah mengakibatkan pelbagai kemusnahan .
Kesimpulannya, kejadian tanah runtuh telah mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Oleh itu, kita perlu bersiap sedia untuk mengatasi masalah ini. Pihak berkuasa perlu mengawal kegiatan-kegiatan manusia yang boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh. Pihak yang melakukan kegiatan yang memungkinkan berlakunya tanah runtuh perlu diambil tindakan yang tegas supaya tidak mengulangi perbuatan mereka. Sebaik-baiknya kita hendaklah mencegah kegiatan ini kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubat
10.CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA
RANGKA JAWAPAN
1. PENDAHULUAN
Warga tua – berjasa kepada negara
- telah melalui pelbagai rintangan
- sering diabaikan
- pelbagai usaha perlu dilakukan
2. PERENGGAN ISI
  1. Peranan keluarga – menyayangi warga tua
  2. Peranan masyarakat – mengambil berat warga tua
  3. Peranan media massa – memaparkan kisah hidup/penderitaan warga tua
  4. Peranan guru – mengingatkan pelajar menghormati warga tua
  5. Peranan kerajaan – menyediakan kemudahan kesihatan untuk warga tua
3. PENUTUP
- pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa.
- tidak boleh mengabaikan warga tua
- merekalah yang melahirkan kita dan
membesarkan kita.

11.CARA BADAN PENGAWAS MENINGKATKAN DISIPLIN PELAJAR
Disiplin sangat penting kepada setiap pelajar. Pelajar yang berdisiplin akan berjaya dan menjadi insan yang cemerlang. Bagi meningkatkan disiplin pelajar, badan pengawas memainkan peranan yang penting di sekolah.
Pengawas akan menjadi suri teladan kepada pelajar-pelajar lain di sekolahnya. Mereka haruslah sentiasa mematuhi peraturan ketika datang ke sekolah atau menyertai aktiviti kokurikulum. Mereka juga perlu rajin belajar dan gigih menyertai pelbagai aktiviti di sekolah. Jelaslah bahawa pengawas akan sentiasa diperhatikan sama ada dari segi tingkah laku dan pencapaian akademik.
Pengawas juga berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak sekolah dalam menguruskan masalah disiplin. Mereka perlu bertanggungjawab untuk menyalurkan pelbagai maklumat salah laku pelajar. Maklumat yang diperoleh perlulah dilaporkan dengan segera jika melibatkan kes disiplin yang serius. Mereka juga boleh menyampaikan cadangan-cadangan bernas daripada pelajar demi kebaikan sekolah. Jelaslah bahawa pengawas boleh menjadi pembantu yang cekap kepada pihak sekolah untuk menguruskan masalah disiplin.
Pengawas juga dapat menjadi pembimbing rakan sebaya yang berkesan untuk mengatasi masalah disiplin di sekolah. Pengawas boleh menasihati rakan-rakan mereka yang mempunyai masalah disiplin supaya tidak mengulangi salah laku mereka. Sebagai rakan sebaya yang berpengaruh, pengawas tersebut amat mudah menarik perhatian rakan-rakan yang bermasalah agar menjadi pelajar yang mematuhi peraturan dan disiplin sekolah. Jelaslah seorang pengawas juga menjadi pembimbing rakan sebaya yang berkesan.
Pengawas yang dilantik juga perlu bersikap tegas. Ketegasan pengawas ketika menjalankan tugas tanpa pilih kasih akan membuka mata pelajar Mereka perlu tegas menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang sekolah menyebabkan pelajar berasa gerun untuk berhadapan dengan mereka. Hal ini secara tidak langsung akan mengurangkan kes pelanggaran masalah disiplin secara terbuka Jelaslah ketegasan dan keberanian pengawas dalam menjalankan tugas akan mengurangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
Pengawas juga berperanan untuk menonjolkan imej yang baik kepada pelajar-pelajar di sekolahnya. Mereka harus berbudi bahasa dan mengawal emosi agar tidak mencetuskan pergaduhan dengan pelajar lain. Mereka juga perlu bersifat simpati dan memahami masalah pelajar. Keikhlasan mereka membantu rakan yang teraniaya menjadikan kes-kes salah laku ini ditangani dengan berkesan dari masa ke masa. Imej yang baik sebagai pengawas akan membantu mengurangkan masalah disiplin sekolah dalam jangka masa panjang.
Kesimpulannya, pengawas mampu melaksanakan peranan yang diberikan untuk mengurangkan masalah disiplin di sekolah. Mereka perlu dilatih dari masa ke masa agar mempunyai pengetahuan tentang batas tugas dan kuasa yang diberikan. Dalam jangka masa panjang, pengawas dapat membantu mewujudkan iklim sekolah yang sejahtera serta selamat kepada pelajar.
12.USAHA-USAHA UNTUK MERAPATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Hubungan kekeluargaan sangat penting. Hubungan ini penting bagi melahirkan keluarga bahagia. Hal ini sekali gus dapat menangani gejala sosial. Pelbagai usaha perlu diambil untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.
Antara usahanya ialah anak-anak perlu memberitahu ibu bapa sebelum keluar rumah. Hal ini demikan supaya anak –anak mendapat keizinan daripada ibu bapa sebelum keluar rumah terutama dalam menuntut ilmu. Hal ini memudahkan ibu bapa mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh anak-anak dan dengan siapa mereka berkawan. Oleh yang demikian anak-anak perlu memberitahu ibu bapa sebelum mereka keluar dari rumah.
Selain itu, ibu bapa hendaklah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin keluarga. Mereka hendaklah sentiasa berbincang bersama anak-anak jika ada sebarang masalah. Sebagai contoh, jika akan-anak berhadapan dengan masalah pelajaran, mereka perlu berbincang bersama-sama bagi mengatasinya. Amalan makan bersama-sama dengan ahli keluarga juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. Tegasnya, ibu bapa perlu menjalankan tangunggjawab mereka dalam merapatkan hubungan kekeluargaan.
Masyarakat turut memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan kekeluargaan. Antaranya, adalah dengan mengadakan hari keluarga dan temasya sukan. Hal ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan menjalinkan kerjasama antara ahli keluarga semasa pertandingan. Dengan ini, jelaslah bahawa masyarakat penting dalam usaha merapatkan hubungan kekeluargaan.
Di samping itu, peranan media massa juga penting untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Hal ini boleh dilakukan melalui iklan di televisyen dan surat khabar. Sebagai contoh, terdapat iklan yang menggalakkan ahli keluarga berhubung melalui telefon bimbit. Terdapat juga iklan yang mempengaruhi orang ramai supaya balik ke kampung pada hari-hari perayaan. Oleh itu jelaslah bahawa media massa memainkan peranan penting untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.
Kerajaan pula telah memperkenalkan dasar bahawa setiap hari sabtu sebagai cuti umum. Hal ini bertujuan agar ibu bapa dapat meluangkan masa bersama-sama dengan ahli keluarga. Langkah ini akan menjadikan hubungan kekeluargaan lebih erat. Sebagai contoh, ibu bapa membawa ahli keluarga pergi melancong ke tempat yang menarik di negara ini. Hal ini bertepatan dengan Kempen Cuti-Cuti Malaysia.
Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam merapatkan hubungan kekeluargaan . Usaha ini penting kerana hubungan kekeluargaan yang baik dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga. Seterusnya, mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan melahirkan rakyat yang penyayang.
13.CARA-CARA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL.
Permainan tradisional ialah permainan yang dimainkan oleh masyarakat dahulu pada masa lapang. Antara permainan tradisional yang mendapat sambutan masyarakat ialah layang-layang, congkak dan batu seremban. Namun demikian, permainan tradisional semakin dilupakan oleh generasi muda. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mempopularkan permainan tradisional ini.
Antara cara mempopularkan permainan tradisional ini ialah kita perlu mencari maklumat tentang permainan tradisional tersebut. Setelah maklumat diperoleh , kita perlu mencuba permainan tersebut dengan ahli keluarga. Kita juga boleh mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Sebagai contoh pertandingan permainan congkak. Dengan ini, jelaslah bahawa generasi muda perlu mempopularkan permainan tradisional negara kita.
Ibu bapa pula, perlu memberi sokongan kepada anak-anak dengan membelikan peralatan permainan tradisional. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyaksikan pertandingan permainan tradisional ini. Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat ke muzium dan galeri seni untuk melihat dengan lebih dekat peralatan permainan tradisional ini di samping memahami cara-cara permainan ini dimainkan. Usaha-usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini dapat mempopularkan permainan tradisional.
Pihak sekolah juga boleh menubuhkan kelab permainan tradisional. Dengan tertubuhnya kelab permainan tradisional ini, ahli-ahli kelab dapat menganjurkan pertandingan. Sekolah juga boleh menghantar ahli-ahli kelab mengikuti kursus permainan tradisional bagi menarik minat pelajar melibatkan diri dalam permainan ini. Peserta yang mengikuti kursus hendaklah diberi sijil penyertaan dan penghargaan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pihak sekolah berperanan penting untuk mempopularkan permainan tradisional.
Kerajaan perlu mempromosikan permainan tradisional melalui televisyen dan surat khabar. Usaha ini boleh dilakukan melalui kempen yang berterusan. Sebagai contoh, kerajaan mengadakan karnival pertandingan tradisional seperti Pesta Layang-layang yang diadakan di Pasir Gudang, Johor setiap tahun. Melalui Kementerian Belia dan Sukan kerajaan boleh mengadakan kursus permainan tradisional ini untuk golongan belia. Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja. Usaha kerajaan ini dapat menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita sekali gus dapat mempopularkan permainan tradisional ini.
Sementara pihak swasta pula boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional ini. Pihak swasta boleh menjadi penaja bagi pertandingan yang dianjurkan dengan menyediakan hadiah yang lumayan. Sebagai contoh, penganjur menyediakan hadiah berbentuk tiket pelancongan ke luar negara kepada para pemenang. Hal ini dapat menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertainya. Pendek kata, jelaslah bahawa pihak swasta juga memainkan peranan penting dalam mempopularkan permainan tradisional negara ini.
Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam mempopularkan permainan tradisional ini . Usaha yang berterusan penting supaya generasi akan datang dapat mengenali dan meminati permainan tradisional. Kesannya, permainan tradisional ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
14.JIRAN SEPAKAT MEMBAWA BERKAT
  1. Memupuk hubungan baik antara jiran
  2. Memupuk nilai kerjasama
  3. Membantu jiran yang menghadapi kesusahan
  4. Menjamin keselamatan masyarakat
  5. Mengenali adat budaya kaum yang lain
Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita. Jiran sangat penting kerana
mereka menjadi sahabat dan orang yang rapat dengan kita. Mereka akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan. Oleh itu, jiran sepakat membawa berkat perlu diamalkan oleh masyarakat hari ini.
Jiran penting untuk memupuk hubungan baik antara jiran. Hubungan baik dapat dipupuk melalui aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti ini, mereka dapat berkenalan dan bertanya khabar antara satu sama lain. Kesannya, hubungan sesama jiran semakin erat. Kerjasama yang erat ini bertepatan dengan peribahasa seperti aur dengan tebing. Jelaslah, kerjasama penting untuk memupuk hubungan yang baik antara jiran.
Selain itu, jiran juga dapat memupuk nilai kerjasama sesama jiran. Nilai
kerjasama ini penting untuk melahirkan masyarakat yang sepakat. Setiap individu akan membantu jiran mereka semasa mengadakan majlis seperti kenduri-kendara. Aktiviti akan menjadi mudah kerana muafakat membawa berkat. Oleh itu, nilai kerjasama penting dalam amalan kejiranan.
Di samping itu, jiran yang baik akan membantu orang lain yang menghadapi
kesusahan. Mereka akan menziarahi jiran yang sakit. Mereka juga akan memberi bantuan wang ringgit untuk meringankan beban jiran. Mereka dapat menyelesaikan banyak masalah. Sesungguhnya, amalan baik ini seperti kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Seterusnya, jiran juga dapat menjamin keselamatan masyarakat. Jiran akan
bersama-sama menjaga kawasan kediaman daripada kejadian pecah rumah. Mereka boleh membuat rondaan pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Selain itu, mereka akan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis. Jelaslah, jiran dapat menjamin keselamatan masyarakat setempat.
Akhirnya, jiran dapat mengenali adat dan budaya kaum yang lain. Pada musim perayaan, kita dapat mengenali pakaian tradisional kaum yang lain seperti sari, baju kurung dan lain-lain. Mereka juga boleh menikmati pelbagai jenis makanan tradisi. Selain itu, adat resam sesuatu kaum dapat diketahui oleh jiran yang berlainan kaum. Oleh itu, kita perlu mengenali adat dan budaya jiran.
Kesimpulannya, jiran sepakat membawa berkat penting dalam masyarakat. Semua
pihak hendaklah mengamalkan semangat kejiranan. Amalan ini perlu diteruskan demi memelihara keamanan dan keharmonian masyarakat.
(355 patah perkataan)

15.FAEDAH MEMBACA KARYA SASTERA
1. Menambahkan ilmu pengetahuan
2. Memupuk nilai-nilai urni
3. Memberikan kesedaran/dapat dijadikan teladan
4. Meningkatkan kemahiran berbahasa
5. Meningkatkan semangat cinta akan negara
Membaca merupakan amalan yang mulia. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Membaca karya sastera perlu dipupuk dalam kalangan pelajar. Antara contoh karya sastera ialah novel, puisi, cerpen dan prosa tradisional. Oleh itu, terdapat banyak faedah membaca karya sastera.
Faedah pertama membaca karya sastera ialah dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Dengan membaca karya sastera, pelajar dapat mengetahui perkara-perkara baharu. Secara tidak langsung, mereka dapat membuka minda dan meluaskan pengetahuan. Mereka tidaklah menjadi seperti katak di bawah tempurung. Jelaslah bahawa membaca karya sastera meningkatkan ilmu pengetahuan.
Seterusnya, membaca karya sastera dapat memupuk nilai-nilai murni. Banyak nilai murni yang terkandung dalam sesebuah karya novel. Antara nilai murni yang terdapat dalam karya sastera ialah nilai kasih sayang, tolong-menolong dan hormat-menghormati. Sebagai contoh, dalam novel Di Hadapan Pulau, Aziz menghormati orang yang lebih tua daripadanya. Tegasnya, nilai-nilai murni dapat dipupuk sekiranya pelajar membaca karya sastera.
Selain itu, membaca karya sastera dapat memberi kesedaran kepada pembaca. Hal ini adalah kerana pengarang banyak memasukkan unsur pengajaran dalam karya sastera. Sebagai contoh, dalam cerpen Menatap Wajahnya, Muliati seorang pelajar yang gigih berusaha walaupun dia cacat. Jadi, pembaca dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, yang baik jadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Oleh itu, membaca karya sastera akan menimbulkan kesedaran kepada pelajar.
Di samping itu, membaca karya sastera dapat meningkatkan penguasaan berbahasa. Karya sastera banyak menggunakan bahasa yang menarik. Pemilihan kata yang indah dapat membantu dalam meningkatkan kemahiran menulis pelajar dan dapat memberikan impak positif kepada pelajar. Sesungguhnya, karya sastera dapat meluaskan kosa kata dan kemahiran berbahasa pelajar pelajar.
Faedah terakhir, membaca karya sastera meningkatkan semangat cinta akan negara.
Melalui novel Putera Gunung Tahan, Ratu Bongsu mempunyai semangat cinta akan negara dengan mempertahankan puncak Gunung Tahan. Kesannya, semangat cinta akan negara dapat dipupuk dalam jiwa pelajar. Jelaslah, semangat cinta akan negara dapat ditingkatkan melalui karya sastera.
Kesimpulannya, memang tidak dapat dinafikan bahawa karya sastera penting dalam kehidupan masyarakat. Oleh itu,semua pihak perlulah bekerjasama memupuk minat membaca karya sastera dalam kalangan pelajar. Kerjasama yang erat umpama aur dengan tebing dapat membantu pelajar menghayati karya sastera dengan baik. Karya sastera sebenarnya dapat melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
[369 patah kata]
16.PERANAN ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
ISI-ISI PENTING
1. Menghormati ibu bapa
2.Mendengar nasihat
3.Belajar bersungguh-sungguh
4.Membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja rumah
5.Mendoakan kesejahteraan ibu bapa
KARANGAN CONTOH:
Setiap orang di dunia ini ada ibu bapa. Ibu bapa merupakan orang yang penting dalam kehidupan anak-anak. Tanpa ibu bapa, anak-anak tidak akan lahir ke dunia. Mereka juga tidak dapat melihat keindahan alam ini. Terdapat pelbagai peranan yang perlu dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa.
Salah satu peranan anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa adalah dengan menghormati ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana ibu bapalah orang yang membesarkan kita sejak kecil. Anak-anak perlu berbudi bahasa apabila bercakap dengan ibu bapa mereka. Sebagai contoh, anak-anak tidak meninggikan suara apabila bercakap dengan ibu bapa. Tegasnya, ibu bapa perlu dihormati oleh anak-anak demi membahagiakan mereka.
Selain itu, anak-anak perlu mendengar nasihat ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana tujuan mereka adalah untuk kebaikan anak-anak. Anak-anak mestilah mematuhi segala pesanan yang diberikan oleh orang tua mereka. Sebagai contoh,,jika ibu bapa menasihati kita supaya berbuat baik kepada orang lain, kita perlulah mentaatinya. Jelaslah bahawa, anak-anak dapat membahagiakan ibu bapa apabila mendengar nasihat mereka.
Di samping itu, peranan anak-anak bagi membahagiakan ibu bapa adalah dengan belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa akan berasa gembira apabila anak-anak mereka berjaya. Anak-anak perlu rajin membaca dan membuat ulang kaji setiap hari. Sebagai contoh, anak-anak menyelesaikan kerja rumah yang diberikan oleh guru tanpa dipaksa. Oleh itu, anak-anak perlu belajar bersungguh-sungguh demi membahagiakan ibu bapa mereka.
Seterusnya, anak-anak hendaklah membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja di rumah. Jika anak-anak membantu ibu bapa, segala tugas dapat dilakukan dengan mudah. Anak-anak membantu ibu bapa mengemas rumah, memasak, menjaga adik, menyiram pokok bunga dan kerja-kerja rumah yang lain. Kesannya, rumah akan bersih dan ceria. Jelaslah, ibu bapa akan bahagia apabila anak-anak membantu mereka.
Akhir sekali, anak-anak mestilah mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka. Hal ini demikan kerana ibu bapa akan mendapat kebaikan daripada doa yang dipohon. Sebagai contoh, ibu bapa akan dilindungi Tuhan daripada keburukan seperti ditimpa sakit atau sebarang masalah lain. Pendek kata, anak-anak dapat membahagiakan ibu bapa dengan mendoakan kesejahteraan mereka.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara yang dapat dilakukan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa mereka. Anak-anak tidak seharusnya melupakan jasa ibu bapa mereka seperti kacang lupakan kulit Anak-anak perlu ingat bahawa syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.

17.PERANAN PELBAGAI PIHAK UNTUK MEMBANTU ORANG KURANG UPAYA:
  1. Ibu bapa mendidik anak-anak supaya tidak menghina Orang Kurang Upaya (OKU)
  2. Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan dan memberikan kemahiran
  3. Pihak swasta menjaga kebajikan OKU
  4. Media massa menyampaikan maklumat tentang OKU
  5. Setiap individu menunjukkan nilai murni
KARANGAN CONTOH:
Orang Kurang upaya merupakan orang yang kurang bernasib baik. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna seperti kita. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat pelbagai pihak yang perlu memainkan peranan untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU).
Antara peranan untuk membantu OKU ialah ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka supaya tidak menghina OKU. Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan seperti kita. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya tidak mentertawakan golongan tersebut. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghormati OKU.
Selain itu, pihak kerajaan boleh menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan kemahiran kepada golongan ini. Hal ini demikian kerana .pendidikan dan kemahiran sangat penting demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas patut dipuji..Jelaslah bahawa, pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu OKU.
Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan ini menjalani kehidupan yang lebih baik. Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan. Sebagai contoh, pengusaha pusat beli-belah perlu menyediakan kemudahan untuk golongan ini seperti lorong khas, tandas dan tempat letak kenderaan. Oleh itu, pihak swasta perlu menunjukkan tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini.
Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan maklumat tentang OKU. Setiap maklumat mestilah disampaikan dan disebarkan kepada orang ramai. Kempen Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media massa. Kesannya, orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU. Jelaslah, nasib OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa.
Akhir sekali, setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap individu mempunyai tangungjawab masing-masing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu golongan ini semasa melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan bantuan. Pendek kata, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan ini.
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk membantu OKU. Setiap pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

18.KEPENTINGAN PENGANGKUTAN AWAM

Isi :
1) Memudahkan urusan seharian
2) Dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas
3) Mengurangkan pencemaran
4) Mewujudkan peluang pekerjaan
5) Membantu menjanakan pendapatan negara

Pengangkutan awam merupakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Sebagai contoh bas, kereta api, teksi, dan kapal terbang. Kemudahan itu disediakan di kawasan bandar dan kawasan luar bandar. Kemudahan tersebut boleh digunakan oleh semua orang. Pelancong juga boleh menggunakan pengangkutan awam untuk menuju ke sesuatu tempat. Terdapat banyak kepentingan pengangkutan awam.
Pengangkutan awam penting bagi memudahkan urusan seharian masyarakat. Murid-murid menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke sekolah. Orang ramai pula menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke pasar. Pengangkutan awam juga digunakan untuk pergi ke tempat kerja. Orang ramai menggunakan pengangkutan awam kerana tambangnya murah.
Selain itu, pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Keadaan ini berlaku terutamanya di kawasan bandar. Hal ini adalah kerana orang ramai kurang menggunakan kenderaan persendirian. Kesannya, jumlah kenderaan yang ada di jalan raya akan berkurangan. Hal ini juga dapat menjimatkan masa untuk menuju ke sesuatu tempat. Oleh itu, kesesakan jalan raya dapat dikurangkan.
Di samping itu, pengangkutan awam dapat mengurangkan masalah pencemaran udara. Hal ini adalah kerana asap kenderaan kurang dilepaskan ke udara. Udara yang tercemar dapat menjejaskan kesihatan.Di dalam asap yang tercemar itu terdapat berbagai-bagai jenis gas beracun. Kesihatan yang terjejas akan menganggu aktiviti harian seseorang. Oleh itu, pencemaran udara boleh dikurangkan melalui penggunaan pengangkutan awam.
Seterusnya, pengangkutan awam dapat mewujudkan peluang pekerjaan. Hal ini adalah kerana pemandu diperlukan bagi mengendalikan kenderaan awam tersebut. Contohnya seperti pemandu bas. Begitu juga dengan kereta api yang memberikan peluang pekerjaan di setesen-setesen kereta api yang ada. Peluang pekerjaan ini mengurangkankan kadar pengangguran. Oleh itu, orang ramai boleh mencari sumber pendapatan.
Pengangkutan awam juga dapat menjanakan pendapatan negara. Hal ini kerana pengangkutan awam juga turut digunakan oleh pelancong. Kos hidup masyarakat boleh ditingkatkan. Hal ini demikian kerana perbelanjaan untuk petrol telah dikurangkan. Kadar pengangguran juga boleh dikurangkan. Pendapatan negara boleh dijanakan melalui pengangkutan awam.
Kesimpulannya, terdapat berbagai-bagai kepentingan pengangkutan awam. Oleh itu, semua pihak hendaklah memanfaatkan penggunaan pengangkutan awam yang disediakan dengan sebaik mungkin. Semoga dengan cara yang demikian kehidupan kita akan menjadi lebih sejahtera.

19.CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA
TEMA : CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA
RANGKA JAWAPAN

1. PENDAHULUAN
Warga tua – berjasa kepada negara
- telah melalui pelbagai rintangan
- sering diabaikan
- pelbagai usaha perlu dilakukan
2. PERENGGAN ISI
  1. Peranan keluarga – menyayangi warga tua
  2. Peranan masyarakat – mengambil berat warga tua
  3. Peranan media massa – memaparkan kisah hidup/penderitaan warga tua
  4. Peranan guru – mengingatkan pelajar menghormati warga tua
  5. Peranan kerajaan – menyediakan kemudahan kesihatan untuk warga tua
3. PENUTUP
- pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa.
- tidak boleh mengabaikan warga tua
- merekalah yang melahirkan kita dan
membesarkan kita.
KARANGAN CONTOH
Warga tua merupakan golongan yang paling berjasa kepada negara. Mereka telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat.
.
Keluarga perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan kita dan bapa pula mencari rezeki untuk membesarkan kita. Pengorbanan mereka perlu dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua dan tidak menghantar mereka ke rumah orang tua-tua.
Di sekolah,guru boleh menasihatkan pelajar agar menghormati warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu bapa kita perlu disayangi dan dihormati. Anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berhubung dengan ibu bapa mereka kerana syurga teletak di telapak kaki ibu.
Kerajaan juga perlu menghargai warga tua. Kerajaan boleh menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, warga tua akan mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan ataupun kadar bayaran rendah di hospital atau klinik swasta.
Media massa seperti surat khabar dan televisyen boleh menyiarkan cerita-cerita berkaitan penderitaan hidup warga tua. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua..
Pihak swasta perlu membantu warga tua. Mereka boleh mengutip derma untuk mengurangkan beban warga tua manakala kunjungan ke rumah orang tua-tua dapat mengeratkan hubungan .Warga tua akan berasa diri mereka dihargai dan disayangi.
Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang melahirkan kita dan membesarkan kita..
20.KEPENTINGAN MAKANAN SEIMBANG
RANGKA JAWAPAN
1. PENDAHULUAN
Makanan seimbang amat penting dalam kehidupan
- Maksud makanan seimbang ialah pengambilan yang cukup untu keperluan tubuh badan
- Peranan media massa
2. PERENGGAN ISI
  1. Menjadikan pembesaran manusia lebih sempurna daripada aspek fizikal
  2. Menggelakkan perkembangan mental seseorang itu terganggu
  3. Memberi vitamina yang cukup kepada badan seseorang
  4. Mampu mengawal kadar obesiti
  5. Mengelakkan penyakit
3. PENUTUP
- semua pihak perlu mengamalkan pemakanan seimbang agar kesihatan terjamin
KARANGAN CONTOH

Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan.
Media massa turut berperanan menggalakkan pengambilan makanan seimbang dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, makanan seimbang mendatangkan banyak kebaikan.

Kepentingan pemakanan seimbang yang utama ialah sikap ini menjadikan pembesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Bagi membina tubuh badan yang kuat kita memerlukan zat yang mencukupi. Antara zat yang diperlukan oleh tubuh badan ialah protein, karbohidrat dan kalsium.Fizikal yang kuat membolehkan seseorang manusia itu menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang amat penting untuk tumbesaran fizikal manusia.

Selain itu, pemakanan yang seimbang boleh mengelakkan perkembangan mental seseorang itu terganggu. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas.Keadaan ini juga menyebabkan kita mudah berasa letih. Hal ini juga menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Jadi, pemakanan seimbang menjadikan pemikiran manusia lebih stabil dan berdaya tahan bersesuaian dengan cogan kata badan sihat otak cerdas.

Di samping itu, pemakanan seimbang juga dapat memberi vitamin yang cukup kepada badan seseorang. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih sihat dan cergas. Sebagai contoh, vitamin c amat diperlukan untuk kesihatan kulit. Antara pemakanan seimbang yang terdapat dalam piramid makanan ialah buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. Oleh itu, keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan manusia lebih sihat.
Pengambilan makanan seimbang juga dapat mengelakkan seseorang daripada dijangkiti penyakit. Dengan cara ini,seseorang itu tidak mudah dijangkiti penyakit.Penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi dapat dielakkan.Hal ini bersesuaian dengan peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan sihat sejahtera .

Malahan, pemakanan seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti (kegemukan) dalam kalangan masyarakat . Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup berkhasiat. Pengawalan pemakanan sebegini menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.
Sudah terang lagi bersuluh,makanan seimbang amat penting kepada setiap orang. Oleh itu, kita perlu mengambil makanan yang seimbang agar kesihatan kita terjamin. Jika kita masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahan.

21.PERANAN IBU BAPA MEWUJUDKAN MASYARAKAT PENYAYANG
RANGKA JAWAPAN
1. PENDAHULUAN
Kepentingan membentuk masyarakat penyayang
- Pelbagai langkah perlu diambil untuk membentuk masyarakat penyayang
2. PERENGGAN ISI
  1. Ibu bapa perlu memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak
  2. Ibu bapa perlu memberikan didikan agama kepada anak-anak
  3. Ibu bapa perlu menyediakan semua keperluan atau kemudahan kepada anak-anak
  4. Ibu bapa menjadi contoh teladan yang baik
  5. Ibu bapa mengadakan aktiviti kekeluargaan
3. PENUTUP
- Selain ibu bapa, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam mewujudkan masyarakat penyayang.
KARANGAN CONTOH
Peranan ibu bapa dalam membentuk masyarakat penyayang.
Pada alaf baru ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan masyarakat penyayang. Dalam hal ini, media cetak mahupun media elektronik turut berperanan penting untuk menyedarkan masyarakat. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk membentuk masyarakat penyayang.
Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak mereka seperti menatang minyak yang penuh.Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana ibu bapa lebih mementingkan pekerjaan dan kekayaan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak mereka. Sebagai contoh, mereka boleh makan dan menonton bersama-sama anak-anak. Jelaslah aktiviti ini dapat mengeratkan silaturahim antara keluarga.
Selain itu, ibu bapa sewajarnya memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak semenjak kecil lagi, bak kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana terdapat sesetengah ibu bapa yang mengabaikan didikan agama. Mereka beranggapan didikan agama tidak penting dalam kehidupan seharian. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada anak-anak mereka. Misalnya, menggalakkan anak-anak menghadiri kelas agama supaya anak-anak akan menjadi insan yang berakhlak mulia. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan masyarakat penyayang akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti.
Malahan, ibu bapa haruslah memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka.Sebagai contoh,ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah untuk mendapat pendidikan yang sempurna. Ringkasnya, sikap ibu bapa yang sebegini mampu melahirkan generasi muda yang bersifat penyayang .Tegasnya, pendidikan yang sempurna membolehkan anak-anak membezakan antara perkara yang baik dan buruk dalam kehidupan mereka.
Di samping itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak, bak kata peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk dan tidak menunjukkan teladan. Hal ini demikian, ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak sejak kecil lagi. Umpamanya, ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat ke rumah anak yatim atau ke rumah orang tua-tua. Ringkasnya, ibu bapa wajar menunjukkan contoh teladan yang baik agar dapat melahirkan masyarakat yang penyayang.
Seterusnya, ibu bapa juga boleh mengadakan aktiviti kekeluargaan dalam melahirkan masyarakat yang penyayang. Antara aktiviti yang boleh dilakukan seperti mengadakan Hari Keluarga dan membawa anak-anak mereka menziarahi datuk, nenek atau saudara mara di kampung untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Secara tidak langsung, aktiviti ini mampu membentuk masyarakat yang penyayang.
Sudah terang lagi bersuluh, peranan ibu bapa amat penting dalam melahirkan masyarakat penyayang. Namun, semua pihak turut bertanggungjawab dalam mewujudkan budaya masyarakat penyayang.
22. FAEDAH SENI MEMPERTAHANKAN DIRI
  1. Membina disiplin diri
  2. Menyihatkan tubuh badan/ kecerdasan minda
  3. Mempertahankan diri daripada ancaman
  4. Memupuk nilai murni
  5. Membentuk hubungan baik dengan orang lain
Sejak kebelakangan ini, kegiatan jenayah yang semakin memuncak seperti kes ragut, rogol, rompak dan bunuh di negara kita mendorong rakyat Malaysia untuk mempelajari seni mempertahankan diri terutamanya dalam kalangan golongan remaja. Hal ini menyebabkan pusat seni mempertahankan diri semakin banyak ditubuhkan di negara kita bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Seni mempertahankan diri dapat membentuk disiplin diri. Disiplin yang terbentuk ini akan menjadikan remaja lebih rasional iaitu dapat menilai sesuatu perkara dengan lebih baik dan menerima perkara-perkara yang baik sahaja. Hal in seterusnya dapat mengelakkan diri mereka daripada terjebak ke dalam lembah kehinaan. Selain itu, akidah yang baik juga terbentuk daripada disiplin diri yang kukuh. Jelasnya, perkara-perkara yang tidak bermoral tidak mungkin dilakukan oleh remaja yang menguasai seni mempetahankan diri.
Selain itu, seni mempertahankan diri mampu melindungi seseorang daripada sebarang ancaman. Hal ini amat penting terutamanya kepada golongan remaja perempuan yang terdedah kepada pelbagai ancaman yang melanda. Sebagai contoh silat bagi orang Melayu, wushu bagi orang Cina, silamban bagi orang India dan sebagainya. Justeru, remaja perempuan patut menyediakan payung sebelum hujan dengan menguasai kemahiran ini. Sesungguhnya seni mempertahankan diri merupakan satu perlindungan daripada sebarang ancaman.
Di samping itu, seni mempertahankan diri juga menyihatkan tubuh badan individu. Seni mempertahankan diri ini melibatkan aktiviti senaman yang banyak. Badan seseorang yang mempelajari seni ini akan menjadi cergas, kuat dan bertenaga. Contohnya,dalam seni silat, mereka akan membuat aktiviti memanaskan badan, berlatih menggunakan peralatan dan bersenam. Selain itu, seni mempertahankan diri juga akan mencerdaskan minda..Jelaslah, seni memepertahankan diri boleh menyihatkan badan dan mencerdaskan minda seseorang kerana badan cergas minda cerdas.
Tambahan lagi, seni mempertahankan diri juga akan membentuk hubungan baik antara seseorang remaja dengan orang lain. Mereka dapat berjumpa dan berkenalan dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa. Di samping itu, mereka dapat mengenali budaya bangsa mereka. Hal ini membentuk kerjasama dan hubungan yang erat antara kaum. Oleh itu, hubungan baik antara satu sama lain dapat dijalin seperti aur dengan tebing.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai kebaikan mempelajari seni mempertahankan diri. Oleh itu setiap individu harus mempelajari seni mempertahankan diri. Oleh itu, seni mempertahankan diri perlulah dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.