Saya di sini

INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA(IKS)

Tajuk / Tema Karangan: Industri Kecil dan Sederhana
Fokus karangan: Langkah-langkah merancakkannya
[Ayat Rangsangan]Dewasa ini, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. [Ayat Huraian 1]IKS ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. [Ayat Huraian 2]Di Malaysia, terdapat pelbagai peluang usaha niaga berbentuk IKS yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan. [Ayat Huraian 3]IKS menyediakan sebanyak 44.2% peluang pekerjaan daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9% dan 31.7% masing-masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap. [Ayat Arahan]Demi merancakkan IKS, kerajaan telah mengatur beberapa banyak langkah yang konstruktif dan pragmatik.
[Ayat Judul]Salah satu langkah perdana yang diambil oleh kerajaan ialah penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada para pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Bantuan ini dapat mendorong para pengusaha yang mengusahakan perniagaan IKS berasaskan pertanian, perikanan, perternakan, pemprosesan makanan, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Contoh 1]Antara geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS termasuklah skim kewangan, skim geran penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Contoh 2]Kemudahan pinjaman yang disediakan pula melalui institusi kewangan kerajaan, seperti Bank Pertanian dan Bank Simpanan Nasional, bank komersial seperti Bank Rakyat dan Bank CIMB, serta syarikat kewangan. [Pengembangan:Ayat Huraian 2 ]Melalui Skim Khas Bank Negara, Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperoleh pembiayaan. [Ayat Penyimpul]Dengan adanya bantuan dan sokongan kerajaan, IKS nescaya dapat berkembang maju.
[Ayat Judul]Dalam pada itu, khidmat nasihat dan perundingan kepakaran turut disediakan oleh pihak kerajaan. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Usahawan dan pelabur yang ingin akan maklumat atau pendedahan lanjut mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Para pengusaha memang memerlukan khidmat nasihat dan sokongan teknikal dalam usaha melicinkan operasi IKS agar lebih produktif, dinamik, berdaya maju, dan kos efektif, di samping meningkatkan daya pengeluaran dan kualiti produk, serta pemasaran global. [Pengembangan:Ayat Contoh]Antara agensi yang terlibat dalam khidmat nasihat dan bantuan teknikal termasuklah MARA (skim khidmat pakar perunding MARA), UKM Pakar Runding Sdn. Bhd., dan Persatuan IKS Malaysia. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Tanpa khidmat nasihat dan perundingan kepakaran, pengusaha-pengusaha yang mentah dalam selok-belok pengurusan IKS ataupun baru menceburi bidang ini akan menghadapi pelbagai rintangan. [Ayat Penyimpul]Pendek kata, pihak kerajaan berprakarsa dan beriltizam membantu para usahawan untuk membangunkan IKS dan melipatgandakan perolehan.
[Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang cenderung mengusahakan aktiviti IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 1] Dalam konteks ini, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) merupakan agensi kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan dengan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Contoh]Antaranya termasuklah program rantaian industri, program pembekal global, program peningkatan kemahiran, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Bahkan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan. [Pengembangan:Ayat Contoh 2]Antara program yang ditawarkan ialah latihan keusahawanan, skim latihan perintisan, dan program promosi pemasaran. [Ayat Penyimpul]Melalui agensi-agensi kerajaan, IKS berdaya maju dan menyumbang kepada iktisad negara.
[Ayat Kesimpulan]Secara tuntasnya, kerajaan memainkan peranan yang mustahak dalam memajukan dan merancakkan IKS. [Ayat Peniaian]Hal ini demikian kerana pertumbuhan pesat sektor perkilangan memperlihatkan kepentingan dan peranan IKS yang kian ketara. [Ayat Penilaian]Penglibatan IKS dalam pelbagai jenis aktiviti perkilangan menjadi penggerak dan tulang belakang kepada pertumbuhan sektor perkilangan amnya. [Ayat Penilaian]Kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. [Ayat Cadangan]Selaras dengan ini, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini adalah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS. Jadi, pihak-pihak yang terbabit dalam sektor ini haruslah meneroka dan merintis bidang-bidang IKS baru dengan menghadiri ekspo-ekspo perindustrian di luar negara. [Ayat Harapan]Dengan wujudnya inisiatif dan iltizam, IKS bukan sahaja berdaya maju bahkan menyumbang kepada ekonomi negara sekali gus merealisasikan Wawasan 2020.