8 Ogo 2011

Karangan : Cara-cara menghargai guru


Contoh Karangan : Cara-cara Menghormati Guru

     Tugas guru ialah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar  supaya menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara. .Guru juga merupakan ibu bapa kedua kepada anak-anak di sekolah kerana  pelajar  banyak menghabiskan masa di sekolah. Oleh itu, terdapatbeberapa cara untuk menghargai jasa guru.
     Guru akan berasa dihargai apabila pelajar menghormati guru. Guru perlu dihormati kerana guru menyampaikan ilmu kepada kita.  Guru juga mendidik kita supaya menjadi  orang yang berguna. Contohnya, pelajar boleh mengucapkan selamat  sejahtera apabila berjumpa dengan  guru. Pelajar juga tidak boleh sombong terhadap guru.
     Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah mereka. Mereka mesti menghantar kerja sekolah  mengikut masa yang ditetapkan. Jika terdapat kesalahan dalam latihan,guru akan membetulkannya. Dengan ini pelajar dapat membuat pembetulan.
     Mereka juga boleh menghargai guru dengan cara  berdisiplin semasa di sekolah. Disiplin sangat penting kerana boleh menjadikan mereka berjaya dalam pelajaran. Mereka perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin.
     Pelajar  boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru. Pelajar boleh membantu guru dengan membawakan buku-buku guru ke bilik guru. Mereka juga boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan hari guru pada 16 Mei.
     Pelajar boleh  menghargai guru dengan mengenang jasa  guru.  Hal ini disebabkan guru telah banyak berjasa. Sebagai contoh, ketika guru sakit, kita hendaklah menziarahinya. Dengan ini guru akan berasa gembira dan bangga terhadap pelajarnya.
     Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup menerangi orang lain. Oleh itu, setiap pelajar perlu menghargai guru. Hal  ini kerana guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang,gemilang dan terbilang. Janganlah kita membenci guru kerana sikap ini tidak bermoral.