8 Ogo 2011


Industri kraf tangan mempunyai potensi yang besar di negara kita meskipun menghadapi pelbagai masalah. Apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk memajukan industri ini?
Jelaskan.
Industri kraf tangan ialah kerja-kerja penghasilan barangan kraf tradisional. Industri ini merupakan satu industri yang berpetensi besar untuk membantu meningkatkan tahap kehidupan masyarakat terutama masyarakat desa. Oleh itu, wujud pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk memajukan industri ini ke tahap yang lebih baik lagi.
Tindakan yang paling logik untuk memajukan industri ini adalah dengan membina lebih banyak pusat kraf tangan di negara. Penubuhan lebih banyak pusat kraf sebegini sudah pasti menjadikan lebih banyak produk yang boleh dipamerkan dan mudah untuk diperoleh oleh pelancong terutama dari luar. Dalam masa yang sama pusat ini juga boleh dijadikan sebagai tempat melatih lebih banyak penggiat industri ini pula.
Kerajaan juga harus menjalankan usaha untuk meningkatkan produktiviti industri ini. Pengenalan teknologi dan reka bentuk yang unik sudah pasti mampu meninggikan lagi keluaran industri ini supaya kos menjadi lebih murah dan harga yang dikenakan kepada pembeli boleh dikurangkan sehingga ke tahap minima. Produktiviti yang tinggi juga menjadikan industri ini lebih berdaya saing dan kreatif untuk memastikan produk mereka terus mendapat tempat dalam hati pelancong.
Kempen kesedaran yang meluas harus dilaksanakan terutama dalam kalangan generasi muda. Sudah ada remaja yang tidak lagi mengenali hasil kraf tangan negara kerana mereka tidak menggunakan produk itu sebaliknya lebih suka menggunakan sesuatu yang bercorak moden atau berteknologi tinggi. Kempen yang meluas juga mampu mengiklan dan meninggikan imej hasil kraf tangan pada masa yang sama.
Produk kraf tangan ini juga perlulah menggunakan hasil semula jadi yang wujud di Malaysia. Usaha mengeksploitasikan sumber semula jadi negara untuk dijadikan kraf tangan mampu memberikan sentuhan unik terhadap produk tersebut lalu meninggikan permintaannya pada masyarakat luar. Bukankah kraf tangan harus menggunakan sumber semula jadi tempatan?
Konklusinya, industri ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Semua negara menghargai hasil kraf tangan mereka dan menjadi tugas kita untuk memastikan hasil ini terus hidup subur dalam negara ini. Kegagalan kita mengekalkan kraf tangan seolah-olah menjadi buktik betapa teruknya pandangan masyarakat terhadap industri kraf tangan sendiri.