Saya di sini

KARANGAN BAHAGIAN C PMR

Soalan Kertas Dua : Bahagain C
PENILAIAN MENENGAH RENDAH
BAHASA MELAYU
Kod 02/02
 
BAHAGIAN C
KARANGAN RESPONS TERBUKA

 
  Pengenalan
  -  Bahagian C  mengemukakan  lima soalan dan calon hanya perlu memilih
     satu tajuk untuk dijawab.
  Panjang karangan yang ditulis hendaklah lebih daripada 180 patah
     perkataan.
  Masa yang diperuntukan untuk menulis karangan ini ialah  45 minit dan
     markah yang diberi ialah 40 markah.
  -  Tajuk karangan yang dikemukakan terdiri daripada karangan berformat dan
     tidak berformat.
 
  Karangan Berformat
  -  Surat rasmi
  -  Surat tidak rasmi
  -  Ucapan / syarahan / ceramah
  -  Laporan
  -  Berita
  -  Dialog / wawancara / temu ramah
 
  Karangan Tidak Berformat
  Keperihalan / gambaran / pengalaman
  -  Perbincangan
  -  Fakta
  -  Peribahasa
  -  Cereka
 
 
  Teknik Menjawab
 
  -  Baca kelima-lima soalan dan kemudian fahamkan kehendak soalan.
  -  Pilih tajuk yang benar-benar difahami di samping mencari kata kunci soalan.
  -  Buat rangka karangan sebelum menulis karangan yang dipilih
     selengkapnya.
  -  Pastikan karangan yang dibuat mengandungi
         a.  Pendahuluan / pengenalan
         b.  Isi
         c.  Penutup / kesimpulan
  -  Setiap isi yang dikemukakan ditulis dalam perenggan yang berlainan.
  -  Setiap isi perlu disertakan dengan huraian dan contoh-contoh yang jelas.
  -  Susun isi-isi mengikut keutamaan.
  -  Akhiri karangan dengan penutup / kesimpulan berdasarkan isi-isi yang telah
     dikemukakan dalam karangan.
  -  Masukkan peribahasa, simpulan bahasa, kata-kata hikmah  untuk
     mengukuhkan huraian.
  -  Semak karangan yang ditulis sebelum menghantarnya kepada pengawas
     peperiksaan.
 
Contoh Karangan:
 
Anda mempunyai cadangan untuk menarik minat murid-murid berkunjung ke Pusat Sumber Sekolah. Tuliskan sepucuk surat kepada pengetua sekolah untuk menyatakan hasrat anda itu dengan menyatakan langkah-langkah yang sesuai bagi menyokong cadangan anda. Tulis surat tersebut selengkapnya.

 
Mohd. Ridzuan bin Mohd Said,
Tingkatan 3 Teguh,
Sekolah Menengah Tanjung Agas,
84009 Muar,
Johor Darul Takzim.
_________________________________________________________________
 
Pengetua,
Sekolah Menengah Tanjung Agas,
84009 Muar,
Johor Darul Takzim.                                                              1 OKTOBER 2006
 
Tuan,
 
Langkah-langkah untuk Menarik Minat Murid-murid Berkunjung ke Pusat Sumber Sekolah
 
Saya merupakan seorang murid di Tingkatan 3 Teguh sekolah ini berhasrat untuk mengemukakan beberapa pandangan tentang cara-cara bagi menarik minat murid-murid agar gemar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
 
2.   Pusat sumber sekolah kita sepatutnya terletak di tempat yang mudah dikunjungi oleh murid-murid. Sebaik-baiknya pusat sumber terletak di bahagian bawah sesebuah bangunan. Bangunan tersebut perlu dicat dengan warna yang menarik dan dihiasi dengan lukisan mural yang sesuai di bahagian luarnya. Keceriaan fizikal sesebuah pusat sumber merupakan tarikan utama murid-murid untuk melihat isi dan peralatan di dalamnya.
 
3.   Selain itu, guru yang bertugas di pusat sumber perlu menghebahkan perkembangan terkini buku-buku baru dan perkhidmatan yang disediakan kepada murid-murid. Hebahan tersebut dapat dibuat melalui radio sekolah atau saluran yang difikirkan sesuai. Melalui cara tersebut, murid-murid dapat mengetahui maklumat terkini tentang kemudahan di pusat sumber bagi membantu pembelajaran mereka.
 
4.   Kepelbagaian bahan sumber maklumat di pusat sumber juga perlu  diberi perhatian. Bahan-bahan yang disdiakan harus merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan bersesuaian dengan mata pelajaran yang dipelajari oleh murid-murid. Bahan-bahan yang menarik itu perlu diperbanyak sebagai tarikan kepada murid-murid.
 
5.   Sehubungan dengan itu, pembantu di pusat sumber juga perlu bersikap mesra pengguna. Sikap murni ini akan menjadi daya tarikan kepada murid-murid kerana mereka mudah mendapatkan bantuan jika memerlukannya. Oleh itu, pelantikan pembantu pusat sumber harus mengutamakan cirri-ciri yang murni.
 
Semoga semua cadangan saya mendapat perhatian daripada pihak tuan.
 
Sekian, terima kasih.
 
Yang benar,
 
 
  Ridzuan
………………….............................
(MOH. RIDZUAN BIN MOHD. SAID)

 
©2009 Zainudin bin Dirin