SINOPSIS NOVEL INTERLOK
Seman anak kepada Pak Musa dan Mak Limah rasa tertekan setelah bapanya meninggal dunia. Dia baru mengetahui semua harta peninggalan bapanya sebenarnya milik Cina Panjang atau Cing Huat. Mereka hanya menumpang di tanah itu. Hal ini demikian kerana Pak Musa telah mengadaikan segala hartanya termasuklah rumah dan tanahnya kepada Cina Panjang.
Cing Huat ialah tauke sebuah kedai runcit di pekan Simpang Empat. Cing Huat yang berasal dari China datang ke Tanah Melayu bersama-sama dengan bapanya, Lee Kim Lock. Setelah melalui pelbagai dugaan akhirnya bapanya telah membeli sebuah kedai runcit di pekan Simpang Empat. Sejak itu, kehidupan Cing Huat dan bapanya bertambah baik. Apabila bapanya meninggal dunia, Cing Huat mewarisi perniagaan kedai runcit tersebut.
Lebih dua puluh tahun dahulu, Maniam telah meniggalkan isteri dan keluarganya di India menuju ke Pulau Pinang. Sesampainya di Pulau Pinang, Maniam telah bekerja sebagai kuli di pelabuhan Maniam terlalu kecewa menerima berita bahawa isterinya, Ambika telah mengikut Pillay, seorang lelaki kaya di kampung mereka. Dia telah membuat keputusan untuk ke seberang. Setelah berbulan-bulan bekerja dari satu kebun ke satu kebun, akhirnya Maniam bekerja di sebuah kebun kelapa di Cangkat Lima
Maniam telah berkahwin dengan Malini, anak kepada Perumal, mandur di kebun kelapa tempatnya bekerja. Kehidupan Manian dan isterinya sangat bahagia sehinggalah Suppiah muncul. Suppiah menyebarkan cerita bahawa Maniam sebenarnya telah berkahwin di India dan membuat fitnah kononnya Maniam sengaja meninggalkan isterinya itu. Suppiah turut menghasut rakan-rakannya supaya mengusir Manian. Oleh itu, Maniam terpaksa meninggalkan Malini yang sedang sarat mengandung Sewaktu dalam perjalanan meninggalkan kebun itu, Maniam telah dipukul oleh dua orang lelaki namun Maniam diselamatkan oleh Musa. Sebulan selepas peninggalan Maniam, Malini melahirkan seorang anak lelaki, Ramakrisynan. Tiga tahun kemudian, Malini jatuh sakit dan meninggal dunia.
Seman yang ingin mencari pekerjaan datang ke kebun tempat Maniam bekerja. Daripada cerita Seman, Maniam mengetahui Seman anak kepada Musa. Maniam berjanji mahu membantu Seman. Dua hari kemudian, Seman membawa ibunya, Mak Limah ke kebun getah Cangkat Janggus Bahagian II dan dia diterima bekerja di situ. Sesudah dua tahun setengah Seman dan ibunya meninggalkan Kampung Nyiur Condong, Seman pulang ke kampung itu. Impian Seman untuk memperisteri Upik tidak kesampaian kerana sudah dua tahun Upik berkahwin dengan Lazim. Akhirnya, Seman berkahwin dengan Gayah, anak perempuan tunggal Mat Ranggi. Seman dan ibunya kembali menetap di Kampung Nyiur Condong.
Tidak lama kemudian, penduduk gempar dengan kemasukan tentera Jepun Orang Cina tidak suka akan orang Jepun kerana sebelum ini Jepun telah berperang dengan negara China. Oleh itu, ada dalam kalangan orang Cina yang telah menyertai Parti Komunis Malaya. Parsukan gerila komunis ini telah dianggotai oleh Yew Sang, iaitu anak Cing Huat yang telah melarikan diri daripada keluarganya. Yew Seng tidak suka dengan sikap bapanya yang prejudis terhadap orang Melayu dan melarang dia bergaul dengan anak-anak Melayu.
Seman hampir membunuh Poh Eng, anak Cina Panjang namun dia tidak meneruskan niatnya kerana kasihan akan gadis itu. Seman membawa ibunya, Mak Limah dan Poh Eng berlindung di kebun Cangkat Janggus Bahagian II. Walau bagaimanapun, Yew Seng dan pasukannya telah datang ke kebun tersebut dan menangkap pengurus ladang yang berbangsa Jepun itu. Kedatangan Yew Seng telah menemukannya dengan Poh Eng. Yew Seng telah membawa adiknya itu masuk ke hutan bersama-sama dengannya. Maniam dan Mak Limah telah ditangkap. Maniam disoal siasat oleh Inspektor Ramakrisynan. Akhirnya, Maniam mengetahui Inspektor Ramakrisynan ialah anaknya. Inspektor Ramakrisynan telah membebaskan Maniam dan Mak Limah.
Inggeris telah masuk semula ke Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah. Di balai polis, Yew Seng dan Poh Eng yang mencari Mak Limah telah menemui Lazim yang dipenjarakan akibat gerakannya membangkitkan semangat menentang penjajah . Poh Eng dan Yew Seng telah membebaskan Lazim. Inggeris pula telah memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu. Lazim memimpin orang Melayu menentang Malayan Union. Yew Seng dan kumpulannya yang diketuai oleh Kong Beng masuk ke hutan semula untuk melakukan kegiatan gerila apabila hasrat mereka memerintah Tanah Melayu terhalang. Inggeris mengumumkan ddarurat.
Suppiah yang menyertai kumpulan gerila komunis telah menawan Maniam. Berikutan itu, Inspektor Ramakrisynan dan pasukan polis masuk ke hutan untuk menjejaki gerila komunis . Akhirnya, Maniam dapat diselamatkan . Sementara itu, Kong Beng dan Suppiah telah dibunuh. Sebelum berlaku pertempuran membebaskan Maniam, Yew Seng dan Poh Eng telah sedar bahawa perjuangan mereka hanya sia-sia.