17 Mei 2011

Sambutan Hari Guru Kali ke 40 Peringkat Kebangsaan 2011

Guru Harus Kental Perkasa Bidang Pendidikan

KUCHING 16 Mei – Para guru harus mempunyai semangat kental dalam menghadapi perubahan global yang semakin mencabar pada hari ini bagi memperkasakan bidang pendidikan serta generasi muda negara ini.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, mereka tidak patut mudah hilang semangat dalam memastikan usaha menyalurkan ilmu kepada generasi muda dapat dijayakan sepenuhnya.
Menurutnya, tugas seorang pendidik kini semakin mencabar kerana generasi muda tidak lagi merasai kepayahan untuk menimba ilmu pengetahuan kerana mereka sudah dibuai dengan kesenangan.
”Tidak seperti zaman dulu, generasi muda hari ini mendapat kemudahan dalam proses menimba ilmu pengetahuan serta memperoleh maklumat.
”Justeru, para guru perlu berani menempuh cabaran baru dalam tugas memberi pendidikan kepada generasi muda hari ini,” katanya ketika berucap pada Malam Berambeh Majlis Pelancaran Hari Guru Ke-40 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam tadi.
Hadir sama isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; dua Timbalan Menteri Pelajaran iaitu Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi serta Pengarah Pelajaran negeri, Abdillah Adam.
Dalam pada itu, Abdul Taib memberitahu, untuk menjayakan negara sebagai ekonomi berpendapatan tinggi, generasi muda perlu diberi pendidikan yang mantap khususnya dalam bidang teknikal bagi memenuhi keperluan Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (SCORE).
Katanya, keperluan tenaga kerja telah berubah dengan wujudnya SCORE apabila 50 peratus daripadanya melibatkan sektor pekerjaan yang memerlukan mereka mempunyai kemahiran dalam bidang teknikal.
Pada masa sama, beliau memuji golongan pendidik kerana hasil usaha gigih mereka selama ini dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pendidikan dari semasa ke semasa.
”Pendidik bukan sahaja memberi perkhidmatan di kawasan bandar, malah turut ditempatkan di kawasan-kawasan terpencil dan ini salah satu cabaran perit yang perlu diharungi oleh guru-guru,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Abdul Taib turut menyampaikan sijil dan hadiah kepada guru-guru yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang.
—–
Sumber: Utusan Malaysia |17 Mei 2011|
Tags: