Terdapat tiga watak yang memainkan peranan penting dalam novel Interlok, terutamanya untuk menghidupkan cerita. Tiga watak itu ialah Seman, Cing Huat, dan Maniam.
1. Seman
Seman ialah anak tunggal Pak Musa dan Mak Limah. Kulitnya lebih cerah daripada kulit bapanya. Dia tidak bersekolah dan cuma belajar mengaji Quran dengan Lebai Man. Oleh itu, dia buta huruf dan tidak tahu membaca dan menulis. Dia berkahwin dengan Gayah, anak Mat Ranggi dan dikurniakan dua orang anak. Dia rajin bekerja, buktinya dia rajin mengusahakan tanah sawah bapa mentuanya dengan menanam sayur-sayuran dan kacang selepas menuai padi. Seman tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan, contohnya dia tabah mengharungi hidupnya yang berliku bersama-sama dengan ibunya selepas diarahkan keluar oleh Cina Panjang dari rumahnya. Dia seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan ayah dan ibunya. Seman hormat dan taat akan orang tua, buktinya Seman hormat kepada ibu dan ayahnya dan tidak membantah kata-kata mereka.
Seman seorang yang berani, contohnya dia berani menjemput Pak Utih yang menjadi dukun ke rumahnya pada waktu malam untuk mengubati ayahnya yang sakit, setelah disuruh oleh emaknya seorang diri. Dia bersabar ketika menghadapi dugaan, contohnya dia bersabar ketika menghadapi kematian ayahnya dan menghadapi kehidupan baharu bersama-sama dengan ibunya selepas kematian ayahnya di kebun Cangkat Janggus. Dia suka menolong orang dan tidak menyimpan perasaan dendam, contohnya Seman menolong Poh Eng dengan memberikan perlindungan kepadanya. Perkara itu berlaku selepas kedai Cing Huat dimasuki perompak walaupun dia marah akan Cing Huat. Seman kuat beribadat terutamanya selepas kematian ayahnya, contohnya dia bangun pada waktu tengah malam untuk bersolat sunat dan berdoa kepada Allah. Di samping itu, dia juga menunaikan solat wajib, contohnya dia bersembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong. Seman bersemangat patriotik, buktinya dia hendak merayakan kemerdekaan negara yang diadakan di Kuala Lumpur.
Seman berfikir secara rasional dan bertindak dengan matang untuk menyelesaikan masalah, contohnya dia telah berjumpa dengan Cing Huat dan bertanyakan hal geran tanah, dan perjanjian dengan bapanya itu. Dia juga mendapatkan pandangan penghulu tentang masalahnya itu dengan ditemani oleh Lebai Man. Seman mudah bersimpati, contohnya dia bersimpati dengan Poh Eng dan membantunya untuk mendapatkan termpat berlindung.
2. Cing Huat
Cing Huat ialah anak Kim Lock yang datang dari negara China dengan ayahnya. Dia digelar Cina Panjang oleh orang-orang kampung. Badannya gemuk dan perutnya gendut. Cing Huat berhijarah ke Malaya untuk mencari pekerjaan dan mengumpul kekayaan. Cing Huat tabah dan gigih, contohnya dia pernah bekerja sebagai pembantu kedai makan dan kedai runcit di Singapura serta bekerja di lombong bijih bersama-sama dengan bapanya ketika berusia sepuluh tahun. Dia berkahwin dengan Tua Pao dan memperoleh empat orang anak, iaitu Yew Huat, Yew Seeng, Poh Eng dan Poh Kheng. Dia seorang yang pemarah dan panas baran, contohnya dia marah dan menampar Yew Seng kerana melawan kata-katanya. Dia berprasangka buruk terhadap orang Melayu dan menganggap bahawa mereka malas. Oleh sebab itu, dia tidak suka akan anaknya, Yew Seng yang berkawan dengan budak-budak Melayu.
Cing Huat rajin bekerja dan akhirnya dia menjadi tauke kedai runcit yang berjaya. Walaupun dia menyuruh anaknya mengurangkan timbangan sedikit dalam urusan jual beli tetapi dia seorang yang pemurah, buktinya dia mendermakan wangnya sebanyak lima ratus ringgit untuk membina sekolah Cina di pekan Simpang Empat. Selain itu, dia memberikan pinjaman wang kepada Pak Musa dan menggunakan nama Pak Musa untuk membeli tanah orang-orang Melayu. Dia juga murah hati untuk menanggung perbelanjaan tambang bas bagi orang-orang kampung yang hendak merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Namun begitu, dia tidak boleh bertolak ansur dengan syarat pemilikan tanah dan buktinya dia mengarahkan Seman dan Pak Cin keluar dari rumah dan tanahnya.
Cing Huat pintar dan bijak dalam perniagaan, terutamanya dia menawar harga yang paling murah kepada orang yang hendak menjual barang kepadanya tetapi dia tidak akan mengurangkan harga orang yang hendak membeli barang jualannya. Dia juga bijak untuk mengumpulkan harta, iaitu dengan menggunakan orang Melayu seperti Pak Musa dan Pak Cin untuk menjadi proksinya membeli tanah orang Melayu.
3. Maniam
Maniam berasal dari sebuah kampung di Kerala yang terletak di sebuah negeri di pantai barat India Selatan, dan dia datang ke Malaya untuk mencari rezeki kerana keadaan hidupnya yang terlalu miskin di India. Badannnya tegap dan tinggi, tulang rangkanya besar, dan berkulit hitam. Dia baru berumur 30 tahun semasa tiba di Pulau Pinang. Isterinya yang terpaksa ditinggalkan di India lari mengikut lelaki lain dan dia berkahwin pula dengan Malini, anak Perumal di kebun Cangkat Lima.
Maniam rajin bekerja, contohnya dia melakukan berbagai-bagai kerja seperti menjadi kuli di pelabuhan dan bekerja di kebun kelapa di Cangkat Lima serta kebun getah di Cangkat Janggus. Maniam tidak suka akan fitnah, buktinya dia marah akan Suppiah yang telah memfitnahnya iaitu dengan mengatakan bahawa dia sudah berkahwin dan meninggalkan isterinya dalam keadaan miskin di India kepada Mariama dan pekerja-pekerja di ladang itu.
Maniam seorang yang rasional, contohnya dia tidak mahu memberikan alasan dan menerangkan perkara yang sebenarnya kepada bapa mentuanya yang kecewa dengannya setelah mengetahui latar belakangnya itu. Dia seorang yang berani dan benci akan orang yang suka berbohong dan menceritakan keburukan orang lain, contohnya oleh sebab terlalu marah, Maniam mengejar Suppiah yang menyebarkan cerita buruk tentang dirinya. Namun begitu, perkara lain pula yang berlaku iaitu dia ditembak oleh pengurus ladang kerana menyangka Maniam hendak membalas dendam terhadapnya kerana memukulnya di kebun sebelum itu. Walau bagaimanapun, Maniam mendengar kata orang yang lebih tua, contohnya selepas peristiwa itu bapa mentuanya, Perumal menyuruhnya pergi ke tempat lain untuk mencari pekerjaan dan meninggalkan isterinya di situ bagi mengelakkan persengketaan yang berlarutan. Dia akur dengan kata-kata bapa mentuanya itu.
Maniam suka menolong orang, contohnya dia menolong Seman untuk mendapatkan kerja di kebun tempatnya bekerja. Selain itu, dia seorang yang mengenang budi, contohnya Maniam mengenang budi Musa yang telah menyelamatkannya ketika dia dipukul oleh orang yang tidak dikenali ketika hendak meninggalkan kebun Cangkat Lima pada suatu awal pagi. Maniam seorang yang penyayang, buktinya dia amat berat hati untuk meninggalkan isterinya yang sarat mengandung. Maniam bertemu dengan anaknya, Inspektor Ramakrisyhnan yang tidak pernah dilihatnya itu semasa dia ditahan oleh Jepun. Dia bersimpati kepada orang lain, contohnya dia bersimpati dengan Mak Limah yang ditangkap oleh Jepun dan meminta anaknya Rama membebaskan Mak Limah.