26 Mac 2011

Sheikh Haji Ahmad Bin Sheikh Mohd Said - Mufti Pertama Negeri Sembilan
Pemilihan Tuan Sheikh Haji Ahmad bin Haji Mohd Said sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bukanlah atas permohonan beliau seperti yang lazim dilakukan sekarang ini.  Jawatan ini di tawarkan oleh Menteri Besar yang pertama iaitu Dato' Haji Abdul Malik bin Yusuf (1948 – 1950). Jawatan yang di tawarkan kepada beliau juga telah dipersetujui oleh para ulama' di Negeri Sembilan, dalam satu persidangan.  
     Pada peringkat permulaan tawaran ini ditolaknya, tetapi atas desakan yang kuat dari pembesar dan ulama' di Negeri Sembilan ini beliau merestui memegang jawatan ini dan merasakan rakyat Negeri Sembilan khasnya amnya memerlukan beliau dalam memimpin mereka ke arah jalan yang diredhai Allah. Tuan Sheikh Haji Ahmad seorang yang berfikiran terbuka tetapi terkenal dengan sifat tegasnya.  Beliau tidak mudah diperalatkan oleh pihak pemerintah (sama ada dari kerajaan Pusat ataupun dari kerajaan pihak pemerintah Inggeris).  Ini jelas membuktikan karisma beliau sebagai seorang pemimpin yang berupaya menghadapi tentangan  zaman dan sentiasa dihormati.           
      Di samping terkenal dengan ketegasannya dalam perkara yang jelas bertentangan dengan kehendak syari‘at, beliau juga terkenal dengan kecekapan dalam menjalankan tugas.  Selaras dengan tugasnya sebagai Mufti.  Beliau sentiasa menjadi tumpuan dan tempat rujukan dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat setempat.
 
Karya-Karya Tuan Sheikh Haji Ahmad
  1. Penjelasan Di sekitar Hukum Pungutan Zakat Fitrah Bagi Kerajaan Negeri Sembilan (Dikeluarkan oleh Jawatankuasa Syari‘ah Bahagian Siaran. Jabatan Agama Negeri Sembilan pada tahun 1960 bersamaan 1379H)
  2. Pengertian Kepada Tariqat Ahmadiyyah , (suntingan dan ubahsuai bahasa oleh Mahmud Hj. Ahmad)
  3. Risalah “al-Qawa‘id Li Samad al “Ariffin wal Qutub al Muhaqqiqin” (Diterbitkan semula oleh Abdul Halim Haji Ahmad pada 25 April 1982 bersamaan 1 Rejab 1402H)
  4. Ta‘lik Di atas Faedah Pada Menyelitkan Kaifiyyat Terawikh Sepuluh Raka‘at (Dikarang pada tahun 1305H)
  5. Safinah al-Salamah Ahwal al-Dunya wa Al-Barzakh wa al-Qiamah.
  6. Kanzu al-Mu‘id Fi Manaqib al-‘Arif Billah (Dicetak oleh Maktabah al-Ahmadiyyah, Singapura pada tahun 1952.
  7. Perbahasan Berzikir Akan Allah Dengan Kuat , (Diterbitkan di Kuala Pilah oleh Teruna Press pada tahun 1355H dan telah disunting dan diubahsuai bahasanya oleh Prof. Dr. Mahmud Saedon Awang Othman, 1986).
  8. Aurad al-Tariqat al-Ahmadiyyah dan Kelebihan dan Tahfatun al-Ikhwan.
  9. Majmu‘atun Musahatun bi Tahafuh al-Awtan wa al-Ikhwan , (Dicetak di Singapura, al-Ahmadiyyah Press, 1354H/1935M.
  10. ‘Ittikaf Zawir al-Raghabat Bayan Karamat al-Aulia' fi al-Hayat wa ba‘da al-Mamat atau Khasyf al-Ghamamah , (Dicetak di Jawi Press, Singapura, 1368H.)
  11. Al-Fuyudhat al-Ahmadiyyah fi fadhli wa Takhij ba‘du Kalimat al-Husn al-Mani' al-Nabawiyyah.
  12. Setengah Daripada Munaqib Guru-Guru Yang Mulia , (Dicetak di Seremban, Sungai Ujung Press, 1354).
          Disamping itu beliau juga mengarang khutbah-khutbah Jumaat yang menyentuh isu-isu semasa dengan mengemukakan pandangan-pandangan Islam untuk renungan masyarakat. Beliau meninggal dunia pada 7 Januari 1964/1345H    

Dato' Haji Hasan Bin Sail -  Mufti Kedua Negeri Sembilan
           Dato' Haji Abu Hasan bin Haji Sail – dilahirkan pada 6 Ogos 1922 di Kg. Pulau Bukit Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan pulau Besar Rembau, Negeri Sembilan dari tahun 1929 hingga tahun 1933. Kemudian beliau menyambung pelajarannya di Madrasah al-Sa‘idiyyah Kg. Pondok, Rasah dibawah pimpinan allahyarham Sheikh Haji Ahmad. Di madrasah ini beliau menimba ilmu-ilmu seperti Tauhid, Feqah, Tasawwuf, Tafsir, Hadith, Tajwid dan Tahfiz al-Quran. Tidak ketinggalan juga beliau diajarkan Ilmu Bahasa Arab seperti Nahu, Balaghah, Saraf, Nusus, Imla' dan Bayan. Tarbiyah yang diterima oleh beliau di Madrasah ini merupakan sebagai permulaan sebagai ulama' tempatan. Pada tahun 1937 beliau berangkat ke Timur Tengah untuk menyambung pelajarannya sehingga tahun 1945. Semasa pengajiannya beliau tergolong bersama pelajar yang pintar dan mempunyai daya ingatan yang kuat. Tidak hairanlah sekembali beliau ke tanah air Kerajaan Negeri Sembilan telah melantik beliau memegang beberapa jawatan penting di negeri ini. 
Antara jawatan yang pernah beliau sandang ialah :
   •  Mudir Sekolah Agama Menengah Tinggi Seri Menanti, Kuala Pilah (1959 – 1961)
   •  Kadhi Besar Negeri Sembilan yang Pertama (1961 – 1969)
   •  Pemangku Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (1963 – 1969)
   •  Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang kedua (1969 – 1987)
           Penghormatan masyarakat sekitar terhadap beliau terlalu tinggi, beliau dikenali sebagai ulama' yang tidak pernah membezakan taraf seseorang. Beliau juga dikenali seorang yang pendiam, tidak banyak bercakap dan bercakap jika dirasakan perlu. Sikap beliau yang demikian menyebabkan orang lain terpaksa berhati-hati apabila hendak berbual atau bergurau dengannya. Sepanjang beliau menjadi Mufti Kerajaan Negeri beliau sentiasa berlembut dalam memberi nasihat kepada pemerintah. Sikap seperti ini jauh berbeza dengan arwah gurunya Sheikh Haji Ahmad yang sentiasa tegas. 

         Kewibawaan dan ketokohan beliau dalam perkhidmatan membuatkan beliau menjawat dalam jawatan ini selama 18 tahun. Beliau kembali ke rahmatullah pada 10 Zulkaedah 1414H/1993M.