Judul: La’ Tahzan - Jangan Bersedih - Don't Be Sad
Penulis: Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni
Terjemahan: Mohd.Sofwan Amrullah
Penerbit: Jasmin Enterprise
Muka Surat: 592
Harga: RM 30.00
La’ Tahzan Sebagai Aksara Pencorak Hidupku:
Hidup sebagai manusia selalunya takkan lekang dengan air mata. Bagi saya kehidupan penuh dengan kebahagian tetapi disebaliknya mesti ada tangisan dan air mata. La’ Tahzan merupakan aksara yang setia menghilangkan air mata dan tangisan dalam hidup saya. Merupakan teman yang sentiasa disulami dengan aksara dan mutiara kata yang subur bercambah dalam diri ini. La’ Tahzan juga merupakan jalan penyelesaian dalam masalah-masalah harian yang disertai dengan bimbingan wahyu, panduan risalah serta bersesuaian dengan fitrah manusia yang suci. Disamping itu, diambil juga pengalaman matang, contoh-contoh yang hidup, kisah-kisah yang menarik, serta adab dan etika yang memikat.
"Hakikatnya, hari esok masih di alam ghaib dan belum turun ke bumi. Maka tidak sepatutnya kita menyeberangi satu jambatan sebelum kita sampai di atasnya. Sebab siapa yang tahu dengan pasti bahawa kita akan sampai atau tidak di jambatan itu?"
“Jangan berdukacita jika gagal, kerana anda masih memiliki nikmat yang lain!”
Hayatilah ungkapan ini: “Alangkah banyaknya nikmat dan anugerah Allah pada diri anda. Justeru,bersyukurlah kepada-Nya kerana semua itu, dan insafilah bahawa anda betul-betul bergayut dengan pemberian-Nya.”
Allah s.w.t berfirman, maksudnya:
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya”
(Surah Ibrahim:34)
Diriwayatkan dari Asma' binti 'Umais r.a,katanya: "Baginda Rasul telah berkata kepadaku: "Tidakkah pernah aku ajarkan kepadamu kalimat yang boleh engkau baca ketika engkau ditimpa kesakitan? Bacalah: Allah, Allahu Rabbi, la usyriku bihi syai'an..(Allah, Allah Tuhanku, aku tidak akan menyekutukan sesuatu dengan-Nya)."
“Memang ada beberapa perkara yang mewujudkan mendung tebal dan pekat di dalam hati. Tetapi jika ia kembali kepada Tuhannya, menyerahkan segala masalah kepada-Nya, dan akur kepada-Nya dengan segala keikhlasan dan keimanan di dalam hati, nescaya Allah akan mengalihkan mendung-mendung itu. Tetapi kalau yang dikatakan itu keluar dari hati yang leka dan tidak ikhlas maka ia adalah mustahil.”
La Tahzan’ saya syorkan buat sesiapa yang berasa hidup sempit, resah dan sedih atau buat mereka yang ditimpa musibah atau tertekan hingga tidak dapat tidur. La Tahzan’ menggesa anda: "Bergembira dan berbahagialah, optimis dan damailah hidup anda". Lebih dari itu ia menggesa anda: "Jalanilah hidupmu apa adanya dengan rela dan senang hati."
oleh Qasih Nadira - pemenang