IPOH, 16 Jun (Bernama) -- Sebuah Taman Herba Negeri yang menghimpunkan 525 spesis pelbagai jenis herba yang tersohor namanya dalam bidang perubatan dan farmasi, dibuka dengan rasminya di satu kawasan seluas 22 hektar di Simpang Pulai, di sini, khusus untuk dilawati orang ramai yang berkunjung ke negeri Perak.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata antara spesis herba yang boleh ditemui di taman berkenaan ialah tongkat ali, kacip fatimah, mas cotek, hempedu bumi, misai kucing, dukung anak dan banyak lagi.
Beliau berkata apabila kerajaan melancarkan dasar pemerkasaan sektor pertanian, kerajaan negeri turut mengambil pelbagai langkah proaktif ke arah mencapai matlamat itu.
Berucap pada majlis perasmian Taman Herba itu yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di sini Selasa, Dr Zambry berkata kini Perak adalah pengeksport beberapa hasil pertanian seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan udang ternakan, serta komoditi hasil-hasil ladang seperti sawit dan getah.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.
Bagi memudahkan operasinya dan bersesuaian dengan pembelajaran, Taman Herba itu dibahagikan kepada enam laman yang dikenali sebagai Laman Ulam-ulaman, Laman Perubatan, Laman Warisan, Laman Herba Beraroma, Laman Kosmetik dan Laman Rempah Ratus.
Dr Zambry berkata taman itu juga akan menjadi muzium herba yang menempatkan pelbagai spesies koleksi herba bagi memberi manfaat kepada pengunjung dalam membuat kajian dan pembelajaran tentang herba.
-- BERNAMA |