18 Dis 2010

Bagaimana mengurus wang anda?

Bijak Mengurus Kewangan

Berdasarkan perangkaan Bank Negara Malaysia, seramai 16,800 pekerja diberhentikan tahun lalu, sebahagian besarnya sejak Oktober terutama dari sektor perkilangan. Manakala Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyatakan, lebih 10,000 pekerja kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini. Kesan itu dijangka semakin dirasai oleh masyarakat di negara ini menjelang pertengahan dan akhir tahun ini. Malah, ada ramalan yang menyebut kadar pengangguran di negara ini berada pada tahap enam peratus tahun ini, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Dalam konteks ini, wanita perlu bersedia menghadapi kegawatan ekonomi khususnya dalam perancangan kewangan belanja harian.  Selain perbelanjaan berhemah, kaum wanita perlu bijak mengutamakan keperluan dan meneruskan tabungan bulanan. Menurut Pengurus Akademi Usahawan Utama (AUU), Marina Yusoff, wanita perlu bijak merancang kewangan dari awal lagi.
"Perancangan kewangan yang betul memerlukan asas pengetahuan mengenai wang itu sendiri dan mengenal pasti senario serta faktor sekeliling yang mempengaruhi tabiat menggunakan wang yang dimiliki. Untuk merancang kewangan, kaum wanita perlu berpengetahuan, bertanggungjawab dan berdisiplin terhadap pelan kewangan yang dipilih, sama ada melalui nasihat pakar kewangan atau yang dibuat sendiri seperti analisis perbelanjaan setiap bulan," katanya.
Kaum wanita sama ada bekerja atau suri rumah perlu bijak merancang kewangan keluarga. Suri rumah misalnya, perlu mengetahui hal kewangan suam seperti urusan insurans dan perbelanjaan.  "Insurans amat penting untuk wanita khususnya ibu tunggal atau balu. Jika kematian suami, keluarga bergantung sepenuhnya kepada ibu," jelasnya.
Tambahnya, dalam keadaan tertekan, banyaklah wanita yang hilang punca dan mencari jalan mudah menampung keperluan kewangan menyebabkan ada yang meminjam dengan ceti haram atau menceburi skim cepat kaya. Namun, katanya, semua itu boleh diatasi jika wanita merancang kewangan daripada awal, sama ada mereka bekerja atau tidak kerana ia boleh menjamin kedudukan kewangan yang lebih stabil jika berlaku penceraian atau kecelakaan lain.
"Sebagai panduan, wanita boleh mengamalkan enam sistem tabungan dari awal lagi. Ini termasuk memperuntukkan 10 peratus daripada gaji untuk akaun kewangan bebas sebagai simpanan hari tua. Kedua, tabung simpanan jangka masa panjang untuk pembelian kereta, rumah dan menunaikan haji kelak sebanyak 10 peratus. Ketiga, perbelanjaan keperluan harian yang meliputi 50 peratus daripada gaji termasuk pembiayaan bil, sewa rumah dan kereta. Masing-masing 10 peratus untuk pendidikan diri sendiri, tabungan derma, serta zakat dan hiburan (membeli pakaian, kasut dan aktiviti sosial)," jelasnya.
Tidak ketinggalan, dalam keadaan ekonomi masa kini, kurangkan membeli atau jangan langsung membeli barang yang tidak diperlukan. Tumpukan merancang belanjawan untuk barang keperluan saja. "Elakkan membeli harta benda yang memerlukan anda membuat pinjaman bank seperti kereta, rumah dan sebagainya. Lazimnya, kita membeli mengikut emosi dan bukan logik akal. Justeru itu, kita perlu menangguhkan pembelian kehendak diri," jelasnya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menyertai kursus merancang kewangan secara percuma dan bengkel pengurusan harta pusaka boleh menghubungi AUU di talian 03-61858350.
*Sumber :Utusan Malaysia-5 April 2009