6 Dis 2010

Esei 1 Malaysia

Esei : 1 Malaysia, Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan

Belia yang semakin mendapat tempat dan perhatian dalam masyarakat. Apa yang berlaku dalam dunia belia akan diperbincangkan secara mendalam oleh semua golongan. Bukan sahaja di negara ini, malah ianya menjadi agenda dalam semua negara. Semua menyedari bahawa generasi belia adalah aset negara dan perlu diberi persediaan, perlindungan serta hala tuju yang sebenar dalam menjamin kestabilan dan kemajuan sesebuah negara tersebut. Dengan itu, kerajaan telah berusaha sedaya upaya memenuhi cita rasa generasi belia yang menerajui negara kita pada masa akan datang. Jikalau visi 2020 merupakan satu wawasan strategik jangka panjang sebagai panduan arah dasar yang luas meliputi pelbagai aspek berkaitan pembangunan negara dalam hubungan dengan perkembangan ekonomi dunia keseluruhannya. Ianya juga bertujuan untuk menjadi pandu arah, target dan mempunyai jangka masa tertentu untuk mencapainya.Wawasan ini perlu bagi membolehkan generasi muda jelas akan tujuan hidupnya. Mereka yang tidak mempunyai tujuan dalam hidupnya akan mudah dipengaruhi dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah untuk dirinya, keluarga, masyarakat dan negaranya.
Generasi berwawasan akan menjadikan negara kita mempunyai satu masyarakat yang tahu hala tuju, komited dengan matlamat serta mampu menghadapi apa jua rintangan demi mencapai impian tersebut. Generasi berwawasan juga mampu meletakkan tahap pencapaiannya, dan jangkamasa untuk beroleh kejayaan. Oleh kerana itu, YAB Perdana Menteri menggariskan wawasannya bagi membolehkan kita sama-sama mendokongnya demi survival umat, demi survival negara, demi kelangsungan bangsa Malaysia pada masa akan datang.YAB Perdana Menteri, Dato Sri Najib Tun Razak, menyatakan secara tegas bahawa ”Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan”, telah memulakan era baru dalam menganjak paradiqma rakyat. Kita harus memulakan langkah baru, setelah berhadapan dengan kecelaruan politik serta kekusutan maklumat sehingga mengganggu keamanan, keharmonian serta perpaduan rakyat Malaysia. Beliau menyedari kekuatan bangsa Malaysia dengan menyatakan ;
”Malaysia unik kerana kepelbagaian kita dan berharap kita dapat mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian ini yang selama ini menjadi kekuatan kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan.”
Gagasan atau konsep 1 Malaysia yang dicetuskan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Najib bin Tun Hj Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia adalah satu aspirasi sosio-politik masa depan yang sangat relevan bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. 1 Malaysia adalah gagasan untuk membina kekuatan negara melalui perpaduan dan semangat bersama dalam kalangan rakyat yang berteraskan kepada beberapa nilai penting. YAB Perdana Menteri telah menggariskan lapan teras atau nilai utama bagi menjayakan konsep 1 Malaysia, iaitu berpengetahuan, intergriti, rendah hati, kesetiaan, budaya kecemerlangan, ketabahan, penerimaan, dan meritokrasi. Kelapan-lapan nilai teras ini diadun sebagai formula utama dalam usaha mencapai Wawasan 2020. Bagi mencapai aspirasi ini lapan nilai teras di atas perlu dihayati dan diamalkan oleh setiap lapisan rakyat.Asas kepada semua teras atau nilai ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, bermaksud semua kaum akan terbela dan tiada sesiapapun akan terpinggir atau dipinggirkan. Keadilan mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan perlembagaan yang memberi pembelaan kepada golongan yang memerlukannya akan tetap dilaksanakan. Mana-mana rakyat yang miskin yang memerlukan pembelaan perlu dibantu tanpa mengira siapa yang harus membantunya.
Nilai-nilai ini bukanlah suatu yang sukar untuk dihayati serta dijadikan dasar dalam pembentukan generasi belia. Ianya juga bukanlah suatu yang janggal untuk dijadikan budaya sesuatu bangsa. Namun, ianya tidak seharusnya diambil mudah serta harus ditanam kepercayaan dalam diri akan nilai-nilai ini sebenarnya berupaya membangunkan belia itu sendiri dan seterusnya nilai-nilai tersebut dapat dijelmakan dalam pembinaan negara. Apakah generasi kita mampu dan bersediakah kita ?
Menanam nilai dalam generasi belia adalah satu proses dan merupakan perjalanan yang panjang dan memerlukan semua pihak dalam mendokong misi besar ini.
 Proses ini ini memerlukan kesabaran dan komitmen. Usaha yang bersungguh-sungguh amat perlu untuk menjadikan generasi belia kita dapat menghayati serta menjadikan nilai ini sebagai perisai yang menguasai diri mampu membina negara dengan lebih cemerlang dan menempis segala cabaran-cabaran yang mendatang.
”Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik. Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan kita bangunkan setinggi-tingginya. Kita percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.”
Dalam sedutan ucapan YAB Perdana Menteri, kita dapat rasakan bagaimanakah rasa keperihatinan beliau dan kerajaan yang ada sekarang terhadap generasi belia. Rasa ini harus juga dipertanggungjawabkan kepada seluruh kepimpinan belia agar bersedia memikul beban menyedarkan generasi belia akan persediaan yang perlu ada bagi mereka.
Usaha Perdana Menteri mengusulkan konsep membentuk satu bangsa Malaysiayang sejahtera dan makmur melangkaui tahap toleransi yang diterima umum selama ini tentunya berdepan dengan pelbagai pandangan berbeza kerana masing-masing pihak boleh bersuara berlandaskan demokrasi. Jadi tidak hairanlah, rakyat masih kabur dengan hala tuju yang ingin diketengahkan itu sebagai kesinambungan daripada dasar yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini, yang memacu kesejahteraan, kemajuan dan pembangunan negara sejak lebih setengah abad lalu. Namun, seperti  yang dikatakan Perdana Menteri sebelum ini, pengisian konsep 1Malaysia akan melalui proses evolusi bukan revolusi bagi membolehkan rakyat memahami, menghayati dan bergerak ke arah matlamat yang ditetapkan. Sebagai rakyat berbilang kaum, setiap pihak berusaha untuk mempertahankan haknya supaya tidak terhakis. Jadi jaminan kerajaan untuk tidak mengetepikan peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan membabitkan soal bahasa, agama dan hak keistimewaan selain kontrak sosial yang selama ini menjadi pegangan semua rakyat, wajar dihargai.
  Apabila kita sudah menghormati antara satu sama lain bererti kita sudah mempunyai sikap terbuka untuk menghayati konsep perpaduan dalam kepelbagaian. Seperti dijelaskan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib, konsep “1 Malaysia” bermaksud kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Ini bermakna cara pemikiran dan bertindak kita mesti keluar daripada cara bertindak dalam tembok atau kepompong etnik. Contohnya, jika kita memperjuangkan soal kemiskinan, maka kemiskinan itu mesti dilihat merentasi semua kaum sama ada di bandar, luar bandar, ladang, kampung baru atau kumpulan orang asli. Daripada lensa pembangunan, konsep dan falsafah “1 Malaysia” adalah bertitik tolak atau berteraskan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat. Kerajaan tetap mengiktirafkan sumbangan semua kaum. Setiap rakyat tanpa mengira warna kulit bebas menyertai arus pembangunan negara. Kesaksamaan untuk semua kaum adalah sesuatu yang amat ditekankan oleh kerajaan. Negara mempunyai sejarah, tradisi dan warisan budayanya tersendiri. Semua resipi ini disalut dan diterap dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, YAB Dato’ Sri Mohd Najib sudah pun menegaskan bahawa apa yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara tetap menjadi prinsip dan landasan dalam menterjemahkan konsep terbabit. Ini bermakna semua fasal yang ditakrifkan sebagai hak istimewa orang Melayu tetap dipelihara kerana hak-hak terbabit tidak sedikit pun menafikan hak kaum lain. Apa yang nyata ialah konsep “1 Malaysia” bertemakan perpaduan rakyat. Perpaduan dalam kepelbagaian mendasari elemen kemajmukan rakyat di negara yang penuh citrawarna ini.
Sememangnya belia yang mempunyai hala tuju yang jelas, serta mempunyai jatidiri yang mantap akan menjadi penggerak utama kejayaan negara. Sekiranya kita mampu menjadikan agenda belia glokal, dimana belia kita berfikiran global dan bertindak secara loca, kemungkinan mereka mampu bergerak lebih jauh lagi.Dengan persekitaran yang aman serta peluang dan kemudahan kerajaan berikan, sudah pasti, dan saya yakin generasi belia akan mudah mencapai impian dan menjadi pemacu utama dalam pembangunan negara. Semuanya bermula dengan pemikiran yang jelas.Belia glokal mesti mempunyai daya saing yang tinggi agar dapat bersaing dengan bangsa-bangsa yang lain di peringkat antarabangsa. Persaingan dalam bentuk keilmuan, kemahiran, kepimpinan dan sebagainya memerlukan jatidiri yang tinggi, nilai yang kuat, daya tahan yang kental, dan nilai spiritual yang tinggi. Mereka tidak akan boleh membuat perubahan dan bersaing sekiranya mereka sendiri tidak memulakan perubahan dalam diri mereka sendiri.Sebagai penggerak, kita harus sentiasa perihatin dengan alam sekeliling kita. Kita hidup dalam masyarakat, umpama resam padi, semakin berisi, semakin tunduk” membawa maksud walaupun kita sudah berjaya, sepatutnya kita harus bersyukur dan rendah diri, kerana kejayaan kita bukanlah hasil usaha kita semata-mata, tetapi pengorbanan keluarga serta peluang yang diberikan kepada kita. Seharusnya kita menjadikan hasil ini sebagai pemangkin kepada sumbangan kita terhadap generasi belia yang akan datang serta negara.
  Secara tuntasnya, apabila YAB Dato’ Sri Mohd Najib menjadikan konsep dan falsafah baru itu sebagai landasan pentadbirannya adalah untuk memberi “nafas segar” kepada barisan kabinetnya serta menyuntik semangat rakyat untuk sama-sama berganding bahu dengan kepemimpinan negara. “1 Malaysia” adalah aspirasi untuk memperbaiki, memantap dan memperkasa hubungan kaum bagi memastikan rakyat di negara ini membina dan menjalin persahabatan berasaskan rasa hormat menghormati dan percaya mempercayai. Sebelum bibir menutup bicara, sebelum kata ternoktah, sajak ini akan menjadi pengakhir, namun perjuangan kita untuk mengekalkan seterusnya mengeratkan perpaduan kaum akan terus membara.