Soal Jawab Bahasa (9): Seputar Masalah Penggunaan Kata
Seputar Masalah Penggunaan Kata
Soalan:
1. "Cadangan akan dimajukan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan." Betulkah penggunaan kata dimajukan? Yang lebih gramatis bagaimana?
2. "Kertas kerja itu belum dibentangkan pada Mesyuarat Pengurusan KPKK." Kata sendi nama yang betul adakah pada atau kepada atau dalam. Yang manakah yang betul?
3. Saya kerap membaca minit mesyuarat KPKK yang berbunyi "...mengemukakan ulasan ke atas maklum balas jemaah menteri.." atau "...kunjungan hormat ke atas Menteri Penerangan...." Betulkah penggunaan kata sendi ke atas dalam ayat tersebut? Saya rujuk "Pusat Rujukan DBP" yang dalam talian. Maksud yang dipaparkan menunjukkan arah - 'ke atas', 'ke bawah'...
- ACO
Penjelasan:
1. Barangkali kata dimajukan yang digunakan dalam sebahagian dokumen rasmi itu diterjemahkan langsung daripada bahasa Inggeris forward. Kata yang lebih tepat ialah mengemukakan, mengetengahkan atau mengajukan. Katamengajukan sesuai diajukan sebagai pilihan untuk menggantikan memajukan.
2. Dalam ayat itu, kata sendi nama yang tepat ialah dalam (dalam mesyuarat).
3. Dalam konteks dua ayat itu, betul penggunaan kata ke atas, sebagai pilihan bagi kata sendi nama terhadap dan kepada. Namun dalam ayat seperti "Atas perhatian dan kerjasama tuan.....", maka atas tidak perlu ditulis di atas seperti dalam sesetengah surat. Kata atas dalam ayat itu bererti 'kerana'.
Asalnya ke atas memang frasa sendi nama yang menunjukkan arah. Dalam perkembangan bahasa, timbul makna 'terhadap/kepada'.
Dalam bidang kehakiman, misalnya, ada ayat seperti "Hukuman penjara dijatuhkan ke atas (kepada) pesalah itu."