Baru-baru ini seorang sahabat fb menghantar mesej di fb messenger meminta saya menulis tentang sikap manusia 'playing victim'. Ini juga sejenis sikap toksik. Mohon maaf puan, setelah 8 hari baru saya berkesempatan menulis.
Secara jujur, ini kali pertama saya menulis tentang perkara ini. Dalam bahasa pasar bagi orang macam saya, playing victim ini biasanya kita sebut orang yang suka meletakkan kesalahan itu pada orang lain. Dalam keadaan tertentu, bila berlaku sesuatu perkara, dia akan mencari helah agar kesalahan itu diletakkan ke atas orang lain. Maksudnya, orang sebegini pandai bermain kata-kata agar orang lain percaya bahawa dia tidak salah dan orang lain yang salah. Mereka juga pandai memanipulasi orang lain mengikut situasi mereka.
Bagi orang yang tidak teliti, jenis tidak mahu mendengar secara adil daripada kedua belah pihak, biasanya akan tertipu dengan mainan orang begini. Mereka akan percaya dan menghukum pihak yang satu lagi dengan persepsi yang buruk. Inilah yang sering terjadi dalam organisasi apabila orang yang bersikap begitu bertemu dengan ketua, lalu ketua percaya dengan apa yang disampaikan tanpa diselidiki. Akhirnya golongan itu dilihat golongan yang tersakiti dan satu pihak lagi adalah mereka yang menyakiti.
Saya lihat mereka yang bersikap demikian mempunyai beberapa tingkah laku seperti,
1. Apabila ada konflik, mereka akan mengatakan orang lain salah. Mereka jarang sangat hendak mengakui kesalahan sendiri. Mereka akan wujudkan persepsi yang buruk pada pihak satu lagi dengan gambaran yang negatif. Mereka mungkin akan cipta satu keadaan mereka itu adalah mangsa keadaan ataupun korban dalam sesuatu perkara sehinggakan orang jadi simpati pada dirinya. Akhirnya, orang lain akan memandang buruk pada pihak yang satu lagi dan kasihan pada golongan tersebut.
2. Apabila tugasan mereka tidak selesai, mereka akan cipta satu alasan supaya mereka tidak dipersalahkan. Mereka akan kaitkan dengan orang lain sehingga mereka dilihat betul dan orang lain salah.
Akhir sekali, golongan ini boleh dikata mereka yang terpaling derita dan terpaling sengsara dalam hidup. Mereka juga terpaling memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada orang di sekelilingnya. Jika mereka memiliki perhatian orang lain, sudah tentulah mereka terpaling bahagia mengikut definisi mereka sendiri.
Insya-Allah, ada rezeki saya tulis sedikit bagaimana nak hadapi golongan yang terpaling tersakiti ini.
Copy paste fb cikgu Razali