sekarang mari kita berkongsi ilmu membuat ulasan buku yang baik.
Pertama sekali betulkan NIAT.
Ini pesanan yang penting kepada pengulas – sama ada ulasan itu dihantar untuk pertandingan atau ditulis untuk mendapatkan imbuhan (ada majalah yang membayar ulasan buku yang ditulis), atau sekadar suka-suka menulis ulasan di blog peribadi, niat yang utama ialah ‘berkongsi nilai buku yang diulas’.
Buku yang mempunyai nilai baik [tema dan cerita yang dibawa, gaya bahasa, dan sebagainya], wajar dikongsikan kepada umum, agar buku yang sebegitu akan terus hidup dan dimanfaatkan oleh masyarakat.
Buku yang mempunyai nilai yang buruk [boleh menyeleweng akidah, bahasa yang buruk, tema yang tak sesuai dengan beberapa sasaran pembaca dan sebagainya] pula, juga perlu diulas agar masyarakat tahu kewujudan buku tersebut dan mengelak untuk dibaca.
Bagi saya inilah tujuan utama kita mengulas sesebuah buku. Kita mahu sebarkan kebaikan dan mencegah keburukan buku tersebut kepada masyarakat.
Buku yang popular tidak semestinya berkualiti. Buku yang berkualiti pula selalunya tidak popular.
Mari kita popularkan buku berkualiti dengan menulis ulasan mengenainya.
Mudah kan?
Seterusnya saya kongsikan tips-tips asas mengulas buku.
- Tajuk ulasan – Tulis nama buku dan tajuk kecil (tagline) yang merangkumi keseluruhan buku. Pilih tajuk yang ‘catchy’. Rujuk tajuk-tajuk akhbar tempatan yang menggunakan ayat ringkas tapi menggamit pembaca untuk membaca keseluruhan berita. Begitulah. Contoh; Kuasa Kata – Apabila kata-kata menjadi cinta! (Buku Kuasa Kata karya Mahaya Mohd. Yassin)
- Perenggan pertama ulasan, boleh sahaja tulis tentang petikan-petikan menarik dalam buku tersebut (rujuk ulasan Gadis Oren yang saya tulis). Boleh juga memuatkan pendapat peribadi tentang buku, latar belakang buku dan penulis dan ciri-ciri teknikal buku.
- Isi – tulis pendapat peribadi beserta fakta tentang apa sahaja yang mahu dikongsikan kepada pembaca tentang buku itu. Dalam bahagian ini saya bagi tips bagaimana mahu menulis keistimewaan atau perkara penting tentang buku yang diulas – semasa membaca, buat nota ringkas – tentang apa sahaja yang menarik untuk dikongsikan. Dengan itu, kebanyakan isi ulasan akan kita peroleh dengan mudah tanpa menyelak-nyelak kembali buku tersebut.
- Jika boleh, ambillah gambar buku dari pelbagai sisi atau gambar-gambar dalam buku [jika ada], dikepilkan bersama ulasan. Ilustrasi boleh buat jiwa pembaca tenang sebelum meneruskan bacaan ulasan.
- Masukkan pendapat-pendapat orang lain mengenai buku ini – boleh sahaja setuju atau tidak setuju dengan pendapat orang lain.
Tips ringkas ;
- Pilih buku yang paling kita sukai atau beri kesan secara mendalam kepada kita.
- Usah fikir ketebalan atau kenipisan buku akan mempengaruhi kehebatan sesebuah ulasan.
- Gunakan gaya bahasa sederhana. Elakkan menulis dengan menggunakan istilah-istilah yang berat. Tugas pengulas ialah memudahkan pembaca memahami buku itu.
- Panjang atau pendeknya ulasan tidak penting. Yang penting isi yang ingin disampaikan.
- Buku lama atau buku baharu juga bukan faktor penting untuk ulas buku. Namun, ia akan beri kesan juga akhirnya – Jika buku baru, ia akan laris dipasaran. Jika buku lama, kemungkinan akan diterbitkan semula hanya kerana ulasan anda.
- Elak memasukkan terlalu banyak pendapat pengulas lain. Sebaiknya tekalkan dengan ulasan dari perspektif sendiri.
- Sebaiknya, masukkan maklumat lengkap buku – penulis [sedikit latar belakang penulis], buku-buku yang segenre dengannya atau buku-buku yang ada kaitan sama dengan buku yang sedang diulas, penerbit, siri-siri lain, dan sebagainya
- boleh sahaja masukkan cerita dari buku lain yang punya kesamaan dengan buku yang diulas tapi jangan terlalu banyak sehingga menenggelamkam topik utama – buku yang sedang diulas.
- Paling penting, gunakan bahasa Melayu/Inggeris standard.