- Memahami maksud takdir Allah.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir
Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap
kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya
menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the
wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan
angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat
bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman
kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat
pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita
adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya
pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha
luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan
kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga
dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada
perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi
katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah
dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan
mata hati seseorang.”
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta.
Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka
baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala
sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka
berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan
begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan.
Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah
jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah
kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam
apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah
di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa
Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan
(takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan
sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja
Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi
buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan
meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not
what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low
you fall but how high you bounce back!”