13 Mac 2012


CAPA RENGAT
(BAHARUDDIN KAHAR)
SINOPSIS


Cerpen “Capa Rengat” mengisahkan seorang remaja yang ingin merasai kehidupan di kampung ibunya.  Pada waktu petang, “Aku” akan mengikut bapa saudaranya Pak Cik Kinto,  ke bukit-bukit di keliling kampung untuk menyedut udara segar dan menembak burung-burung serta menjengah ikan-ikan di sungai. Hubungan Pak Cik KInto dan “Aku” seperti belangkas.

            Pada sebelah petangnya, “Aku” tidak dapat ke mana-mana kerana Pak Cik Kinto pergi untuk berurusan dengan peguam. Ibu “Aku” pula berasa bosan tinggal lebih lama di kampung. “Aku” mengambil keputusan merayau-rayau di sekeliling kampung. Ketika lalu di sebidang paya, “Aku” melihat lima orang anak muda sedang bermain di  bahagian tepi paya.

            Seorang budak perempuan, Su mengajak “Aku” bermain bersama-sama mereka. Permainan yang dimainkan begitu janggal dan “Aku” berasa kekok pada permulaannya tetapi kemesraan budak-budak kampung menghilangkan rasa kekok “Aku”. Akhir sekali, “Aku” diajak bermain  rumah katak. Setiap kali rumah katak “Aku” siap dibina, Su akan memecahkannya.

            “Aku” cuba menangkap Su kerana mempersenda-senda kebolehan “Aku”. Rupa-rupanya, Su begitu lincah meniti batang  dan melompat hingga ke seberang paya. Tanpa diduga, Su menghampiri “Aku” dan menghadiahkan sekuntum bunga Capa Rengat  atau bunga melur hutan yang berbau wangi. Kami seolah-olah dibuai perasaan apabila berganding bahu menyiapkan rumah katak dalam kota buatan.

            Tiba-tiba, ketika “Aku” dan Su asyik membina  jalan menuju pintu masuk kota buatan, seorang budak lelaki berumur lapan tahun menjerit nama Su.  Su terpaksa pulang ke rumah dengan segera.  “Aku” mengenal pasti Su mempunyai seorang ibu tiri yang bengis daripada kawan-kawan sepermainan. Budak yang memanggilnyaSu itu ialah adik tirinya.

            Pada sebelah malamnya, “Aku” tidur dengan nyenyak. Bunga Capa Rengat diletakkan di dalam botol berisi air.  “Aku” ingin merasai kesegaran bau wangi Capa Rengat  dalam tidur.

            Setelah sehari berada di kampung , ibu memutuskan siri lawatan ke kampung dipendekkan. Pak Cik Kinto dan Mak Cik Kinto meminta ibu memanjangkan tempoh di kampung tetapi ibu mendesak-desak untuk pulang. “Aku” berasa terharu untuk meninggalkan kampung dan kesayuan hatiku makin mendayu-dayu.

            Dalam keadaan separuh sedar , “Aku” bertanyakan kepada ibu tentang kesediaannya untuk pulang ke kampung semula. Malangnya, ibu melahirkan ketegasan untuk tidak pulang ke kampung lagi kerana urusan tanah dan rumah pusaka sudah selesai. Keputusan ibu membuatkan “Aku” sedih apabila “Aku” terpandang bunga Capa Rengat yang sudah layu dan  terkenangkan wajah Su.

Text Box: Tema 


Perasaan cinta pada kehidupan dan suasana di kampung. “Aku” telah mengalami pengalaman  yang menarik hidup di kampung.  Contohnya, semasa “Aku” mengikut Pak Cik Kinto menembak burung dan menyedut udara pergunungan yang segar.



Text Box: Persoalan
 


1.  Persoalan perasaan cinta sesama manusia melangkaui budaya.
Contoh:  Aku yang berasal dari bandar menyukai Su yang tinggal di kampung yang jauh dari arus pembangunan.

2.  Persoalan kemesraan membuahkan kualiti persahabatan.
Contoh:  Kemesraan yang ditunjukkan oleh Su kepada aku menyebabkan aku amat suka tinggal di kampung hingga sukar untuk melupakan kampung walaupun pada asalnya aku amat tidak selesa berada di kampung.

3.  Persoalan menghargai keaslian alam sebagai anugerah Tuhan.
Contoh: Dapat dilihat pada watak aku yang nenghargai dan menjaga Capa Rengat yang diberikan oleh Su.

4.  Persoalan mengenang kembali tempat asal usul.
     Contoh:  Su seronok mandi sungai dan bermain ‘kota Buatan’ tempat asal ibunya.


Text Box: Plot 


Permulaan
Aku pulang ke kampung bersama-sama dengan ibunya untuk menguruskan tanah pusaka dan rumah pusaka. Mereka berdua tinggal di rumah Pak Cik Kinto, bapa saudara “Aku”. Pada waktu pagi, Pakcik Kinto melayani “Aku” dengan membawanya berjalan-jalan di bukit sekeliling kampung.

Perkembangan
Pada sebelah petang, “Aku” merayau-rayau di sekeliling kampung kerana Pak Cik Kinto ke kota untuk berurusan dengan peguam.  “Aku” bertemu dengan sekumpulan budak kampung yang sedang bermain di tepi paya. Salah seorang budak perempuan kampung yang bernama Su mengajak “Aku” bermain bersama-sama dengan mereka. Ketika bermain, Su telah memberikan Aku sekuntum bunga Capa Rengat (melur hutan). Kerana leka bermain, Su dipanggil pulang oleh adik lelaki tiri nya pulang ke rumah. “Aku” pulang ke rumah dan meletakkan bunga Capa Rengat dalam botol berisi air.

Klimaks
Keesokan paginya, “Aku” dikejutkan dengan keputusan ibu untuk pulang ke kota. “Aku” berasa sedih dengan keputusan ibu kerana baru hendak merasai kenikmatan suasana kampung.

Peleraian
“Aku” pulang ke kota dengan kenangan yang indah hasil pemberian bunga Capa Rengat daripada Su, seorang gadis kampung.


Teknik Penceritaan

Cerita disusun mengikut kronologi urutan masa.

1.   Pemerian
Contoh:  Kami menyedut udara pergunungan yang segar. Kami melihat burung-burung berterbangan. Di samping itu, Pak Cik Kinto tidak pernah lupa membawa senapang patahnya, kalau-kalau bertemu denak.

2.  Dialog
     Contoh:  “Cantik,ya !” kata budak perempuan itu.
     “Cantik, “ jawabku pendek sambil merenung matanya yang jernih ghairah itu.

3.  Kejutan
     Contoh:  Adik tiri Su muncul dan memanggil Su pulang semasa “Aku” sedang bermain   
     dengan Su dan kawan-kawannya.

Text Box: Watak dan Perwatakan 


 “Aku”
Ø  Seorang anak remaja
Ø  Menghargai alam sekitar
Ø  Proaktif dan cergas
Ø  Mempunyai pandangan bernas
Ø  Berfikiran positif

Ibu
Ø  Pertengahan usia
Ø  Tegas dengan pendirian
Ø  Sikap terburu-buru membuat keputusan
Ø  Prihatin terhadap orang lain
Ø  Berperilaku mesra

Su
Ø  Budak perempuan awal remaja
Ø  Bersikap periang
Ø  Aktif dan cergas
Ø  Bijak mengolah keadaan
Ø  Taat kepada ibu

Pakcik Kinto
Ø  Bapa saudara “Aku”
Ø  Mahir selok-belok di kampung
Ø  Mempunyai kemahiran menembak
Ø  Ikhlas melayani tetamu
Ø  Melaksanakan urusan dengan cekap


Text Box: Latar
 



Masa
Cerita berlatarkan masa sehari “Aku”  tinggal di kampung. Peristiwa-peristiwa diolah oleh pengarang merentasi waktu pagi, petang, dan malam.

Ø  Pagi – “Aku” dan ibu bertolak pulang ke bandar setelah seharian berada di kampung.
Ø  Petang – “Aku” dibawa oleh Pak Cik Kinto ke bukit  di belakang rumah Pak Cik Kinto untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.
Ø  Malam – “Aku” tidur dengan nyenyak kerana terlalu letih setelah seharian bermain dengan budak-budak kampung.

Tempat
Latar tempat cerita berkisar di sebuah perkampungan Melayu yang berlatar belakang  bukit-bukau dan tanah paya
Ø  Bukit di belakang rumah Pak Cik Kinto – tempat Pak Cik Kinto membawa “Aku” bersiar-siar untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.
Ø  Paya – tempat kanak-kanak kampung berenang dan bermain di tepinya.
Ø  Rumah Pak Cik Kinto – tempat “Aku” dan ibu bermalam ketika pulang ke kampung.

Masyarakat

1.   Masyarakat bandar
Contoh:  Diwakili oleh watak aku yang berasal dan dibesarkan di bandar begitu kekok waktu mula-mula sampai di kampung.


2.  Masyarakat kampung
     Contoh:  Pak Cik Kinto yang sering ke hutan untuk berburu.


3.  Masyarakat yang berpegang teguh pada ajaran Islam
Contoh:  Ibu membetulkan tudungnya yang ditiup angin supaya melindungi rambutnya kerana untuk menutupi aurat.


4.  Masyarakat yang menghargai alam sekitar
Contoh:  Su sangat mengenali alam kampungnya dan menyukainya serta menghadiahkan aku bunga Capa Rengat.

5.  Masyarakat yang suka berburu
     Contoh:  Pak Cik Kinto sering berburu di hutan.
Text Box: Gaya Bahasa 


1.  Kata Ganda
     Contoh:  Tiba-tiba, seolah-olah, bukit-bukit, kadang-kadang, baik-baik

2.  Anafora
     Contoh: Mengapa jadi sayu? Mengapa jadi kesepian?

3.  Inversi (Keterbalikan ayat)
Contoh:  Demi memandang gunung-ganang dan padang belukarnya yang subur itu, segala rasa kesepian itu hilang. Sepatutnya. Segala rasa kesepian itu hilang apabila memandang gunung-ganang dan padang belukarnya yang subur itu.

4.  Personifikasi
     Contoh:  Melahirkan sinar cemburu.

5.  Simile
     Contoh: Seperti ada sesuatu yang memukul-mukul hatiku.

6.  Simpulan bahasa
     Contoh:  Seperti belangkas


Text Box: Nilai 


1.   Nilai keberanian
Su berani untuk meniti di atas sebatang tiang untuk menyeberang sungai yang dalam.

2.  Nilai hemah tinggi
Su dan rakan-rakanya menegur aku dan mengajak aku bermain bersama mereka walaupun baru pertama kali berjumpa.

3.  Nilai kerajinan
     Pak Cik Kinto rajin untuk membawa aku berburu bagi mendapatkan rezeki.

4.  Nilai kerjasama
     Su dan aku bekerjasama membina rumah katak semasa bermain.

Text Box: Pengajaran 


1.  Kita hendaklah menghargai alam sekitar.
Pak Cik Kinto dan aku menghargai keindahan alam sekitar semasa pergi berburu di hutan.

2.  Kita hendaklah menghargai persahabatan.
Contoh:  Aku menghargai persahabatan dengan Su dan sanggup menjaga bunga Capa Rengat yang diberi oleh Su kepadanya.

3.  Kita hendaklah menyemaikan kasih sayang antara keluarga.
     Contoh:  Aku menyayangi Pak Cik Kinto bapa saudaranya walaupun baru saja mengenalinya.

4.  Hendaklah kita bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara yang sukar.
Contoh:  Su,aku dan rakan-rakannya bekerjasama membina rumak katak dan jalan ke rumah katak.
Text Box: Latihan 



1.  Apakah gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di bawah?
“Cantik,ya !”  kata budak perempuan itu.
“Cantik,”  jawabku pendek sambil merenung matanya yang jernih  ghairah itu.

2.  Nyatakan nilai yang terdapat dalam petikan di bawah?
“Hei…!  Nanti kau jatuh!” aku berseru demi melihat tangannya tergewang-gewang meniti batang.

Jawapan
1. Sinkof - Jawabku
   Anafora pengulangan kata cantik, cantik

2. Nilai keberanian dan kerjasama