3 Feb 2012

ULASAN ANTOLOGI RAHSIA GADIS GENIUS

Prosa Tradisional

Raja Muda
Sinopsis

Cerita mengisahkan Raja Muda ditabalkan menjadi raja di Tanjung Bunga Kembang Sekaki dengan gelaran Sultan Muda Gempita Sakti apabila baginda berkahwin dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri. Namun begitu, Raja Muda telah pun mempunyai seorang isteri yang bernama Tuan Puteri Bidadari Segerba yang tinggal di kayangan. Setelahsekian lama berada di kayangan, Tuan Puteri Bidadari Segerba ingin turun ke bumi untuk berjumpa dengan suaminya, Raja Muda. Semasa hendak turun ke bumi, Tuan Puteri Bidadari Segerba telah diberitahu oleh kakandanya tentang persandingan Raja Muda dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri. Maka, dengan pantas Tuan Puteri Bidadari Segerba terus menuju ke sana.

Tiba di sana, Tuan Puteri Bidadari Segerba berjumpa dengan bonda Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri. Setelah mengetahui hal yang sebenar, Tuan Puteri Bidadari Segerba pun meminta maaf dan berkenal-kenalan. Sebagai tanda permuafakatan, Tuan Puteri Bidadari Segerba meminta Tuan Piteri Kuntum Ratna Suri sudi menerima bayi yang telah dikandungnya selama enam purnama itu. Lalu dengan takdirnya, kandungan itu telah pun berpindah kepada Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri setelah menyantap sepah sirih lebihan Tuan Puteri Bidadari Segerba itu.

Apabila tiba hari kelahiran Raja Muda telah memanggil Tuan Puteri Bidadari Segerba turun ke bumi. Tuan Puteri Bidadari Segerba sungguh sukacita apabila melihat bayi yang dilahirkan oleh Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri lalu memeluk dan mencium bayi itu. Selepas itu Tuan Puteri Bidadari Segerba pun pulang ke kayangan. Kelahiran anakanda baginda itu disambut dengan meriah oleh Raja Muda.



Hikayat Opu Daeng Menambun
Sinopsis

Cerita mengisahkan jurai keturunan Raja-raja Kalimantan. Bermula dengan Sang Raja Majapahit yang beranakkan Brawijaya. Brawijaya menjadi raja di Benua Lama dan mempunyai anak yang bernama Raja Baporang.

Jurai Raja-raja Kalimantan ini berkembang apabila dikahwinkan dengan anak-anak raja dari negeri lain. Keturunan Raja-raja Kalimantan ini merantau ke negeri-negeri lain. Mereka kemudiannya dikahwinkan dengan anak raja negeri tersebut. Ada juga yang menjadi raja di negeri persinggahan itu. Raden Sulaiman digelar Sultan Muhammad Saifuddin di negeri Sambas. Opu Daeng Chelak menaiki takhta menggantikan Opu Daeng Merewah yang meninggal dunia di Riau. Raden Bima ditittahkan ke Sukadana dan dikahwinkan dengan Puteri Indera Kesuma yang bersaudara dengan Sultan Muhammad Zainuddin.

Jurai-jurai ini berterusan sehinggalah kepada Opu Daeng Menambun. Opu Daeng Menambun merupakan Raja Bugis. Baginda berkahwin dengan Puteri Kesumba, anak kepada Sultan Muhammad Zainuddin.  Opu Daeng Manambun dan Puteri Kesumba dikurniakan sepuluh orang anak. Lima orang lelaki dan lima orang perempuan.



Hikayat Inderaputra
Sinopsis
Bab 1: Ramalan Nujum

Cerita bermula dengan asal usul Inderaputra. Diceritakan bahawa sebuah negeri bernama negeri Semanta Puri, rajanya bernama Raja Bikrama Buspa bersama dengan permaisurinya Tuan Puteri Jamjam Ratna Dewi. Raja Bikrama Buspa mempunyai kerajaan yang besar dan menerima ufti daripada raja-raja di bawah taklukannya.

Beberapa lama kemudiannya, isteri Maharaja Bikrama hamil dan melahirkan seorang bayi lelaki yang sangat elok paras rupanya. Baginda sangat suka hati lalu memanggil ahli nujum

Ahli nujum menyatakan bahawa anakandanya itu memangku kerajaan yang sangat besar selama tujuh tahun bersama-sama dengan baginda. Baginda juga dinasihati supaya tidak membenarkan anakandanya itu bermain dengan binatang kerana akan membawa bencana.

Baginda kemudiannya mengadakan majlis keramaian selama empat puluh hari dan empat puluh malam. Anakandanya itu turut dibawa mengelilingi negeri. Setelah besar panjang, anakandanya itu belajar mengaji dengan seorang mualim Bersapian sehingga pandai.


Bab 2: Peristiwa Merak Emas

Raja Bikrama Buspa bersemayam di hadapan segala raja dan rakyat jelatanya. Inderaputera duduk di ribaan baginda. Ketika itu datang dua orang utusan untuk menghantar ufti, iaitu pandai emas dan pandai kayu. Pandai kayu membuat seekor ikan yang cantik. Baginda meletakkan ikan tersebut ke dalam air lalu ikan tersebut tertawa, berpantun, dan berseloka. Pandai emas pula mempersembahkan merak emas. Baginda meletakkan merak emas tersebut ke dalam talam lalu merak itu mengigil dan berpantun. Inderaputera turun daripada ribaan ayahandanya untuk melihat merak emas tersebut. Merak emas itu menyambar Inderaputera lalu diterbangkan. Baginda melihat anakandanya hilang lalu menangis dan istana menjadi gempar.

Inderaputra dijatuhkan di suatu negeri, iaitu di kebun kepunyaan nenek kebayan. Nenek kebayan yang baru pulang dari berjualan bunga datang ke kebunnya. Dia menemui Inderaputra yang duduk di bawah pohon delimanya lalu dibawanya pulang dan dimandikan.

Nenek kebayan membawa Inderaputera bersama ketika menghantar bunga ke rumah Perdana Menteri. Perdana Menteri suka akan Inderaputera dan meminta izin mahu memeliharanya. Nenek kebayan bersetuju. Namun demikian, Perdana Menteri hanya akan menjaga Inderaputera pada sebelah siang manakala pada waktu malam Inderaputera dijaga oleh nenek kebayan.

Setelah beberapa lama, Inderaputera membesar menjadi orang yang bijaksana dan rupanya semakin tampan.



Hikayat Anggun Cik Tunggal
Sipnosis

Cerita mengisahkan Tuan Puteri Gondan Gandariah yang belayar di laut untuk bertemu dengan tunangnya, iaitu Raja Anggun Cik Tunggal. Dengan menyamar sebagai lelaki, Tua Puteri Gondan Gandariah belayar bersama-sama dengan Si Kembang Cina dengan menaiki lancang kuning yang bernama Seludang Mayang.

Kapal Raja Anggun Cik Tunggal sedang berlabuh. Bujang Selamat menghadap dan memberitahu baginda bahawa ada sebuah lancang kuning yang cantik sedang berlabuh berdekatan dengan Dendang Panjang. Raja Anggun Cik Tunggal menitahkan Bujang Selamat supaya memeriksa lancang kuning itu. Bujang Selamat bertanya kepada orang di atas lancang kuning itu. Lalu dijawab oleh Si Kembang Cina bahawa mereka ingin membandingkan kecantikan Seludang Mayang dengan Dendang Panjang.

Raja Anggun Cik Tunggal amat murka apabila diberitahu tentang khabar itu. Raja Anggun Cik Tunggal memerintahkan orang-orangnya menyediakan peralatan perang. Bujang Selamat diarahkan memasang meriam Gerak Gempa dan pelurunya jatuh tidak jauh dari lancang kuning itu. Tuan Puteri Gondan Gandariah pula mengarahkan Si Kembang Cina supaya memasang meriam Sapu Rantau dan pelurunya juga jatuh tidak jauh dari Dendang Panjang. Berlaku tembak-menembak antara kedua-duanya.

Raja Anggun Cik Tunggal bertambah murka lalu membalas bedilan Tuan Puteri. Bedilan itu terkena cincin permata Tuan Puteri lalu tercampak ke laut.
Tuan Puteri membalas bedilan itu lalu terkena hujung tengkolok baginda dan jatuh ke laut. Raja Anggun Cik Tunggal bertambah murka dan mengisi istinggarnya dengan peluru sakti. Tuan Puteri segera menyalin pakaiannya lalu terserlah kecantikannya. Baginda berasa malu dan lari ke peraduannya lalu menyelubungkan dirinya. Apabila melihat baginda berkelakuan begitu, Tuan Puteri Gondan Gandariah bertitah kepada Bujang Selamat bahawa baginda tidak membawa niat jahat. Baginda berpantun dalam nada yang merajuk.

Bujang Selamat memberitahu Raja Anggun Cik Tunggal bahawa Tuan Puteri merajuk. Baginda segera memujuk Tuan Puteri Gondan Gandariah supaya tidak meragui kasih sayangnya. Apabila mendengar pujukan itu, hati Tuan Puteri kembali lembut dan baginda memberikan dua belas duit kepada Raja Anggun Cik Tunggal dengan cara kesaktian. Tuan Puteri menyuruh Raja Anggun Cik Tunggal supaya membelikannya kerancang yang berukir kerawang, pisau yang berhulu mayang, beruk yang pandai berkecapi, musang yang pandai bergendang, dan nuri yang bijak. Raja Anggun Cik Tunggal pula memberikan sebiji kapas untuk dibuat persalinan.

Setelah itu, Seludang Mayang dan Dendang Panjang belayar mengikut haluan masing-masing. Seludang Mayang kembali ke negeri Tiku Benua. Tuan Puteri Gondan Gandariah menceritakan segala yang berlaku dari awal hingga akhir kepada ayahanda dan bondanya.



CERPEN

Anak Penggunting Rambut.
Sinopsis
Cerita berkisar pada watak "aku" yang melamun panjang teringat akan anaknya Manisah (Manis) yang kini sudahpun dewasa. "Aku" teringat akan gelagat Manis semasa kecil dahulu. Pekerjaan "aku" sebagai penggunting rambut menjadikan "aku" penggunting rambut Manis. Rambut Manis dipotong pendek seperti rambut anak lelaki. "Aku" masih ingat semasa Manis baru memasuki tadika, Manis pernah menangis lantaran diejek hanya kerana dia anak penggunting rambut. Semuanya kerana dia masih kecil dan tidak mmahami erti kehidupan.

Ketika itu, "aku" sentiasa mencuba menyakinkan Manis bahawa kerja sampingan sebagai penggunting rambut itu sumber rezeki tambahan mereka. Aku pula selalu memotong rambut Manis pendek dan hal ini tidak disenangi oleh Manis. Namun, Manis mula menyukai rambutnya yang pendek setelah menang dalam acara membawa bakul kacang di atas kepala semasa sukan di tadikanya.

"Aku" terasa bahawa semakin hari Manis semakin selesa berambut pendek. "Aku" teringat akan perwatakan Manis yang nakal semasa kecil. "Aku" merasakan bahawa Manis telah memahami pekerjaan "aku" sebagai penggunting rambut. Malah, Manis berbangga terhadap pekerjaan "aku". Manis juga rajin membantu menyediakan kelengkapan untuk menggunting rambut. Dia turut membantu menyapu rambut yang bertaburan di tanah. Apabila berada di sekolah menengah, Manis turut mengekalkan rambut pendeknya. Setiap kali pulang bercuti dari asrama. pasti Manis akan meminta "aku" memotong rambutnya mengikut potongan yang terkini.

Namun, "aku" berasa sedih kerana sejak melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur, Manis jarang-jarang balik. "Aku" amat merindui Manis. "Sudah lapan bulan "aku" tidak menggunting rambut Manis. Lamunan panjang "aku" hari tiu tiba-tiba terhenti apabila mendapat panggilan daripada kawan Manis. "Aku" diberitahu bahawa Manis menghidap leukemia dan kini terlantar di hospital.

Manis akhirnya menghembuskan nafas terakhir di ribaan "aku". "Aku" menyatakan bahawa dia tidak akan meneruskan pekerjaannya itu lagi kerana pasti dia akan terkenangkan Manis apabila menggunting rambut.


Capa Rengat
Sinopsis

Watak "aku" bercerita tentang dirinya yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke kampung. Sebelum ini ibunya sering menakut-nakutkan dengan mengatakan bahawa kampung itu sebagai suatu tempat yang sunyi dan dikaitkan dengan penderitaan. Pada mulanya "aku" memang berasa sunyi apabila berada di kampung. Namun, lama-kelamaan apabila "aku" melihat keindahan di sekitar kampung, "aku" merasakan suatu cabaran yang menarik pula. Tambahan pula, Pak Cik Kinto rajin melayan semua pertanyaan dan mengajak berjalan-jalan.

Pada suatu hari, "aku" berjalan-jalan sendirian kerana Pak Cik Kinto ke kota atas suatu urusan. "Aku" berjumpa dengan kumpulan budak-budak sedang bermain-main. Seorang budak perempuan bernama Su mengajak "aku" turut bermain-main. Pada mulanya "aku" berasa malu untuk bermain bersama-sama mereka. Namun, budak-budak yang bermain-main itu bersikap mesra terhadapnya. Dia merasakan perbezaan yang ketara antara sikap mereka dengan sikap kawan-kawannya di kota.

"Aku" lepas bebas bermain. Pelbagai jenis permainan yang dapat disertai. Dalam kalangan budak-budak itu, "aku" paling gembira bermain-main dengan Su. "Aku" dihadiahkan sejambak bunga capa rengat oleh Su. Supaya bunga itu tahan lama, Su berpesan kepada "aku" agar bunga itu dimasukkan ke dalam botol  berisi air dan direnjis-renjis dengan air. Ketika mereka sedang bermain-main, seorang budak lelaki datang memanggil Su pulang. Rupa-rupanya budak itu ialah adik tiri Su.

Ibu "aku" memendekkan masa berada di kampung. "Aku" berasa sedih untuk meninggalkan kampung. Ketika dalam perjalanan pulang ke kota, "aku" diserang rasa pilu. "Aku" bertanya kepada ibu bila mereka akan pulang ke kampung lagi. Ibu memberitahu "aku" bahawa mereka tidak akan pulang ke kampung lagi kerana rumah dan tanah yang ada di kampung sudah diserahkan kepada Pak Cik Kinto. "Aku" menjadi terlalu sedih dan apabila "aku" melihat capa rengat, tiba-tiba "aku" teringat akan Su.


Dendam
Sinopsis

Along tidak menyukai adiknya, Angah. Dia berdendam terhadap adiknya itu. Barang-barang miliknya selalu dirosakkan oleh Angah. Selain itu, Along juga marah kepada Angah kerana dia selalu dimarahi ibu dan ayahnya atas kesalahan yang dilakukan oleh Angah. Along tidak mengambil kira bahawa Angah jauh lebih muda daripadanya.

Apabila kertas kerja milik ayah mereka dikoyakkan oleh Angah, Along juga yang dipersalahkan. Menurut ayahnya, Along mesti menjaga Angah. Oleh sebab Along sering dipersalahkan, maka Along memberontak. Along berasa kesal kerana ayah dan ibunya selalu menyebelahi Angah. Hal ini demikian kerana mereka mempercayai tilikan bidan sewaktu Angah dilahirkan yang mengatakan bahawa Angah ialah anak bertuah.

Pada suatu hari, Angah memasuki bilik Along kerana mahu meminta maaf. Angah menyatakan rasa kasihnya kepada Along, tetapi Along menolaknya. Perasaan dendam telah menguasai pemikiran Along sehingga terkikisnya perasaan kasih sayang adik-beradik.

Pada suatu hari, rantai mutiara milik ibu mereka putus. Apabila ditanya, Along tidak mengaku bahawa dia yang melakukannya. Oleh sebab itu, Angah yang dituduh. Lantaran tiada orang lain yang mungkin melakukan kesalahan itu, maka ayah mereka menghukum Angah. Angah dipukul dengan kuatnya. Angah menangis.

Along berasa kasihan dan simpati terhadap Angah. Dia menemui Angah. Sebenarnya Along yang melakukan perbuatan itu, tetapi dia mahu mengenakan Angah kerana rasa dendamnya itu. Apabila dihukum dengan beratnya, mucul perasaan simpati yang kemudiannya mengakrabkan hubungan kedua-dua orang adik-beradik itu.


Maaf Kupinta
Sinopsis

Fauzi yang tinggal di asrama bersiap-siap untuk pulang ke kampung. Dia membayangkan suatu rancangan yang akan dilakukannya ketika berada di kampung nanti. Dia perlu melaksanakan rancangannya itu.

Fauzi berada di asrama bukanlah kerana dia cemerlang dalam pelajaran, atau kerana dia anak daripada keluarga miskin. Alasan dia berada di asrama adalah kerana dia berada dalam keadaan tertekan semasa berada di rumah.

Fauzi menganggap bapa tirinya bertindak tidak adil terhadapnya. Bapa tirinya mengawalnya secara terlalu keras. Fauzi merasakan bahawa bapa tirinya tidak sayang kepadanya. Dia membenci bapa tirinya. Pernah berlaku suatu peristiwa yang menyebabkan dahinya benjol. Fauzi bercerita kepada ibu dan neneknya bahawa bapa tirinya yang bertindak kasar sehingga dia cedera sedimikian.

Hasil bantuan Cikgu Zainudin, dia berjaya diterima bersekolah di sekolah berasrama di bandar.  Semasa di asrama, ibu dan bapa tirinya selalu mengunjunginya. Keadaan ini menyebabkannya berasa insaf. Tambahan pula, dia mendapat kawan sebilik, Syahir tidak pernah dikunjungi oleh bapa kandung sendiri. Syahir mengatakan kepadanya bahawa dia beruntung. Selain Syahir, Fauzi juga terkesan dengan nasihat yang diberikan oleh guru Pendidikan Islamnya. Kata guru itu, kita mestilah menghargai kebaikkan budi seseorang.

Fauzi berasa tidak sabar untuk pulang. Apabila dia sampai di kampungnya, dia disambut dengan baik oleh keluarganya termasuk bapa tirinya. Fauzi mula merasa kasih sayang bapa tirinya kepadanya. Dia menyesal atas sikpnya yang lepas, lalu bercerita bahawa benjol di dahinya dulu bukanlah kerana perbuatan bapa tirinya. Dia sendiri yang merempuh tiang kerana takut kepada bapa tirinya. Dia meminta maaf kepada bapa tirinya.

Rancangan yang hendak dilaksanakannya ialah membantu keluarganya ke sawah. Jika bapa tirinyaa turun ke laut, dia akan turut ke laut. Dia juga akan membantu adik-adiknya jika mereka memerlukan bantuan dalam hal pelajaran. Fauzi ingin berbakti.


Gema Sepi Gadis Genius
Sinopsis

Fikiran Basirah kian kusut. Dia berdepan dengan masalah "busut" dalam sistem komputer di Makmal Perdana, tempat dia sedang menjalani latihan praktikalnya. Dalam kekusutan fikirannya itu, Basiran terkenang akan kakaknya, Hanani. Basirah mengalami masalah egoisme sebagai seorang kanak-kanak genius. Basirah berasa tidak senang apabila Hanani mengeluh apabila melihat dirinya pergi bekerja pada hari minggu. Basirah menganggap Hanani tidak memahami dirinya. Namun pada waktu yang sama, dia teringin hendak menjadi seperti Hanani yang banyak mempunyai kawan dan bergembira dengan pelbagai rutin harian.

Namun demikian, Basirah tidak boleh berbuat seperti Hanani kerana gadis genius mesti sentiasa kelihatan serius seperti orang dewasa. Tambahan pula, dia sering menjadi perhatian. Bagaimanapun, kadangkala Basirah teringin juga mengisi masa terluang dengan mencari maklumat tentang cara-cara untuk menjalinkan persahabatan. Namun, usahanya itu tidak sampai ke mana kerana dia sentiasa sibuk belajar dan bekerja serta memerah otak. Basirah tiba-tiba terkenang akan hari pertama dia bekerja menjalani latihan praktikalnya semasa berusia 13 tahun. Namun sepantas itu pula perhatiannya kembali kepada masalah "busut" yang dilonggokkan oleh pengurusnya tadi. Memang terdapat paparan data yang mencurigakan dan terlalu rumit untuk ditafsirkan. Namun, Basiran optimis. Dia tidak mudah mengaku kalah. Dia berusaha untuk mengesan penceroboh sistem komputer itu

Tiba-tiba Basirah teringat lagi akan "busut" yang lain itu. "Busut" yang bermula daripada sebesar sebutir padi, kemudian melanda saluran-saluran darah di payu dara ibunya. Akhirnya ibunya tewas dan kembali ke ramahtullah. Lamunan Basirah terhenti apabila beberapa orang remaja berusia lingkungan 12 - 15 tahun hadir di makmalnya. Salah seorang daripada remaja itu ialah kakaknya, Hanani yang datang untuk meraikan hari jadi Basirah yang ke-14. Mereka turut membawa sebiji kek.

Semua remaja yang hadir menghulurkan bantuan kepada Basirah. Ada antara mereka yang mempunyai saudara, kawan, atau peminat "surat elektronik" di luar negara. Basirah terharu. Alat osiloskop dipasang. Panggilan kepada "kawan elektronik" dibuat dan balasan e-mel dari luar negara di seluruh dunia diterima. Basirah turut kagum akan cadangan Hanani. Basirah sedar bahawa tidak semua orang pakar dalam semua subjek. Akhirnya, maklumat tentang penangkapan si penceroboh itu mulai tersebar dalam internet.


Warkah daripada Ibu
Sinopsis

Mira menerima kiriman surat daripada ibunya. Isi kandungan surat itu membuatkan dia menangis. Isi kandungan surat itu telah menjawab segala persoalan dan pertanyaan Mira selama ini. Mira teringat kembali akan peristiwa pada suatu hari setahun yang lalu. Ibunya memberitahunya bahawa dia dan adik-adiknya akan tinggal di kampung bersama dengan datuk dan neneknya. Mira tidak bersetuju dengan keputusan ibunya itu. Mira mengatakan bahawa tindakannya itu adalah untuk kebaikan Mira dan adik-adiknya. Mira menuduh ibunya tidak berasa menyayanginya dan adik-adiknya lagi.

Adik-adik Mira tidak berasa sedih kerana mereka belum tahu akan erti perpisahan. Melihat gelagat Mira yang dalam kesedihan itu, nenek mengajak Mira menemaninya untuk pergi ke kedai. Menurut  nenek, di kedai itu nanti Mira akan dapat berkenalan dengan banyak teman sebaya. Nenek menyuruh Mira memakai tudung semasa hendak keluar pergi ke kedai, kerana menurut nenek, semua anak gadis di kampung itu memakai tudung. Di kedai, nenek memperkenalkan Mira dengan Suzana, anak Pak Imam Dolah. Sejak hari itu, Mira telah banyak mengenali rakan sebaya dengannya. Rakan-rakan sekolahnya tekun belajar dan mengulang kaji pelajaran. Udara di kampung begitu menyegarkan dan bebas daripada pencemaran udara dan bunyi.

Melalui surat itu, ibu memperjelaskan keadaan sebenar akan sebab Mira dan adik-adiknya dihantar ke kampung untuk tinggal bersama dengan datuk dan neneknya. Antaranya, faktor gejala sosial yang hebat melanda masyarakat kota. Inilah yang menghantui dan menakutkan ibunya. Pengaruh rakan-rakan sebaya dalam pergaulan seharian, dan suasana persekitaran adalah antara sebab gejala sosial ini berlaku. Di kampung, corak pergaulan negatif seperti ini belum berlaku. Di kampung, Mira akan mengerti makna kesusahan dan bersyukur dengan apa yang ada. Keadaan ini akan menyebabkan Mira dapat merasai belas dan simpati terhadap orang yang susah. Semua ini akan membuatkan jiwa Mira kuat dan tabah untuk menghadapi apa-apa jua dugaan Allah.

Setelah setahun Mira berada di kampung, ibu Mira berbangga kerana Mira telah menunjukkan prestasi yang baik. Apa yang dihasratkan oleh ibu terhadap Mira telah menjadi kenyataan, iaitu Mira telah hampir tamat mengaji Al-Quran, menunaikan solat lima waktu, sopan dalam pergaulan, dan mencapai keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.

Setelah selesai membaca surat itu untuk kali keduanya, baru Mira faham akan apa yang tersirat selama ini di balik tindakan ibunya menghantar dia dan adik-adiknya tinggal bersama dengan datuk dan neneknya di kampung.


Drama
Hemodialisis
Sinopsis
Abah sakit perut. Bukan sakit perut biasa. Sakitnya serius. Mama hendak memanggil Afif untuk memeriksa Abah. Abah tidak bersetuju. Abah tidak mahu menyusahkan Afif yang sedang sibuk merawat para pesakit di kliniknya itu. Abah tidak mahu dikata orang bahawa Abah seorang bapa yang mementingkan diri.

Mama menjawab telefon daripada Fatin Atiqah. Semasa Mama kembali mendapatkan Abah, Mama mendapati Abah sudah pengsan. Mama menyangka Abah bergurau. Mama berasa cemas lalu menelefon Afif yang sedang bertugas di kliniknya.

Semasa Afif sampai di rumah, Abah telah pun kembali sedar. Afif memeriksa Abah. Afif hendak membawa Abah ke klinik, namun Abah tidak mahu pergi. Abah mengatakan bahawa para pesakit di klinik lebih memerlukan khidmat Afif. Afif bertegas hendak membawa Abah ke klinik. Abah juga bertegas tidak mahu pergi. Abah dan Afif saling berhujah untuk mempertahankan pendirian masing-masing. Berlaku suatu konflik kata-kata antara dua beranak itu. Afif terpaksa memanggil Doktor Leong, salah seorang doktor yang berkhidmat di kliniknya untuk membantunya menyakinkan Abah. Namun, Abah tetap juga berdegil tidak mahu pergi. Akhirnya Abah dipaksa menaiki kerusi roda lalu dibawa ke klinik.

Setelah dirawat di klinik, Abah dibawa pulang ke rumah bersama dengan alat hemodialisis. Semasa Afif hendak pergi ke klinik untuk meneruskan tugasnya, Abah menyuruh Afif menunggunya sekejap. Suatu perdebatan ringkas berlaku lagi antara anak dengan bapa itu. Sesudah itu, Afif  pulang ke kliniknya semula.

Beberapa hari kemudian, Fatin Atiqah, anak bongsu Abah pulang ke rumah setelah tamat pengajiannya. Dia pulang bersama dengan teman lelakinya, Saufi. Fatin Atiqah terkejut  melihat keadaan Abah. Saufi cuba menenteramkan Fatin Atiqah. Abah sangat gembira mendengar berita kecemerlangan Fatin Atiqah dalam akademiknya.

Abah mendepangkan tangannya meminta dipeluk oleh Fatin Atiqah. Semasa mereka berpelukan itu, Abah rebah dan menyebabkan sambungan mesin hemodialisisnya terputus. Keadaan menjadi kelam-kabut seketika kerana mereka tidak tahu bagaimana hendak menyambungkan saluran darah ke mesin hemodialisis yang terputus itu semula. Akhirnya, Doktor Afif tiba di rumah lalu menyambungkan saluran alat hemodialisis itu ke tubuh Abah semula.


Inflakasta
Sinopsis
Peperangan sedang berlaku. Bangunan dan alam sekitar musnah. Muncul Dibisi dalam keadaan yang sangat lemah dengan pakaiannya yang carik-carik. Marhen pula muncul dalam keadaan yang sangat kotor serta berwajah bengis dengan jambang yang tidak terurus. Mereka terjumpa sebuah kotak  makanan lalu bergelut untuk memiliki kotak itu sehingga kotak itu terputus dua. Mereka hampa kerana tidak ada makanan di dalam kotak itu. Peperangan menjadikan mereka orang yang lapar.

Mereka saling berkenalan. Dibisi merupakan orang penting dalam pemerintahan. Hidupnya sebelum ini mewah. Marhen pula merupakan petani yang hidup senang. Dia seorang yang pemurah. Namun, nasib Dibisi dan Marhen sekarang sama, iaitu menjadi manusia yang lapar. Kerana kelaparan, mereka pun tertidur.

Muncul pula Siti dengan wajah yang sugul. Dia memanggil-manggil nama "Inflakasta". Kehadiran Siti mengejutkan Dibisi dan dan Marhen daripada tidur. Mereka menghampiri Siti. Siti menuduh Dibisi dan Marhen sebagai orang yang zalim, pembunuh, dan menyebab berlakunya peperangan.

Tiba-tiba terdengar suara dari pelaung suara yang mengarahkan mereka agar jangan lari kerana mereka telah dikepung. Muncul Kastabung, ketua kumpulan tentera yang berkuasa di situ. Kastabung menuduh mereka bertiga sebagai perisik pihak musuh. Marhen hendak menyerang Kastabung. Kastabung segera memanggil pembantunya, Taliba yang memiliki senjata "kuasa bahaya" yang dapat memusnahkan setiap benda. Dibisi memberitahu Kastabung bahawa mereka ialah pelarian mangsa peperangan, namun Kastabung tetap tidak mempercayai mereka.

Marhen bertumbuk dengan Kastabung. Taliba dan Siti turut masuk campur. Pergaduhan terhenti apabila muncul Jakidan yang membawa berita buruk tentang kerajaan mereka. Kastabung tidak peduli akan berita yang dibawa oleh Jakidan, malah dia tetap akan meneruskan cita-citanya untuk membina Empayar Kastabung. Dibisi dan Siti menasihati Kastabung tetapi tidak diendahkannya.

Dibisi dan Marhen berselisih pendapat lalu terjadi pergelutan antara kedua-duanya. Siti merampas senjata "kuasa bahaya" daripada Taliba dan menyuruh Kastabung mengarahkan orang-orangnya supaya meninggalkan tempat itu. Kastabung akur. Tiba-tiba, Siti rebah kerana ditembak dengan cahaya laser. Marhen menyambar senjata "kuasa bahaya" dan menuduh Kastabung menipu. Setelah memapah Siti dan meletakkan Siti di tepi batu, Dibisi menyerang Kastabung, Jakidan, dan Taliba. Dibisi juga maut terkena cahaya laser. Marhen yang geram membocorkan peluru senjata "kuasa bahaya" menyebabkan semuanya musnah menyembah bumi.

Muncul dua orang kanak-kanak, Infla dan Kasta membawa bungkusan makanan untuk ibu mereka. Siti menyedari kehadiran anak-anaknya. Siti menyampaikan pesanan terakhir kepada anak-anaknya sebelum dia meninggal dunia.


Di Sini Bakti Bersemadi
Sinopsis
Tini seorang gadis yang berkelulusan diploma baru sahaja tamat pengajiannya. Dia pergi ke tempat ternakan ayam milik Amin, rakannya di kampungnya. Tini hendak meninjau bagaimana Amin menjalankan perusahannya. Tini berhasrat hendak mengikuti jejak Amin, iaitu bekerja sendiri. Berkat kesabaran dan ketekunannya, Amin telah berjaya. Tini tertarik oleh sikap dan semangat Amin.

Hasrat Tini hendak menjalankan perusahaan sendiri tidak dipersetujui oleh ayahnya. Namun, Tini tetap bertegas dan menyakinkan ayahnya akan kemampuannya. Akhirnya ayah Tini akur.

Kamal, tunang Tini agak marah apabila mendapat tahu bahawa Tini mahu bekerja sendiri. Kamal berkata bahawa Tini telah membuat kesilapan dengan memilih untuk bekerja sendiri. Namun, Tini tetap dengan pendiriannya.

Amin melawat kilang perusahaan kraf tangan Tini. Amin menyarankan supaya Tini memperluas perusahaan. Kamal pergi ke rumah Tini tetapi Tini berada di kilang. Masa Tini lebih tertumpu pada kilang dan orang kampung. Hal ini tidak menyenangkan ayah Tini dan juga tunangnya itu. Kamal memberikan cadangan kepada ayah Tini untuk mempercepatkan hari perkahwinan mereka. Ayah Tini bersetuju dan memberitahu  Tini tentang hasrat Kamal itu. Namun, Tini belum bersedia kerana dia hendak membangunkan perusahaannya lebih dahulu sehingga berjaya.

Di tempat ternakan ayam, Amin bergaduh dengan Malek. Amin mahu membawa Malek ke balai polis kerana telah  mencuri ayam-ayamnya. Amin bertemu dengan ayah Tini di jalanan. Ayah Tini memuji Amin yang telah berjaya dalam perusahaannya. Kegigihan Amin patut dicontohi oleh anak muda di kampungnya.

Kamal telah membebaskan Malek daripada tahanan polis. Kamal telah merancang sesuatu. Pada suatu malam semasa Amin pergi memeriksa ayam-ayamnya, dia telah dipukul. Mesin di kilang kraf tangan Tina juga telah dirosakkan. Ayah Tini menyiasat orang mensabotaj ternakan ayam Amin dan kilang kraf tangan Tini. Hasil siasatannya, ayah Tini mendapati bahawa orang yang melakukan perbuatan itu ialah Malek manakala orang yang merancangnya ialah Kamal. Tini bersemuka dengan Kamal. Kamal menyesali perbuatannya, tetapi telah terlambat. Tini telah memutuskan pertunangannya dengan Kamal.



SAJAK
Persahabatan

Rangkap 1
Kanak-kanak Melayu yang berpakaian baju kurung sedang bermain dengan gembira.

Rangkap 2
Kanak-kanak Cina yang memakai ceongsam datang dan menyapa kanak-kanak Melayu sambil tersenyum lalu bermain kejar-kejar.

Rangkap 3
Kanak-kanak India yang memakai sari ingin bermain bersama apabila melihat telatah kedua-dua orang kanak-kanak itu.

Rangkap 4
Mereka tidak merasakan ada perbezaan kerana bagi mereka yang penting ialah keseronokan bermain bersama-sama. Yang inilah gambaran perpaduan rakyat Malaysia. Jati diri rakyat Malaysia amat bergantung pada persefahaman, walaupun ada perbezaan.



Hari Guru
Rangkap 1
Pada Hari Guru, seorang pasti akan teringat akan jasa guru, iaitu golongan yang memikul amanah mendidik anak bangsa. Bakti guru ialah harapan semua orang.

Rangkap 2
Di samping  itu, pada Hari Guru, para guru sendiri pasti berfikir tentang sumbangan mereka. Sama ada mereka telag menaburkan bakti dengan penuh semangat atau mereka gagal melakukannya kerana halangan tertentu.

Rangkap 3
Hari Guru merupakan hari penghormatan kepada semua guru.



Burung-burung Pagi
Rangkap 1
Sejak awal pagi, burung-burung sudah berada di halaman rumah penyajak dan bunyi burung-burung itu menyebabkan penyajak terjaga daripada tidur.

Rangkap 2
Apabila penyajak bangun, dia terus teringat akan kerjanya.

Rangkap 3
Burung-burung makan apa sahaja yang boleh dimakan. Pada fikiran penyajak, kota ini tidak sesuai bagi burung.

Rangkap 4
Namun, apabila diperhatikan betul-betul, burung yakin untuk terus hidup dengan caranya.



Ketenangan
Rangkap 1
Penyajak berusaha mencari ketenangan, tetapi pada permulaannya dia gagal. Ketika itu dia kecewa dan bersedih.

Rangkap 2
Kemudian penyajak menemui ketenangan.

Rangkap 3
Penyajak mulai sedar bahawa ketenangan bukannya bertitik tolak daripada kehidupan yang senang, kaya, dan mewah.

Rangkap 4
Ketenangan sebenarnya akan berada dalam jiwa jika seseorang itu beriman, iaitu sentiasa mendekati Allah.



Sajak Laut
Rangkap 1
Penyajak menggambarkan keadaan laut yang biru, luas, dan indah.

Rangkap 2
Penyajak berasa bahagia dan tenang apabila memerhatikan laut. Laut yang luas membayangkan kekayaan.

Rangkap 3
Penyajak melihat pasir yang berwarna putih dan kerang. Ombak terkena pada kakinya. Angin pantai pula mengenai tubuhnya.

Rangkap 4
Penyajak juga memerhatikan nelayan yang mencari rezeki di laut untuk keluarga mereka.

Rangkap 5
Burung-burung terbang dan bernyanyi gembira seiring dengan bunyi ombak.

Rangkap 6
Penyajak melihat matahari yang hanya kelihatan separuh tetapi masih memberikan sinarnya.

Rangkap 7
Penyajak merasakan bahawa laut dan dirinya amat akrab bagaikan bersaudara.



Warkah Kepada Generasi
Rangkap 1
Penyajak mengatakan bahawa generasi kini ialah golongan yang bertuah kerana hidup dalam negara yang bermaruah pada alaf baru.

Rangkap 2
Keadaan ini merupakan hasil perjuangan generasi yang terdahulu, iaitu nenek moyang yang telah banyak berjuang membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

Rangkap 3
Penyajak berpesan agar rakyat generasi kini tidak melupakan sejarah.


Sumber: Kupasan dan Kajian 2011-Antologi Gema Sepi Gadis Genius dan Novel Lestari Bukit Menghijau Oleh Sharif Shaary, Rahman Shaari dan M. Rosli Saludin