16 Jan 2012

Mencari Nafas Baru

Cerpen Nafas Baru Tg3 PDF Cetak
Nota
Ditulis oleh Cikgu Zainudin   
Rabu, 30 November 2011 18:35
Mencari Nafas Baru
(Ayusari MJ)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum

Sinopsis

                 Cerpen ini mengisahkan Ana yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan  Kampung Chat, Hulu Pahang. Ana dan semua guru gigih berusaha menaikkan nama sekolah. Ana mula gelisah apabila anak murid kesayangannya Milah tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut. Ana terus ke rumah Milah untuk menziarahinya. Dia mendapati  Milah sakit dan dalam keadaan yang lemah. Ana membawa Milah ke hospital dan doktor mengesahkan Milah  menghidap penyakit leukemia jenis limfoblastik (ALL). Ana sedih kerana Milah meninggal dunia akibat penyakit tersebut sebelum sempat menerima sumsum tulang daripadanya. Peristiwa sedih itu menyebabkan  Ana memohon ditukarkan kembali ke tempat  kelahirannya.

Tema

Cerpen ini bertemakan pengorbanan seorang guru.
Ana sanggup mengajar di sebuah sekolah di pedalaman Pahang. Dia bersama-sama guru di situ berusaha keras menaikkan prestasi sekolah. Dia juga berhasrat untuk mendermakan sumsum tulang kepada muridnya Milah yang menghidap leukemia. Malangnya, Milah meninggal dunia  sebelum sempat menerima sumsum tulang  Ana.

Persoalan

i.        Kegigihan guru-guru untuk menaikkan prestasi sekolah.
Contoh: Guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Chat bekerja keras menaikkan prestasi sekolah dalam bidang akademik dan kokurikulum.

ii.        Pengorbanan guru terhadap murid.
Contoh: Ana sanggup berkorban dengan mendermakan sumsum tulang kepada Milah.

iii.        Kasih sayang guru terhadap murid.
Contoh:  Ana menyayangi Milah seperti adik sendiri.

iv.        Suka duka guru yang mengajar di pedalaman.
Contoh: Ana gembira mengajar di pedalaman Pahang namun dia amat sedih apabila anak murid kesayangannya meninggal dunia sebelum sempat menerima sumsum tulangnya.

v.        Kepentingan perubatan moden.
Contoh: Ana membawa Milah ke hospital untuk mendapatkan rawatan setelah dia tidak sembuh dengan cara perubatan tradisional.

Plot

i.        Permulaan
Pembaca diperkenalkan dengan watak Ana yang mengambil keputusan untuk bertukar sekolah selepas kematian Milah. Milah merupakan anak murid kesayangannya yang meninggal dunia kerana menghidap penyakit leukemia.

ii.        Perkembangan
Pada bahagian ini, Ana mengimbas kembali saat-saat dia dihantar bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Chat, Pahang dan perkenalannya dengan Milah. Ana menganggap  Milah  seperti adiknya sendiri.

iii.        Puncak
Milah meninggal dunia sebelum sempat menerima sumsum tulang Ana.

iv.        Peleraian
Ana reda dengan ketentuan Ilahi dan mengambil  keputusan untuk  bertukar ke tempat kelahirannya.


Teknik Plot

i.        Pemerian
Contoh: Pada permulaan cerita, pengarang memerihalkan watak dan perwatakan Milah yang menarik hati Ana.

ii.        Dialog
Contoh: Perbualan antara Ana dengan emak Milah tentang ketidakhadiran Milah ke sekolah selama tiga hari.

iii.        Imbas Kembali
Contoh: Ana teringat detik-detik yang begitu mendebarkan apabila dia ditugaskan untuk mengajar di Kampung Chat, Hulu Pahang

iv.        Kejutan
Contoh: Doktor Izah mengesahkan bahawa Milah menghidap penyakit leukemia jenis limfoblastik (ALL).

Watak dan Perwatakan

Watak Utama
 Ana
i.        Seorang guru lulusan universiti pendidikan tempatan.

ii.        Berkhidmat di Sekolah Kampung Chat, Hulu Pahang

iii.        Gigih melaksanakan tugas.
Contoh: Setiap pagi Sabtu, Ana mengadakan kelas tambahan untuk pelajar- pelajarnya  sebagai persediaan untuk menghadapi PMR.

iv.        Sanggup berkorban terhadap anak didiknya.
Contoh: Ana bertekad untuk mendermakan sumsum tulang kepada Milah yang menghidap penyakit leukemia.
v.        Penyayang.
Contoh:  Ana menyayangi Milah dan menganggapnya seperti adiknya sendiri.

vi.        Prihatin.
Contoh: Ana pergi ke rumah Milah setelah mendapat tahu Milah sakit.

Watak Sampingan
Milah
i.        Murid kepada Ana.

ii.        Pelajar tingkatan 1.

iii.        Anak sulung daripada enam orang adik-beradik.

iv.        Ibunya berniaga secara kecil-kecilan manakala ayahnya sebagai penangkap ikan.

v.        Seorang pelajar yang rajin dan aktif dalam sukan.
Contoh: setiap petang Milah ke sekolah menyertai aktiviti kokurikulum.

vi.        Menghidap penyakit leukemia.

vii.        Menerima rawatan kemoterapi untuk mengubati penyakitnya.

viii.        Meninggal dunia sebelum sempat menerima sumsum tulang daripada Ana.


Latar
Latar Masa
i.        Pagi Sabtu
Contoh: Ana seperti biasa mengadakan kelas tambahan untuk pelajar- pelajarnya sebagai persediaan untuk menghadapi PMR.


ii.        Waktu petang
Contoh: Aktiviti kokurikulum diadakan pada waktu petang dan selepas itu Ana melawat Milah.

iii.         Hari Jumaat.
Contoh: Hari Jumaat merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh Ana untuk melawat Milah di Hospital Daerah Kuala Lipis.

iv.        Tempoh tiga bulan.
Contoh: Dalam tempoh tiga bulan Ana telah bergaul mesra dengan masyarakat di Kampung Chat.

Latar  Tempat
i.        Kampung Chat, Hulu Pahang
Contoh: Kampung tempat Ana ditugaskan.

ii.        Sekolah Kebangsaan Kampung Chat
Contoh: Sekolah pertama tempat Ana mengajar.

iii.        Kampung Lenjun
Contoh: Tempat tinggal keluarga Milah yang terletak kira-kira dua kilometer dari sekolah.

iv.        Hospital Daerah, Kuala Lipis
Contoh: Tempat Milah mendapat rawatan penyakitnya.

Latar Masyarakat
i.        Masyarakat  guru yang prihatin terhadap anak muridnya.
Contoh:  Ana mengambil berat terhadap Milah yang tiga hari tidak hadir ke sekolah.

ii.        Masyarakat pendidik yang gigih berusaha dalam bidang akademik  dan kokurikulum.
Contoh:  Ana gigih mengajar dan sering mengadakan kelas tambahan yang diikuti dengan tekun oleh murid-muridnya.
iii.        Masyarakat kampung di pedalaman.
Contoh:  Masyarakat kampung yang bekerja sebagai nelayan.

iv.        Masyarakat yang tabah menghadapi takdir Tuhan.
Contoh:   Ayah Milah dan Ana tabah dan reda dengan ketentuan Ilahi bahawa Milah meninggal dunia akibat leukemia.

v.        Masyarakat guru yang mencintai profesion keguruan.
Contoh: Ana berazam dan sanggup mencurah baktinya di sekolah yang jauh di pedalaman.

 Gaya Bahasa

i.        Personifikasi
Contoh: Tambahan pula, dengan keindahan hutan dara yang menghijau disulami nyanyian unggas dan percikan air jeram semasa menyusuri Sungai Kuah benar-benar menggamit Ana untuk kembali ke kampung itu suatu hari nanti sebagai tenaga pengajar.

ii.        Sinkope
Contoh: “Belum . Ayah Milah dah cari air penawar, tetapi tak kurang-kurang                                            demamnya…..” keluh emak Maisarah.

iii.        Kata Ganda
Contohnya:  Kini segala-galanya hanya tinggal kenangan.

iv.        Simile
Contohnya:  Tanpa suara manja Milah bagaikan lagu berirama.

v.        Metafora
Contoh: hutan dara

Nilai

i.        Nilai kasih sayang.
Contoh:  Ana sangat menyayangi  Milah dan menganggap Milah seperti adiknya sendiri.

ii.        Nilai pengorbanan.
Contohnya : Ana bertekad untuk mendermakan sumsum tulangnya kepada Milah.

iii.        Nilai kerajinan.
Contoh :Ana juga rajin membantu ibu Milah berniaga kedai runcit di kampung.

iv.        Nilai simpati.
Contoh : Ramai yang bersimpati apabila mengetahui bahwa Milah disahkan menghidap
penyakit leukemia.

v.        Nilai kegigihan.
Contoh: Ana dan guru-guru yang lain gigih berusaha untuk menaikkan nama sekolah dalam bidang akademik dan kokurikulum.

vi.        Nilai keprihatinan.
Contoh: Ana amat prihatin dan mengambil berat tentang penyakit leukemia yang dihidapi oleh Milah.

Pengajaran

i.        Kita hendaklah mengasihi sesama insan .
Contoh :  Ana mengasihi Milah seperti adiknya sendiri.

ii.        Kita  hendaklah sanggup berkorban untuk kebaikan orang lain.
Contoh :  Ana sanggup berkorban untuk mendermakan sumsum tulangnya kepada Milah.


iii.        Kita hendaklah rajin membantu untuk meringankan beban orang lain.
Contoh:  Ana  rajin membantu ibu Milah berniaga di kedai runcit.

iv.        Kita hendaklah bersimpati dengan nasib malang yang menimpa orang lain.
Contoh :   Ramai yang bersimpati apabila mengetahui bahawa Milah disahkan menghidap  penyakit  leukemia.

Soalan

i.        Bincangkan  tiga perwatakan watak utama dalam cerpen ini.

ii.        Berikan dua latar tempat berserta peristiwa yang terdapat dalam cerpen ini.

Jawapan

i.        Watak utama dalam cerpen ini ialah Ana. Tiga perwatakan watak utama ialah seorang yang gigih melaksanakan tugas. Contohnya, pada pagi Sabtu, Ana seperti biasa mengadakan kelas tambahan untuk pelajar- pelajarnya  sebagai persediaan untuk menghadapi PMR. Seorang yang prihatin terhadap anak didiknya. Contohnya, Cikgu Ana bertekad untuk mendermakan sumsum tulang kepada Milah yang menghidapi penyakit leukemia. Seorang yang penyayang. Contohnya, Ana menyayangi Milah dan menganggapnya seperti adiknya sendiri.

ii.        Dua latar tempat dalam cerpen ini ialah Hospital Daerah Kuala Lipis. Contohnya, tempat Milah mendapat rawatan penyakitnya. Kedua, Sekolah Kebangsaan Kampung Chat.     Contohnya,  sekolah tempat Ana mengajar.
 

 
 ©2009 Zainudin Dirin. Hakcipta Terpelihara. Webmaster: Feed Farid