PUTRAJAYA 22 Dis. - Prestasi Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Iban dan Pendidikan Islam dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 menunjukkan penurunan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud.
Beliau berkata, pencapaian gred A bagi Bahasa Melayu merosot 1.3 peratus berbanding tahun lalu, Bahasa Iban (4.4 peratus) manakala Pendidikan Islam pula menurun 1.7 peratus.
Bagi Bahasa Cina, sekalipun pencapaian gred A meningkat sedikit 0.1 peratus, pencapaian gred B, C dan D menurun, manakala gred E melonjak hampir dua peratus, katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Ghafar berkata, pencapaian gred A bagi Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris meningkat sebanyak 1.7 peratus dan 0.8 peratus masing-masing. - BERNAMA