Selami krisis remaja
TINGKAHNYA menyusun pertuturan cukup tertib di selang-seli dengan jenaka bersahaja membuatkan sesiapa yang baru bersua muka terasa seolah-olah sudah lama mengenalinya.
Ruslan Ngah, 41, lelaki tinggi lampai berkulit sawo matang ini cukup sinonim dengan penulisan novel remaja dan kanak-kanak malah pembabitannya bermula sejak zaman persekolahan melalui penghasilan cerpen.
Sehingga kini, dia telah mengarang hampir 100 novel kanak-kanak dan remaja, cerpen selain bahan bacaan berkonsepkan humor. Antara judul yang masih diingatinya seperti Yang Tercinta, Di Hujung Senja, Merenang Gelora dan Gelora di Hati Arini.
Walaupun telah menceburi bidang itu sejak 25 tahun lalu, perasaannya kembali berbunga pada tahun 2000 untuk menghasilkan sebuah karya yang lebih serius dan mampu memberi kesan mendalam kepada masyarakat khususnya buat remaja yang masih bersekolah.
Justeru, novel Merenang Gelora terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) antara hasil istimewanya apabila ia merungkai situasi sebenar yang berlaku di sekolah khasnya di persekitaran sekolah menengah.
Ruslan memberitahu, dia menghasilkan novel yang mempunyai 253 halaman bercetak itu setelah mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan walaupun pelbagai dugaan datang dan pergi.
“Mungkin senario sekarang telah berubah, tetapi ada kalanya buku yang terdapat di pasaran negara kita banyak menceritakan perkara yang elok sahaja. Sebagai contoh pergi ke sekolah untuk belajar jadi pandai.
“Namun, judul Merenang Gelora ini menceritakan kisah sebenar yang berlaku di sesetengah sekolah seperti kes buli, pengaruh dadah, samseng mafia sekolah. Semuanya saya selitkan dalam penulisan ini,” katanya.
Dia yang berasal dari Marang, Terengganu memberitahu, sekitar tahun 90-an, kepincangan pelajar jarang dihebohkan oleh pihak sekolah kerana bimbang nama baik sekolah terjejas walaupun keadaan itu benar-benar berlaku.
Bagaimanapun katanya, senario kini sudah berubah kerana sebarang kejadian yang membabitkan pelajar sudah banyak dihebohkan di media massa malah kini kerajaan juga bersikap terbuka dalam hal tersebut.
“Apa sebenarnya berlaku di sekolah pada masa itu saya dedahkan melalui penulisan novel ini. Tetapi sekarang alhamdulilah kerajaan lebih bersikap terbuka dan tidak lagi menyorokkan konflik seperti itu,” katanya.
Merenang Gelora yang dihasilkan itu tidak berkias malah terus ke dalam minda pembaca seperti mana kejadian yang berlaku di sekolah di samping memberi fokus mengenai permasalahan remaja kini.
Konsep pembacaan sedemikian turut disasarkan untuk dimiliki golongan pelajar serta para guru kerana pelbagai senario yang pernah berlaku di sekolah dicatat dalam novel berkenaan.
Karya yang memenangi pertandingan novel remaja hadiah sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2001 itu juga memaparkan keadaan di mana tidak semestinya seseorang yang baik dan rajin belajar akan memperoleh kejayaan kerana banyak individu rajin masih gagal. Jadi, kegagalan itu menjadi pemangkin bagi seseorang terus berusaha.
Antara cabaran yang dihadapi semasa dia menghasilkan novel berkenaan apabila dirinya sudah lama berhenti menghasilkan penulisan serius di samping memerlukan penghayatan watak secara teliti kerana pada waktu penulisan novel tersebut zaman remajanya sudah lama berlalu.
Mengimbau kembali saat pembabitannya dalam penulisan serius, Ruslan memberitahu, minat menulis novel pernah terhenti seketika apabila dia mula bekerja di Majalah Gelagat yang lebih berkonsepkan humor kira-kira lapan tahun.
Menurutnya, bagi memudahkannya menyelami alam remaja, dia terpaksa mengingat kembali kenangan ketika di bangku sekolah supaya cerita yang dihasilkan seiring dengan apa yang berlaku pada remaja kini.
“Saya mula menulis semasa zaman persekolahan pada tahun 1985 ketika di tingkatan empat. Pada tahun 1986 pula saya mula menulis cerpen dan kemudian pada tahun 1988 saya menghasilkan novel pertama.
“Lebih menarik, semasa di tingkatan enam, saya pernah menerima wang sebanyak RM3,000 melalui penjualan hasil penulisan sehingga saya hilang arah apa yang patut dibeli dengan wang sebanyak itu maklumlah tinggal pula di kampung,” katanya.
Ruslan yang kini bekerja di sebuah syarikat berkaitan pengiklanan dan pengurusan acara di ibu negara memberitahu, sepanjang bekerjasama dengan UP&D, mereka tidak pernah mengecewakan malah memintanya menghantar hasil karya terbaru untuk diterbitkan.
Jelas Ruslan, permintaan itu terpaksa ditangguh sementara waktu memandangkan pelbagai komitmen yang perlu diselesaikan buat masa ini. Namun, dia tidak menolak kemungkinan akan muncul dengan penulisan terbarunya.