1 Okt 2011

Aktiviti Mengindahkan Kawasan Sekolah

Pendidikan Alam Sekitar dan usaha melestarikan alam telah menjadi sebahagian daripada budaya sekolah. Salah satu strategi berkesan untuk menjayakan usaha murni ini adalah aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan secara terancang dan berkala.



Aktiviti gotong royong melibatkan guru dan pelajar.

Aktiviti gotong-royong ini merupakan usaha penghijauan kawasan sekolah yang melibatkan seluruh warga SMK Majakir. Gotong-royong dijalankan secara berkumpulan oleh unit-unit tertentu sebagai sebahagian daripada aktiviti bulanan, malahan pada bila-bila masa yang dirasakan perlu dan wajar.

Pihak pentadbiran sekolah juga telah memainkan peranan dalam menganjurkan aktiviti sebegini dalam skala yang lebih besar. Misalannya, Gotong-royong Muhibah yang telah dianjurkan melibatkan bukan sahaja pihak sekolah, malahan PIBG, agensi-agensi kerajaan dan swasta . Gotong-royong Perdana pula dianjurkan oleh unit kokurikulum yang melibatkan unit-unit beruniform yang ada di SMK Majakir. Semua aktiviti ini akhirnya membentuk amalan dan sikap warga SMK Majakir khususnya dalam kalangan pelajar agar lebih prihatin terhadap alam sekitar.




Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan agensi luar turut terlibat dalam aktiviti gotong royong.


Unit beruniform turut mengambil bahagian dalam aktiviti menanam dan membaja pokok bunga.

Aktiviti gotong-royong ini juga dirancang untuk dikembangkan ke luar kawasan sekolah, seperti di kawasan Pantai Manis, kawasan tamu daerah Papar dan kawasan Pasar Am di pekan Papar. Hal ini bertujuan memberi kesedaran kepada para pelajar dan juga orang ramai tentang peranan sekolah dalam memupuk kesedaran menjaga alam sekitar dan sekali gus membina hubungan kerjasama antara pihak sekolah dengan masyarakat setempat.






Mural-mural dengan mesej Alam Sekitar dilukis di sekitar bangunan sekolah yang menjadi laluan umum pelajar dan staf. Mural-mural ini disediakan secara kolektif oleh para pelajar dan guru-guru Pendidikan Seni Visual sebagai salah satu projek kesedaran alam sekitar.



Dinding-dinding di kawasan sekolah dilukis dengan mural bermesej yang bertemakan alam sekitar.

Strategi serampang dua mata pihak sekolah untuk mengindahkan persekitaran sekolah disamping memupuk kesedaran pentingnya generasi muda masa kini untuk menjaga alam sekitar adalah antara usaha murni pihak sekolah ke arah pelestarian alam sekitar iaitu bermula dengan komuniti kecil di sekolah.




Mural-mural dengan mesej Alam Sekitar dilukis di sekitar bangunan sekolah yang menjadi laluan umum pelajar dan staf. Mural-mural ini disediakan secara kolektif oleh para pelajar dan guru-guru Pendidikan Seni Visual sebagai salah satu projek kesedaran alam sekitar.





Projek melukis mural di bangunan mini-gym SMK Majakir. Mural ini menghadap pintu utama sekolah dan secara tidak langsung mengumumkan kepada orang-ramai tentang komitmen sekolah dalam pendidikan kesedaran alam sekitar.








Papan-papan tanda berkaitan dengan Kesedaran Alam Sekitar adalah sebahagian daripada lanskap SMK Majakir. Sebahagian besar papan-papan tanda ini disumbangkan oleh pihak-pihak swasta yang seiring dengan perjuangan pihak sekolah.



Papan-papan kenyataan di Anjung Ilmu (ruang pelajar menunggu sambil belajar) dijadikan sudut kesedaran Alam Sekitar. Artikel-artikel dan bahan-bahan bacaan lain yang berkaitan alam sekitar diletakkan di sini secara terkawal. Papan-papan kenyataan ini adalah di selaraskan oleh Bidang-bidang Akademik SMK Majakir.







SMK Majakir ialah sekolah menengah yang pertama di daerah Papar yang mengadakan sambutan Hari Bumi. Acara tahunan ini bermula sejak tahun 2008 atas inisiatif mantan Pengetua Cemerlang SMK Majakir, Encik Loh Kok Cheang yang sentiasa prihatin tentang alam sekitar.



Pada tahun 2009, tempoh sambutan Hari Bumi dilanjutkan supaya lebih banyak aktiviti kesedaran alam sekitar dapat diadakan. Sambutan bermula dengan Majlis Pelancaran Hari Bumi yang dirasmikan oleh Pengetua pada 22 April 2009. Dalam majlis ini, para guru, wakil PIBG dan wakil pelajar menandatangani ‘banner’ sebagai simbol komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Selain daripada itu, semua warga sekolah juga turut melafazkan Ikrar Hari Bumi.



Sepanjang tempoh sambutan, pihak sekolah telah mengadakan pelbagai aktiviti kesedaran alam yang melibatkan semua pelajar dan guru. Antaranya ialah pertandingan menulis esei dan sajak, pertandingan persembahan multimedia, aktiviti gotong-royong, kempen menanam pokok dan pameran kraftangan menggunakan bahan-bahan kitar semula. Kemuncak sambutan Hari Bumi 2009 telah diadakan pada 13 Mei 2009 dan dirasmikan oleh YB Datuk Bolkiah Ismail, Pembantu Menteri Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah. Beliau mengambil bahagian dalam acara-acara simbolik berkaitan kesedaran alam sekitar, di samping turut menanam pokok di Medan Warisan. Acara diakhiri dengan aktiviti menanam pokok-pokok bunga secara beramai-ramai di sekitar kawasan sekolah.


YB Datuk Bolkiah Ismail, Pembantu Menteri Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah bersama En. Loh Kok Cheang, mantan Pengetua Cemerlang SMK Majakir.


Di majlis yang sama, guru dan pelajar turut menanam pokok bunga.




Warga sekolah turut terlibat menyokong Kempen Selamatkan Penyu yang dianjurkan oleh WWF Malaysia. Pihak sekolah telah berjaya menggumpul sebanyak 1000 tandatangan daripada kalangan pelajar dan orang ramai sebagai tanda sokongan terhadap kempen ini.



Satu majlis penyerahan borang-borang yang telah ditandatangi oleh pelajar, guru dan orang ramai telah diadakan pada 11 Ogos 2009 bertempat di Dewan Jubli Perak SMK Majakir. Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran perwakilan dari WWF-Malaysia iaitu En. Kenneth Ramsey Kassem, Manager of Sulu-Sulawesi Marine Ecoregion (SSME), En. Irwin Wong Ye Jea, Fisheries Officer of SSME Program dan Pn. Betty Gaisong, Program Administrator of SSME.

b