22 Okt 2011

BILAKAH WAKTU TERBAIK MEMOHON DOA?

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
BILAKAH waktu terbaik untuk memohon doa? Saya ingin tahu apakah ucapan terbaik apabila ada orang berbuat baik kepada saya? Adakah cukup untuk kita mengucapkan terima kasih.
AHMAD,
Cheras, KL.
SEBENARNYA ada beberapa waktu atau masa khusus yang memiliki keistimewaan dengan Allah SWT mengkabulkan doa. Justeru, hendaklah seorang yang beriman berusaha untuk berdoa pada waktu diberkati itu dan memohon dalam doanya kebaikan, rahmat dan afiat.
Jangan meminta seksaan dan kebinasaan. Antara waktu paling mustajab adalah tengah malam dan sesudah solat fardu.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Umamah, beliau berkata (yang bermaksud): Rasulullah SAW pernah ditanya: Doa bagaimana yang lebih didengar? Baginda SAW menjawab, doa pada tengah malam yang terakhir dan sesudah solat fardu.”
Sebaik-baiknya lakukanlah solat hajat dua rakaat. Rakaat pertama sesudah membaca al-Fatihah, bacalah surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua, sesudah membaca al-Fatihah, bacalah surah al-Ikhlas. Kemudian pada sujud terakhir, berdoalah. Sebaik-baiknya berdoa ketika sujud dalam solat kerana ia dalam keadaan paling dekat dengan Penciptanya.
Rasulullah SAW bersabda: “Sedekat-dekat seorang hamba kepada Tuhannya adalah ketika ia sujud.” Maka perbanyakkanlah berdoa dalam sujud.
Mungkin ada yang bertanya, adakah doa yang pernah dipanjat itu diterima? Rasulullah SAW bersabda dalam hadis daripada Abu Hurairah (yang bermaksud): “Doa seseorang kamu akan dikabulkan selama ia tidak terburu-buru, ia mengucapkan, Aku sudah berdoa kepada Tuhanku tetapi Tuhan tidak memperkenankan doaku” (Muttafaqun ‘Alaih).
Atau dalam hadis lain menyebut (yang bermaksud): Doa seseorang itu akan dikabulkan selama ia tidak berdoa untuk berbuat dosa atau untuk memutuskan silaturahim, selama ia tidak terburu-buru.”
Baginda ditanya, “Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru?” Baginda berkata: “orang itu berkata, “aku telah berdoa dan berdoa tetapi aku tidak melihat doaku dikabulkan.” Kalau demikian ia akan letih dan ia berhenti berdoa.”
Dalam hadis itu kita dapat memahami seorang Muslim itu hendaklah berdoa kepada Tuhannya terus menerus dan hendaknya doa itu untuk meminta kebaikan. Doanya pasti dikabulkan selama ia tidak berdoa untuk berbuat dosa dan selama ia tidak terburu-buru. Maksud terburu-buru mencegah terkabulnya doa iaitu yang mengakibatkan seseorang itu meninggalkan doa.
Bagi soalan kedua, ucapan terbaik bagi seorang Muslim, apabila ada orang lain berbuat baik kepadanya iaitu ucapan “Jazakallah khairan.” Maksudnya “Moga Allah membalas kebaikan kepadamu.” Rasulullah SAW bersabda daripada Usamah Zaid, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa diperlakukan dengan baik, kemudian ia berkata kepada orang yang berbuat baik, “Jazakallah khairan (Semoga Allah membalas kebaikan kepadamu)” Maka ia lebih daripada cukup dalam memuji. (Riwayat at-Tirmizi). Demikianlah, wallahua’lam.