23 Sep 2011

USTAZAH PILIHAN-AL HIJRAH-ASTRO

Oleh Norhayati Nordin

yati@hmetro.com.my
SELAMA tiga bulan pencarian dilakukan, TV Alhijrah (TVAH) akhirnya menemui 10 wanita berkelayakan untuk menyertai program Solehah. Merangkumi pelbagai bidang, wanita terpilih itu diyakini memiliki kredibiliti sebagai seorang pendakwah.
Apapun, lebih 600 peserta mencuba nasib hadir ke sesi uji bakat Solehah yang diadakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. Ia nyata sambutan baik diterima untuk program realiti baru yang diperkenalkan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Solehah adalah program realiti TV berhasrat melahirkan barisan Muslimah yang mempunyai ciri dan sifat seorang solehah dan mampu menjadi ikon kepada wanita lain.

“Atas sebab itu, uji bakat penyertaan diadakan terbuka kepada wanita dengan pelbagai latar belakang pendidikan. Bahkan kebanyakan mereka graduan dari institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara dalam pelbagai jurusan.


“Justeru, melihatkan pada peserta terpilih ini, mereka di kalangan terbaik, mampu dan berupaya menyampaikan dakwah secara lisan atau tulisan serta pastinya mempunyai daya ketahanan fizikal dan mental yang kuat,” katanya.

Menyentuh soal kelainan program Solehah itu, Jamil Khir berkata, tiada peserta akan disingkirkan sepanjang program terbabit berlangsung. Katanya, semua peserta itu kekal bersaing sehingga minggu terakhir dan barulah pemenang dipilih.

“Saya tidak mahu sesiapa tersingkir daripada persaingan kerana banyak perkara harus dipelajari sebelum mampu menjadi pendakwah wanita berjaya. Oleh itu, biarlah penilaian untuk mereka dibuat setiap minggu dan bagi yang lemah akan terus dibantu.

“Dalam soal ini, peserta yang lemah tidak semestinya tidak bagus. Ini kerana, dalam pertandingan sudah pasti ada pasang surut�nya prestasi peserta. Barangkali, peserta yang dilihat lemah minggu lalu, mungkin bangkit bersaing pada minggu seterusnya.

“Jadi, tidak perlulah sesiapa disingkirkan dan biar mereka meneruskan pengajian sehingga program berakhir. Bagaimanapun, mereka akan dinilai dari pelbagai sudut termasuk ujian di dalam dan di luar kelas,” katanya.

Berbicara mengenai hadiah, Jamil Khir memaklumkan, buat masa ini biarlah ia menjadi rahsia. Bahkan, beliau juga enggan memaklumkan berapa anggaran jumlah hadiah kemenangan akan diperoleh juara Solehah kelak.

Ujarnya, soal hadiah biarlah dirahsiakan dan menjadi kejutan buat peserta. Biarlah program Solehah itu dilaksanakan lebih dulu dan mencapai sasaran matlamat. Menurut Jamil Khir, beliau mahu peserta memberi tumpuan kepada pembelajaran.

“Solehah akan menemui penonton di TVAH (Saluran 114 Astro) bermula 23 September ini sebanyak 13 episod. Ia akan disiarkan secara langsung pada setiap Jumaat dari Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.

“Seramai empat tenaga pengajar akan membimbing peserta iaitu Pensyarah di Jabatan Dakwah dan Pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Ustazah Norsalehah Mohd Saleh; Pensyarah Pengajian Islam Universiti Teknologi Kuala Lumpur, Ustazah Norhafizah Musa; Pensyarah di Jabatan Al-Quran & Sunnah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Ustazah Suriani Sudi serta Pengarah Pemasaran & Korporat Sri Munawwarah Design, Haslina Mohd Ali,” katanya.

Tidak ketinggalan, barisan juri yang akan menilai pencapaian peningkatan peserta setiap minggu pula terdiri daripada tiga tokoh akademik terkenal iaitu Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail; Pensyarah di Fakulti Pendidikan Psikologi & Kaunseling UM, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor serta Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Isfadiah Mohd Dasuki.

Peserta Solehah yang bersaing adalah Amie Sofia Ahmad, 25 dari Kedah; Wan Suhaili Wan Mohd Yusof , 24, (Terengganu); Mariyam Sa’ari, 24, (Terengganu); Sarah Azizul, 25, (Selangor); Renny Johnnuin, 21, (Sabah); Tuan Nor Shazni Tuan Muda, 23, (Terengganu); Siti Adibah Zelkefly, 21, (Sarawak); Nurul Eswani Syafazlin Abdul Halim, 24, (Kedah); Wan Nor Mazuani Wan Mokhtar, 22, (Pahang) dan Rosmarieza Rafiee, 25, (Melaka).

Turut diperkenalkan dua pengacara Solehah iaitu Irma Hasmie Ibrahim dan Nurul Iman Dzulkefly. Selain Jamil Khir, hadir sama pada sidang media Solehah ialahPengerusi TVAH, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif TVAH, Bukhari Che Muda.