Tajuk:
Tulis karangan yang bertajuk, “Faedah Membaca”
Contoh Jawapan:
Semua orang tanpa mengira usia perlulah menyemai minat membaca dalam sanubari mereka. Membaca Jambatan Ilmu. Lantaran itu, amalan membaca memberikan banyak faedah kepada seseorang itu sepanjang hidupnya sama ada disedari atau tidak oleh diri individu tersebut.
Manfaat yang jelas diberikan oleh sikap membaca ialah ilmu pengetahuan seseorang itu dalam pelbagai bidang akan bertambah. Pemilikan pengetahuan ini memudahkan seseorang itu untuk menyesuaiakan diri dalam kehidupan era moden yang penuh cabaran ini.
Tambahan pula, membaca boleh menjadi satu cara yang paling mudah dan murah untuk menghabiskan masa lapang,hal ini bertepatan dengan peribahasa masa itu emas. Seseorang itu hanya perlu membeli majalah, akhbar atau buku dan duduk membaca di mana-mana yang sesuai buat mereka berjam-jam lamanya tanpa sebarang gangguan.
Bahan bacaan juga boleh menjadi satu cara untuk menghiburkan seseorang itu terutama ketika keseorangan. Ada banyak bahan bacaan yang mampu memberikan pelbagai bentuk hiburan seperti novel, cerpen dan puisi kepada pembacanya dengan mudah.
Malah, membaca juga boleh membantu seseorang itu terutama pelajar untuk lulus dengan baik dalam peperiksaannya. Semakin banyak buku yang dibaca semakin besarlah peluang pelajar itu untuk lulus dengan cemerlang kerana semua soalan peperiksaan berdasarkan bahan bacaan yang diberikan oleh pihak sekolah.
Konklusinya, tabiat suka membaca perlu dipupuk sejak kecil. Minat ini kemudiannya akan berkembang apabila mereka menjadi dewasa lalu amalan ini akan terus wujud dalam diri seseorang itu.
Pengarang: Noor Azman Mahat