20 Sep 2011

KOSA KATA MENARIK DALAM PENULISAN KARANGAN



Isu Program Latihan Khidmat Negara

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan program yang akan meneruskan agenda perjuangan bangsa. Pihak kerajaan telah membuat kajian menyeluruh dan telus sebelum merangka matlamat dan strategi program ini. Program ini merupakan kayu ukur atau cerminan pelapis masa depan yang merupakan tonggak tamadun bangsa atau jati diri bangsa. Kejayaan program ini disandarkan pada kesungguhan, iltizam dan penegasan baru. Sayangnya dasar yang hebat ini tidak disertai oleh pelaksanaan yang cekap, telus dan terperinci.


Isu Gejala sosial

Gejala sosial semakin kronik akibat landaan gelombang globalisasi. Walaupun hanya segelintir remaja yang mempunyai komputer peribadi tetapi pengaruhnya sukar dibendung menyebabkan mereka terjajah minda dan budaya. Hal ini amat membimbangkan pihak kerajaan kerana mereka merupakan cerminan bangsa yang akan menongkah cabaran masa depan. Senario sosial yang dipaparkan mengetuk pintu hati segenap masyarakat untuk bertindak secara kolektif bagi merencanakan tindakan untuk mengatasi kemelut ini. Gagasan ”Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” akan dapat diimplimentasikan sekiranya gejala sosial ini dicantas di peringkat akar umbi. Seharusnya asas utama yang perlu ditekankan sejak kecil ialah pembinaan tahap sosialisasi anak melalui aspek keagamaan, bak kata pepatah Melayu, ”kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.




Isu Alam sekitar

Peranan yang lebih signifikan perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk melestarikan alam sekitar. Usaha ini harus mendapat komitmen yang sederap daripada pelbagai pihak bagi menghasilkan persekitaran yang kondusif. Hal ini kerana alam sekitar yang bersih merupakan jantung dan nadi kehidupan di jagatraya ini. Jika masyarakat hanya memekakkan telinga, menutupkan mata dan membutakan hati, segala program yang dirancang akan kecundang. Ironinya, sokongan dan dukungan segenap masyarakat akan mewarnai kehidupan ini .



Isu Pembangunan

Pembangunan tanpa perancangan secara holistik ibarat api dalam sekam yang akan merencatkan aspirasi negara ini. Keghairahan sesetengah pihak yang berfikiran sempit dan obsesi menarah bukit dan menggondolkan kawasan akan mencetuskan pelbagai musibah. Seharusnya sebagai warga yang berhemah, kita haruslah menjunjung tanggungjawab dan meluaskan horizan minda untuk mengekalkan kelangsungan citra negara yang unggul. Pembangunan yang direncanakan mestilah bertunjangkan konsep mesra alam yang mampu memayungi kesejahteraan sejagat.


Isu Sukan

Sejajar dengan slogan ”Malaysia Boleh” setiap ahli sukan perlu memikul tanggungjawab yang amat berat untuk memanifestasikan slogan tersebut. Mereka perlu merangka matlamat strategi bagi menyahut cabaran tersebut. Jika slogan ini berjaya dimanipulasikan oleh ahli sukan negara sudah pasti kita dapat bersaing di peringkat global. Negara kita juga akan terkenal di persada dunia. Sokongan dan dukungan pihak kerajaan merupakan salah satu usaha yang boleh dilakukan untuk memperkasa sukan negara. Hal ini kerana ahli-ahli sukan memerlukan pohon rendang untuk bernaung supaya mereka dapat memberi komitmen yang jitu terhadap bidang sukan yang diceburi. Setiap ahli sukan seharusnya mampu menghidu peluang melakarkan kecemerlangan bagi memastikan bidang sukan negara ini gah di persada antarabangsa.


Isu pendidikan

Saban hari kita sering dihidangkan dengan berita tentang tindakan sadis golongan pelajar. Fenomena yang menjadi lumrah di kebanyakan institusi pendidikan ini, akan meranapkan keutuhan bangsa dan negara. Golongan pelajar ini seolah-olah kehilangan pedoman dan menyerah kalah dalam dunia yang dilingkari kepalsuan. Sebahagian daripada pelajar ini seolah-olah telah terjajah minda dan budaya, lantaran mengamalkan fahaman agama yang jumud. Konsep yang diuar-uarkan oleh pihak kerajaan iaitu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti seolah-olah menemui jalan buntu.


Isu Perpaduan

Menyingkap nostalgia 13 Mei 1969, telah terpalit sejarah hitam di negara ini. Hakikat ini telah menggamit perasaan kita untuk memantapkan integrasi dan memperteguh ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini. Masalah perpaduan yang meruncing bukan sahaja melumpuhkan ekonomi malah melampiaskan pelbagai musibah. Ketegaran perpaduan masyarakat di negara ini bukan sahaja menjadi pemangkin yang mencorakkan negara yang berdaulat namun turut akan menjadikan negara ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara di dunia ini.


Karya kreatif


Sakinah menyisir masa lalunya dan menyelongkar nostalgia silam. Air matanya mula bertakung. Tidak terlintas di mindanya untuk mencantas tali persaudaraan yang terjalin. Segala peristiwa yang terungkai mengocak ketenangan kali perasaannya. Tindakan Imran, tunangannya seperti manusia yang pincang akhlak, rendah moral, sesat pemikiran dan menyeleweng daripada batas-batas keinsanan. Tidak pernah terdetik di sukmanya gelagat Imran yang meracuni kepercayaannya selama ini. Sakinah mendepani hari-hari yang mendatang walaupun kini dirinya semakin menanjak usia. Segala-galanya kini nampak begitu sempurna. Cukup sempurna setelah mengharungi badai dan onak kehidupan. Semuanya kini bagaikan seindah panorama Arafah.

Isu media massa

Sebagai pengguna yang celik teknologi komunikasi, penggunaan internet sudah tentu merupakan batu loncatan untuk kita menggapai kecemerlangan. Internet menyediakan pelbagai kemudahan serta tempat tersimpan khazanah ilmu yang mampu diterokai oleh semua peringkat masyarakat. Teknologi maklumat ini merupakan wahana yang dapat menyalurkan ilmu dan maklumat untuk dimanfaatkan oleh masyarakat di negara ini.


Isu Pertanian

Mutakhir ini, era perdagangan semakin mencabar dan didominasi oleh pasaran global. Hal ini demikian, pemasaran hasil pertanian haruslah menepati kriteria yang ditetapkan. Hanya produk yang bermutu tinggi dan menepati Skim Akreditasi Ladang Malaysia sahaja yang dapat meneruskan kelangsungan usaha para petani. Golongan petani digalakkan mengamalkan pertanian yang mesra alam, hasil pertanian yang berkualiti dan selamat untuk keperluan para pengguna. Jika gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan, maka pengiktirafan akan ditarik balik. Kementerian Pertanian haruslah mempromosikan secara lebih agresif bidang pertanian ini.


Isu Penyakit

Masyarakat hari ini telah digemparkan dengan pelbagai jenis penyakit berbahaya yang menggugah kesejahteraan sejagat. Wabak dan epidemik penyakit ini adalah sinonim dengan tindak tanduk songsang insani. Hal ini berlaku kerana mereka masih lagi terbelenggu dalam kepompong kejahilan. Sementelahan pula, segelintir masyarakat terlalu taksub dengan gaya hidup yang diwarisi sejak turun temurun dan tidak mahu membuat anjakan paradigma.