Setiap sekolah akan menjalankan aktiviti kokurikulum. Aktiviti ini dijalankan pada sebelah petang.Para pelajar wajib menyertai sebarang aktiviti yang dijalankan, samada menyertai persatuan, unit beruniform, mahupun olahraga.Kementerian Pelajaran tidak mahu para pelajar hanya menumpukan kepada pelajaran, sehingga mengabaikan aktiviti kokurikulum.
Melalui aktiviti ini, tubuh badan kita akan menjadi sihat. Keadaan ini berlaku kerana apabila kita melakukan sesuatu aktiviti, otot dalam tubuh kita akan bergerak dengan lebih aktif lantas mengeluarkan peluh. Tubuh badan yang sihat memudahkan kita untuk mengulangkaji pelajaran, manakala tubuh yang tidak sihat akan menyebabkan badan menjadi tidak bermaya sekaligus mampu menjejaskan tumpuan pembelajaran di sekolah.
Faedah kedua melalui aktiviti kokurikulum di sekolah adalah, para pelajar dapat menghabiskan masa lapang mereka dengan lebih berfaedah.Masa lapang yang tidak diisi dengan baik memungkinkan para pelajar mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti menonton televisyen, berpeleseran di pusat membeli-belah ataupun melepak bersama rakan-rakan yang berperangai tidak senonoh sehingga memungkinkan terjadinya tabiat merokok, menghisap gam dan dadah.
Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, secara tidak langsung para pelajar mendapat pelbagai faedah seperti dapat menambah kenalan tanpa mengira warna kulit, bangsa mahupun agama.Secara tidak langsung, mereka juga dapat berbincang dan saling mengenali, sekaligus mewujudkan persefahaman dan perpaduan antara masyarakat berbilang bangsa, budaya dan juga agama.Disamping itu, aktiviti kokurikulum yang dijalankan juga membolehkan para pelajar menambahkan pengetahuan mereka tidak kira dari segi perubatan, pertahanan diri, pengetahuan asas mengenai dunia luar, sains dan teknologi dan tidak lupa juga mengenai keolahragaan dan kesukanan.
Berdasarkan huraian yang diberikan, maka jelaslah kepada kita akan kepentingan aktiviti kokurikulum di kalangan pelajar dewasa ini. Para pelajar hendaklah memanfaatkan peluang yang diberikan kepada mereka kerana tidak semua insan di muka bumi ini yang cukup bertuah kerana mendapat makanan,tempat kediaman, pakaian, dan pelajaran yang cukup untuk bekalan di hari muka.