Contoh Karangan Lengkap Punca-punca Pencemaran Udara
Pencemaran udara merupakan perbuatan mengotorkan kebersihan udara sehingga menyebabkan kualitinya merosot (T). Indeks Pencemaran Udara Malaysia (IPUM) telah menunjukkan bahawa kualiti udara di negeri Selangor pada tahun 2000 bukan sahaja berada pada tahap tidak sihat tetapi juga sangat tidak sihat sepanjang tahun tersebut (I). Justeru, punca-punca pencemaran udara ini harus dikenal pasti bagi memudahkan kita untuk menanganinya agar tidak berleluasa (K).
Salah satu punca yang menyebabkan udara tercemar ialah bencana alam (AT). Bencana alam merupakan fenomena semulajadi yang mengakibatkan kemusnahan alam seperti letusan gunung berapi dan kebakaran hutan akibat kemarau yang berpanjangan (AH1). Contohnya, letusan Gunung Berapi Pinatubo, Filifina telah membebaskan debu yang berlebihan ke angkasa sehingga menyebabkan jerebu yang sangat teruk di negara-negara yang berhampiran (AH2). Dengan itu, bencana alam juga merupakan faktor penyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di negara kita (AP).
Pelepasan asap kenderaan juga banyak menyumbang kepada pencemaran udara ini (AT). Pertambahan kenderaan yang bergerak di jalan raya telah menyebabkan asap yang dilepaskan ke udara melalui ekzos kereta juga turut bertambah (AH1). Sekiranya kenderaan yang digunakan tidak diselenggara dengan baik, kenderaan tersebut akan mengeluarkan asap yang berlebihan (AH2). Justeru, asap yang mengandungi gas-gas beracun seperti karbon monoksida telah mencemarkan kebersihan udara keseluruhannya (AP)
Selain itu, udara juga tercemar kerana aktiviti penerokaan hutan yang dilakukan oleh penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman (AT). Lazimnya, penduduk yang tinggal di kawasan ini meneroka hutan untuk tujuan petempatan dan pertanian (AH1). Mereka menebang hutan kemudian membakarnya untuk mempercepat urusan pembersihan di samping menyuburkan tanah tersebut untuk bercucuk tanam (AH2). Oleh hal yang demikian, aktiviti pembakaran hutan yang dilakukan dengan tidak terkawal akhirnya akan mencemarkan udara di kawasan yang berhampiran (AP).
Faktor seterusnya ialah pembakaran sampah secara besar-besaran di kawasan terbuka (AT). Sampah-sarap yang dibuang oleh masyarakat di negara ini sangat banyak sehingga berjuta-juta tan sehari apabila dikumpulkan di loji pelupusan sampah (AH1). Sampah ini terpaksa dilupuskan menerusi aktiviti pembakaran pada setiap hari bagi mengelakkannya daripada bertambah banyak (AH2). Justeru, udara akan semakin tercemar kerana tidak ada alternatif lain untuk melupuskan sampah-sarap yang bertimbun selain membakarnya (AP).
Tuntasnya, kemerosotan kualiti udara di negara kita sebenarnya di sebabkan oleh kealpaan masyarakat di negara ini dalam mengejar arus pemodenan (R). Semua pihak haruslah berganding bahu bagi menyelesaikan permasalahan ini agar kesan buruk tidak berlaku (C). “Sebelum nasi menjadi bubur”, langkah-langkah pencegahan perlulah diambil dengan segera kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” (H).
Nota Penerangan.
1. Perenggan Pendahuluan (Teknik TIK)
T = Tema
I = Isu yang berkaitan dengan tema
K = Kehendak soalan ( menyatakan tugasan yang akan dibincangkan dalam karangan)
2. Perenggan Isi
AT = Ayat Topik (Ayat ini berperanan untuk menyatakan isi jawapan)
AH1 = Ayat Huraian Pertama (berperanan untuk menghuraikan AT)
AH2 = Ayat Huraian Kedua (berperanan untuk menjelaskan lebih lanjut dengan mengemukakan contoh, kesan, statistik, atau pendapat yang berkaitan dengan AT)
AP = Ayat Penyimpul (berperanan untuk menegaskan semula AT tetapi dalam bentuk pernyataan yang lain)
*AH boleh ditambah sekiranya perlu penambahan dalam bahagian huraian. Oleh itu, akan muncul AH3, AH4 dan seterusnya tetapi pastikan jumlah ayat adalah seimbang bagi seluruh perenggan isi.
3. Perenggan Penutup
R = Rumusan secara keseluruhan perbincangan
C = Cadangan terhadap isu
H = Harapan (kesan daripada cadangan)
*Jangan lupa gunakan penanda wacana yang betul bagi menghubungkan perengan. Aspek kohesi dan koheren perlu diambil kira dalam menulis karangan.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komentar anda.