Written by Raja on Friday, 08 July 2011 14:30 | ||
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan Pesta Persukuan Adat Perpatih 2011 di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah, pada 16 dan 17 Julai ini. Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan berkata program kali ini yang bertemakan 'Memartabatkan Budaya Adat Perpatih' merupakan pendekatan kerajaan negeri untuk menonjolkan keseluruhan budaya Adat Perpatih. "Program ini yang telah genap 12 tahun penganjurannya antara lain bertujuan untuk memartabatkan dan memperkasakan budaya Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Apa yang penting, kita berharap program ini mampu mengekalkan budaya Adat Perpatih agar ia tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek paneh," katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat. Katanya apa yang menarik pada tahun ini ialah program itu juga akan memberi ruang kepada semua lapisan masyarakat seperti kaum Cina, India dan Orang Asli untuk mempamerkan keunikan budaya masing-masing yang bersesuaian dengan konsep 1Malaysia. Katanya antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang dua hari pesta itu ialah majlis syarahan Negeri Sembilan, forum adat, persembahan adat perkahwinan Orang Asli, demostrasi peralatan adat, pameran daripada luak-luak, demonstrasi dan pertandingan masakan, pameran jabatan serta demonstrasi permainan tradisional. Selain itu, turut diadakan pertandingan melukis dan mewarna, pertandingan membaca tromba dan pertandingan Bongai antara sekolah serta persembahan kesenian tradisional Negeri Sembilan. Mat Ali yang juga Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan berkata buat pertama kalinya pada tahun ini juga pesta itu akan memperkenalkan lagu tema Adat Perpatih. Katanya kerajaan negeri juga telah melantik NegeriFM (radio) sebagai rakan penyiar utama bagi program itu agar dapat menarik lebih ramai pengunjung pada tahun ini. "Kerajaan negeri percaya dengan penganjuran program seumpama ini akan dapat menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara, sekaligus dapat memperkenalkan budaya Adat Perpatih kepada masyarakat luar," katanya. - BERNAMA
|
10 Jul 2011
PESTA PERSUKUAN ADAT PERPATIH 16-17 JULAI 2011
-
Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi ,"bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat ". Semangat perpaduan ...
-
PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Selain dorongan ibu bapa dan tunjuk ajar daripada para guru, sikap sabar dan konsisten merupakan kunci kej...