9 Jul 2011

Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan 2011

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my
MUHYIDDIN Yassin menyampaikan hadiah kepada pelajar Sekolah Menengah (P) Kuen Cheng yang dinobatkan johan Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan 2011 di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 6 Julai – Golongan muda perlu diberi peluang serta ruang yang secukupnya untuk meluahkan pemikiran masing-masing mengenai hala tuju masa depan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana generasi muda hari ini mempunyai idealisme tersendiri yang mana kelebihan itu jika digilap mampu memberi sumbangan bermakna kepada kemajuan, perpaduan dan keamanan negara.
“Kita akan dapat melahirkan generasi yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap peranan untuk memelihara perpaduan dan keamanan negara jika golongan muda diberi ruang meluahkan fikiran mereka.
“Semangat ini boleh disemai melalui pelbagai aktiviti seperti pidato, forum dan syarahan yang membincangkan secara khusus mengenai kepentingan mengekalkan kewujudan sebuah negara yang bersatu padu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan sempena Festival Bahasa dan Sastera 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Festival kali ini menyaksikan 600 murid dan pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), sekolah menengah kebangsaan dan Sekolah Menengah Persendirian Cina mengambil bahagian dalam enam acara dipertandingkan.
Pelajar yang mengambil bahagian diwajibkan bertutur dalam bahasa Melayu bagi menanam rasa kecintaan terhadap bahasa kebangsaan selaku medium penyatuan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menyentuh mengenai Festival Bahasa dan Sastera, Muhyiddin menyeru syarikat milik kerajaan (GLC) agar tampil bersama-sama dengan DBP mulai tahun depan bagi menjayakan lagi usaha membudaya bahasa kebangsaan.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm
Published in: