11 Jul 2011

CONTOH JAWAPAN NOVEL

PENILAIAN MENENGAH RENDAH
BAHASA MELAYU
Kod 02/02
 
BAHAGIAN D
NOVEL

 

  Pengenalan
  -  Bahagian D meminta calon menjawab soalan yang berkaitan dengan novel
     wajib bagi setiap zon.
  -  Masa yang dicadangkan untuk menjawab soalan D ialah 10 minit.
  Hanya satu soalan novel yang dikemukakan.
  -  Setiap calon wajib menjawab soalan tersebut dan tiada pilihan soalan
     lain.
  Calon mesti mengkaji tiga buah novel, sebuah dari tingkatan satu, sebuah
     dari tingkatan dua dan sebuah dari tingkatan tiga.
  -  Soalan perbandingan antara dua buah novel juga mungkin dikemukakan.
  -  Markah maksimum ialah 10 markah

Teknik Menjawab
  -  Baca soalan sekurang-kurangnya dua kali untuk memahami kehendak
     soalan.
  -  Kemudian, rangka isi jawapan berdasarkan kehendak soalan.
  -  Jawapan mesti ditulis dalam bentuk perenggan.
         -  Jawapan dalam bentuk isi-isi penting atau nota ringkas tidak
            dibenarkan.
  -  Jawapan mesti ditulis dalam ayat yang lengkap.
  -  Setiap jawapan yang diberi mesti mengandungi sekurang-kurangnya tiga isi.
  -  Setiap isi perlu dihuraikan dengan
          a.    Pernyataan
          b.    Huraian, dan
          c.    Contoh
  -  Panjang jawapan sekitar 80 hingga 120 patah perkataan.
  -  Soalan bahagian ini adalah berdasarkan novel-novel yang dikaji mengikut zon
     masing-masing.
  -  Antara aspek yang disoal adalah dari aspek-aspek sasteranya seperti
     sinopsis, tema, persoalan, perwatakan, plot, latar, gaya bahasa, nilai,
     dan pengajaran.
  -  Selain itu, pelajar juga mesti mengelakkan daripada melakukan banyak
     kesalahan dari aspek tatabahasa dan ejaan, kerana terdapat markah untuk
     bahasa dalam soalan ini.
  -  Jika ada masa, tulislah sebanyak mungkin isi kerana isi yang salah tidak
     akan ditolak markah, manakala isi yang betul akan diberikan markah.

  Contoh
  Jawapan mestilah berdasarkan satu daripada novel yang telah anda kaji sama
  ada di Tingkatan 1,Tingkiatan 2, atau Tingkatan 3 seperti senarai di bawah.

            1.    Meniti Kaca (Raja Sabarudin Raja Abdullah)
            2.    Anak Din Biola (Maaruf Mahmud)
            3.    Aku Anak Timur (Siti Aminah Hj. Yusuf)
            4.    Limpahan Darah di Sungai Semur (Zakaria Salleh)
            5.    Pahlawan Pasir Salak (Mohd. Ismail Sarbini)
            6.    Tragedi Empat Disember (Dzul Karnain Ithnain)
            7.    Timulawak Kapal Perang (Azmah Nordin)
            8.    Kapten Hassan Wira Bangsa Harun Johari)
            9.    Panas Salju (Talib Samad)
          10.    Merdeka! Merdeka! (A Rahman Hanafiah)
          11.    Ekspedisi (Mohd. Ghazali Tocheh)
          12.    Kanang Cerita Seorang Pahlawan (Maznan Nordin)
 
  Apakah yang dimaksudkan dengan teknik plot? Terangkan dua teknik plot yang
  digunakan dalam novel yang anda kaji.
 
  Contoh Jawapan
 
     Novel yang saya kaji ialah Novel Tragedi Empat Disember karya Dzul Karnain Ithnain. Terdapat teknik plot dalam novel tersebut. Teknik plot bermaksud cara pengarang menulis sesebuah cerita. Antara teknik yang digunakan oleh pengarang adalah seperti teknik dialog iaitu ucapan atau kata-kata yang diucapkan oleh watak. Teknik pemerian pula disampaikan secara langsung oleh pengarang kepada pembaca dengan tujuan memberi gambaran sebenar. Teknik imbas kembali pula adalah penyusunan cerita yang meminta watak mengimbau kembali masa lalu dan hal ini memberi keyakinan kepada pembaca. Teknik lain ialah seperti teknik suspens, teknik monolog dalaman, teknik kejutan dan juga teknik imbas muka.
 
     Dua teknik plot yang digunakan dalam Novel Tragedi Empat Disember ialah Teknik Monolog Dalaman dan Teknik Imbas Muka. Dalam novel ini Teknik Monolog dalaman yang digunakan adalah percakapan dalam diri watak utama iaitu Azam. Percakapan ini dapat dilihat melalui gerak hati dan biasanya penggunaan monolog dalaman menggambarkan gejolak batin dan fikiran watak. Contohnya, Azam resag dengan tiba-tiba sahaja. Entah mengapa hatinya berdebar. Hatinya tertanya-tanya – milik syarikat penerbangan manakah kapal terbang itu? Milik syarikat luar negara atau milik syarikat tempatan?
 
     Teknik imbas muka pula disampaikan melalui proses khayalan, mimpi, renungan, ramalan, kata-kata kiasan atau sindirian. Dalam novel ini teknik ini digunakan ketika Azam mengingat kembali peristiwa ketika di Jeti. Contohnya, “Jika berlaku sesuatu kemalangan, kita boleh berenang ke tepi. Kalau terlalu jauh ke tengah, kita boleh mati lemas.” Begitulah kata Azam ketika mereka akan bertolak dari pangkalan di Pantai Lido pagi tadi.
 
     Demikianlah dua teknik plot yang terdapat dalam Novel Tragedi Empat Disember. Teknik tersebut memberikan kesan yang sungguh mendalam.

 
©2009 Zainudin bin Dirin