2 Jun 2011

Za'ba-Perkongsian Ilmu

JURNAL:HARUN DAUD
PEMIKIRAN DAN SIKAP ZA'BA TERHADAP BANGSA MELAYU

Pengenalan
Haron Daud dalam awal pembicaraanya terhadap "Pemikiran dan sikap Za'ba terhadap bangsa Melayu" mengakui Zainal Abidin Bin Ahmad atau lebih dikenali ZA'BA adalah seorang pemikir Melayu dan tokoh reformis yang mempunyai sumbangan yang besar dalam perkembangan dan pembangunan orang melayu. Pendapatnya berasas merujuk dari usaha Za'ba menangani keadaan orang Melayu dari aspek kemiskinan, pendidikan dan politik amat jelas dan mengemukakan beberapa panduan untuk mengatasinya antaranya orang Melayu mesti mempunyai kesedaran mengubah sikap dan mengutamakan ilmu. Segala telahan Za'ba terhadap kemunduran dan kemiskinan orang Melayu adalah berdasarkan kepada pemerhatian semasanya akibat dari pencerobohan British. Namun suasana ini tidak di fahami oleh seluruh masyarakat dan segala sindirannya disalahertikan menghina bangsanya sendiri sebaliknya beliau telah berusaha sedaya mungkin untuk kemajuan bangsanya sama seperti tokoh lain yang sezaman dengannya seperti Syed Syeikh Al Hadi, Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad.
Namun membandingkan Za'ba dengan kelebihan tokoh lain seperti Ishak Haji Muhammmad dan Ahmad Boestamam dalam memperjuangkan keadaan bangsa Melayu ketika itu adalah tidak adil apatah lagi jika tidak mengkaji secara teliti dan meluas kehidupan Zaba itu sendiri. Walaupun mereka hidup sezaman masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk meluahkan idealisme mereka. Za'ba misalnya memilih cara penulisan dan kegiatan sosial. Yang pentingnya, dalam hati sanubari Za'ba mengakui dirinya seorang Melayu, beragama Islam dan perjuangannya ialah untuk memajukan bangsanya didalam setiap lapangan kehidupan mereka.j . keinginannya ini membawa kepada sikapnya yang lebih cenderung bersikap anti raja dan pembesar Melayu , anti kolonialisme British dan perjuangan pembebasan untuk bangsa Melayu.

Ketokohan Za'ba
Telahan penulis bahawa pendidikan inggeris dan jawatan yang diperolehi Za'ba menjadi "untaian mutiara" yang membawanya pro kepada British dan memandang rendah bangsa Melayunya boleh dipertikaikan. Contohnya telahan Za'ba tidak sesuai mengkritik Inggeris pada ketika itu adalah relevan iaitu:
"....pada masa ini belum sekali-kali layak kita memajukan perasaan demikian dan tiada faedahnya..."
Pertamanya dilihat negeri Melayu ketika itu kurang pemimpin Melayu benar-benar memahami keadaan orang Melayu ketika itu. Beberapa tokoh lain juga memperkatakan hal ini antaranya Ishak Haji Muhammmad, seorang pemimpin Kesatuan Melayu Muda ada menyatakan bahawa:
"kegagalan pergerakan orang melayu sebelum perang adalah disebabkan oleh ketiadaan pemimpin yang berkaliber"
Segelintir sahaja yang berpendidikan seperti Syed Syeikh Al Hadi memandang masa depan orang Melayu penting manakala yang ramainya adalah dari golongan atasan atau elit walaupun berpendidikan Inggeris tetapi secara sedar tidak pernah memahami kesengsaraan dan kekurangan orang Melayu di luarbandar yang tercicir dari pelbagai aspek ini. Bagi Za'ba Golongan raja-raja dan pembesar adalah kolaborator kolonialisme British di sepanjang zaman penjajahannya. Peranan sosial dan politik mereka bukannya melindungi rakyat malah jadi penghalang utama kepada pembangunan pemikiran dan fizikal orang Melayu sepertimana dalam bidang pendidikan yang menjadi aset penting untuk kemajuan dan perkembangan sesuatu bangsa terabai. Tanpa ilmu, tidak mungkin seorang itu boleh berlaku adil walaupun dia cuba berbuat demikian kerana kalaupun dia mahu melaksanakan keadilan tetapi dia tidak tahu caranya disebabkan ilmunya terbatas . dia boleh terdedah pada kesilapan secara tidak sedar.
Tiada penyediaan mantap untuk memimpin orang Melayu dan daifnya pemikiran golongan elit jelas dilihat pada cemuhan Yamtuan Negeri Sembilan terhadap orang melayu ,
"....i do not like the idea of the the children of rajas and chiefs sitting side by side with the children of people who were once our slaves."
Sikap golongan elit ini menyebabkan pendidikan terabai, bahasa Melayu mundur, ekonomi Melayu tercicir di belakang ekonomi orang asing dan politik Melayu terhina oleh penjajahan. Kesedaran tentang keprihalan ini telah benar-benar mengesani jiwanya dan Sikapnya ini jelas diperlihatkan pada awal 1920an. Oleh itu tidak salah beliau meletakkan segala kemunduran dan kekurangan orang Melayu disebabkan kebodohan dan kesombomgan golongan raja dan pembesar Melayu itu sendiri.
Keduanya, berdasarkan pengalamanya sendiri samada dari pengalaman pembacaannya dari luarnegeri seperti Encyclopaedia Of Islam (1927) serta usahanya menyedarkan orang Melayu dalam bentuk sindiran melalui penulisan telah mendapat tekanan dari golongan pemerintah tradisional dan kolonial British contohnya pada tahun 1921 Za'ba dapat amaran lisan dari Raja Sir Chulan, dituduh cuba menghasut para pembaca akhbar dan majalah melalui tulisan yang bersifat anti kerajaan, disekat kenaikan gaji tahunannya, ditukar atau terbuang ke jabatan karang mengarang SITC di Tanjung Malim 1924. Sebegitu juga tokoh yang lain menerima nasib yang sama dalam suasana yang berbeza seperti Ahmad Boestamam di tahan beberapa tahun.
Menurut penulis "setiap orang melayu yang berfikir dan mempunyai semangat kebangsaan tentu mengetahui dasar dan sikap penjajah inggeris, tinggal lagi sejauhmanakah kesedaran dan kesanggupan mereka serta langkah yang diambil untuk berhadapan denagan ranjau inggeris".
Dalam hal ini Za'ba memilih cara dalam bentuk penulisan dan kegiatan sosial berbanding tokoh lain seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad. Segala penulisannya adalah dari segala pemerhatian dan penelitian yang mendalam dan bentuk sindiran terhadap bangsanya yang mundur dan kekurangan semasa kuasa kolonial amat dahsyat adalah alternatif untuk menyedarkan bangsanya kerana bergerak bertentangan dengan arus yang deras meyebabkan diri kita dan orang lain hanyut dan lemas. Segala sindirannya itu boleh jadi panduan pada generasi sekarang sepertimana penyataan Datuk Senu ,
"jika ciri-ciri negatif ini benar, maka hal itu harus di tinggalkan dan di singkirkan. Tidak guna kita menafikan atau menunjukkan kemarahan kita terhadap pendapat dan tuduhan demikian. Sebaliknya biarkan pendapat demikian mendorong kita mencari apakah sifat yang akan membolehkan kita bertanding dengan orang lain."
Dengan itu perjuangan Za'ba pada tahun 1920an hingga 1930an adalah lebih kepada banyak bekerja contohnya menulis seberapa banyak buku yang terdaya olehnya berkaitan dengan orang melayu untuk panduan pada generasinya yang akan datang daripada banyak bercakap sahaja.
Manakala pujian Za'ba sepertimana juga Syed Al Hadi bahawa Inggeris adalah penyelamat bangsa Melayu adalah telahan terawal mereka , merasakan British dapat menahan akan gerak menggelunsur orang Melayu dari terus ketinggalan namun perkembangan seterusnya tiada siapa dapat menentukan . Za'ba sendiri ada menjelaskan kemudiannya kekejaman pemerintahan raja dan pembesar Melayu tidaklah berakhir dengan perubahan pemerintahan kepada pihak British itu. Ini kerana institusi pemerintahan tradisi dieksploitasi untuk kepentingan British. Oleh kerana itulah Sikap anti kolonialisme British timbul sejak ia melibatkan dirinya secara serius dalam penulisan rencana untuk akhbar tempatan pada 1917 dan merasakan orang British atau orang Barat atau orang Nasrani atau kaum kafir musuh Islam.
Penilaian mata kasar penulis bahawa Za'ba bersekongkol dengan kolonial British berdasarkan jawatannya sebagai seorang kakitangan di dalam pentadbiran kolonial adalah telahan mengelirukan kerana sikap Za'ba telah jelas dan tegas iaitu membantu masyarakatnya untuk mencapai kemajuan hidup di dalam berbagai lapangan sesuai dengan perkembangan di kurun ke 20 ini. Iaitu berusaha dalam bentuk apa cara asalkan ianya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Adanya beliau dalam pentadbiran kerajaan dapat menyuarakan pendapatnya mengenai orang Melayu khususnya dalam menyediakan pendidikan. Semuanya dilakukan supaya orang Melayu dan muslim mempunyai ilmu dan pengetahuan yang sesuai dengan kehendak Islam dan sesuai dengan tuntutan perkembangan zaman. Dan ianya senjata penting didalam perjuangan untuk membebaskan orang Islam dari cengkaman penjajahan Barat.
Penulis ada menyatakan bahawa Zaba, Abdullah Munshi, Syed Sheik Al Hadi dan Ahmad Rashid Talu disifatkan sebagai golongan yang "selamat" tidak mengusik atau memijak ranjau Inggeris. Gambaran penulis mengenai hal ini semata-mata melihat pengorbanan perjuangan seseorang tokoh berdasarkan tekanan fizikal sahaja seperti dipenjarakan. Sebenarnya Walaupun Za'ba tidak dipenjarakan berbanding tokoh yang lain tetapi beliau juga mengalami tekanan peribadi sepanjang perjuangannya seperti penulisannya sentiasa diawasi oleh pihak kolonial, gaji dan jawatannya di tahan dan ditukar kerja. Namun peluang ini diguna sebaik mungkin oleh Za'ba menymbangkan ideanya dalam bidang penulisan dari aspek bahasa Melayu khususnya.
Dalam hal ini tidak dinafikan sama sekali peranan tokoh seperti Ahmad Boestamam Dan Ishak Haji Muhammad dalam perkembangan perubahan orang Melayu contohnya Ahmad Boestamam telah terlibat secara langsung dalam banyak kegiatan politik tanah Melayu pada tahun 1946-1948 seperti dalam PKMM, API, PUTERA dan AMCJA. Manakala Za'ba tidak bergiat aktif dalam poltik pada tahun 1947 dan menjelaskan bahawa:
"Saya tidak percaya politik cara yang dijalankan dalam dunia sekarang akan boleh atau pernah jadi lurus, bersih dan jujur, kebolehan istimewanya adalah cenderung menulis dan mengarang keadaan fikiran dan ilmu pengetahuan."
Namun begitu beliau berjaya tubuhkan The Malay Literary Association Kuala Lumpur (1923). Ianya gagal bergerak cergas tetapi ia merupakan satu proses penyatuan di kalangan anak muda Melayu berpendidikan Inggeris sudah dimulakan oleh Za'ba iaitu melahirkan Persatuan Guru-Guru Melayu. Adanya Sahabat Pena sehingga 1942 merupakan pertubuhan yang bukan saja tersusun rapi dari segi organisasi malah tercapai hasratnya untuk melihat orang Melayu dan muslim bersatu berasaskan konsep setanah Melayu di Semenanjung Melayu.
Sukar membandingkan sejauhmana tokoh ini berperanan kerana mereka bergerak dalam cara yang berbeza. Sekiranya Za'ba dikatakan bersekongkol dengan kolonial British bagaimana pula hubungan Ahmad Boestamam dengan Jepun. Beliau telah bekerja dengan Jepun dan dalam masa yang sama cuba mendapat restu untuk bergiat dalam politik . keadaan ini digunakan pula untuk menentang Jepun . Dilihat kedua-duanya melakukan yang terbaik untuk kebaikan orang Melayu ketika itu. Za'ba berjaya meneruskan kegiatan beliau dengan cara menyesuaikan diri dengan kehendak masa dan keadaan ketika itu. Antara di SITC mengasaskan pejabat penterjemah. Walaupun Kerja yang dibuatnya sangat berat tetapi beliau berjaya menerbitkan buku siri buku teks (The Malay Scholl Series ) terjemah dokumen penting dan sediakan enakmen untuk pelbagai jabatan. Pada tahun 1929 beliau memulakan kelas bahasa Inggeris secara sukarela untuk guru-guru muda di SITC dan terbit Buku Ilmu Bahasa ( 1927 ) dan Rahsia Ejaan Jawi ( 1929 ).
Usahanya tidak kenal putus asa walaupun kesihatan terganggu dan atas nasihat doktor beliau berehat ke Indonesia. Peluang ini digunakan untuk meneliti keadaan perkembangan orang Melayu misalnya mahukan perubahan SITC sama seperti Balai Pustaka di Indonesia tetapi pendapatnya di tolak oleh Winstedt. Begitu juga pemergiannya ke Universiti London pada tahun 1947 dalam usia 52 tahun bukan bertujuan makan angin sepertimana telahan penulis sebaliknya dengan ketepikan kesihatan diri semata-mata untuk menambahkan ilmu dalam bidang bahasa dan khidmatnya kelak amat diperlukan untuk kemajuan pengajian bahasa Melayu. terbukti kembalinya ke tanahair beliau menjadi satu-satunya tenaga pengajar di Jabatan Pengajian Melayu dan membentuk Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya 29 Januari 1955. Jelas disini Za'ba berjaya meneruskan kegiatan beliau dengan cara menyesuaikan diri dengan kehendak masa dan keadaan ketika itu.
Ramai mengakui Za'ba adalah pendeta melayu yang tinggi semangat patriotismenya. Namun gelaran pendita bukanlah kemahuan nya tetapi penilaian dan pengiktirafan di atas segala usahanya kepada orang Melayu secara keseluruhannya. Bagi Za'ba :
"To me a man's value is only estimated by grandeur of his ideas and his achievement as influencing the thought and destinies of mankind for good, not by the gradeur of his 'title' or by his own estimate of himself....."

Kesimpulan
Pada peringkat awal (1916-1923), Za'ba merupakan idealis yang berani mengkritik kelemahan pemerintah, golongan pembnesar serta orang melayu secara terbuka melalui media umum. Manakala Peringkat ( 1924 -1950 ), pengawasan yang rapi daripada pihak pemerintah meyebabkan corak perjuangannya lebih sederhana dan pragmatis. Walaubagaimanapun bentuk beliau menyemarakkan idea pemikirannya terhadap bangsa melayu ketika itu tidaklah menjadi persoalan besar, pokoknya usahanya dan sumbangannya mesti dikaji kerana semuanya itu dapat menyemaikan bibit-bibit semangat cintakan negara dan bangsa Melayu untuk bebas dari kongkongan pemerintah tradisional dan kolonial British khusus kepada generasi muda hari ini yang jauh dan buta daripada perjuangannya itu.