11 Jun 2011
Pengaruh Penggunaan Bahasa SMS
PERKEMBANGAN pesat teknologi maklumat dan penggunaan gajet serba moden lagi canggih sejak akhir-akhir ini bukan saja merubah cara manusia berkomunikasi menjadikannya lebih pantas biar pun di mana berada, malah ia juga mampu merubah gaya hidup mereka. Satu daripada perubahan ketara yang berlaku sehingga menjadi satu fenomena terutama di kalangan generasi muda kini ialah penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber. Memandangkan ia sudah menjadi amalan kehidupan seharian golongan muda, penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber didapati semakin mempengaruhi kehidupan dan urusan harian mereka terutama pelajar termasuk dalam menyiapkan tugasan sekolah dan tesis pada peringkat pengajian tinggi. Bahasa yang digunakan dicampur aduk dan diringkaskan sehingga hilang ejaan, struktur ayat dan kosa kata asalnya menjadikan golongan bukan sebaya sukar memahaminya. Penggunaan singkatan SMS menerusi telefon bimbit atau laman sosial memang bukan satu kesalahan, namun kesannya terhadap pelajar jika sudah terbiasa sehingga terbawa-bawa dalam penulisan karangan atau menulis jawapan dalam peperiksaan yang mereka duduki boleh menjejaskan masa depan. Menyedari kesan negatif ini, mereka harus lebih berhati-hati dan tidak terbawa-bawa dengan gaya penulisan tidak beretika ini dalam setiap urusan rasmi. Tentunya tidak wajar bahasa singkatan ini digunakan bagi tujuan penulisan karangan di sekolah mahupun tesis atau tugasan di pusat pengajian tinggi. Pelajar harus bijak membezakan bila mereka patut menggunakan bahasa singkatan dan bila pula menggunakan bahasa rasmi standard. Guru juga tidak harus menggunakan bahasa singkatan ini ketika menulis nota, membuat catatan atau menjawab mesej daripada pelajar kerana ia boleh menjadi alasan bagi mereka terus mengguna pakai bahasa singkatan SMS dalam pelajaran. Anggaplah pendedahan yang dibuat menerusi laporan akhbar ini semalam dan kelmarin sebagai peringatan semua pihak termasuk pelajar supaya lebih berwaspada ketika membuat tugasan tertentu. Gejala bahasa singkatan SMS ini jika dibiarkan boleh menjejaskan kualiti bahasa Melayu dalam peperiksaan. Oleh itu ia harus dibendung segera dan disekat dengan berkesan sebelum menjadi semakin kronik. Pihak sekolah hendaklah mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini dan sentiasa mengingatkan pelajar agar tidak menggunakan bahasa tidak rasmi ketika menulis karangan, termasuk tesis di peringkat pengajian tinggi. Oleh kerana gejala ini berlaku secara berleluasa di kalangan pelajar Melayu khususnya, kita khuatir satu hari nanti pencapaian pelajar Melayu bagi subjek Bahasa Melayu akan lebih teruk berbanding bukan Melayu. Kegagalan pelajar menulis bahasa standard kerana sudah terbiasa menggunakan bahasa singkatan SMS atau chatting ini pada peringkat sekolah akan memberi kesan negatif terhadap keyakinan mereka menghasilkan penulisan bermutu apabila melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Justeru, adalah wajar pelajar sendiri mempunyai kesedaran untuk menggunakan bahasa betul dan tidak terpengaruh dengan bahasa singkatan SMS dan siber ketika membuat penulisan bermutu apabila melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Justeru, adalah wajar pelajar sendiri mempunyai kesedaran untuk menggunakan bahasa betul dan tidak terpengaruh dengan bahasa singkatan SMS dan siber ketika membuat tugasan sekolah sejak peringkat awal lagi
-
PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Selain dorongan ibu bapa dan tunjuk ajar daripada para guru, sikap sabar dan konsisten merupakan kunci kej...
-
Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi ,"bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat ". Semangat perpaduan ...