Majlis Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2010 |
Kuala Lumpur, 23 September 2010, Khamis- Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Y.B Tuan Haji Fadillah Yusof hari ini menyempurnakan Majlis Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2010 yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa Dan Pustaka. Pertandingan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Persatuan Logistik Malaysia (PLM) ini bertujuan untuk melahirkan generasi baharu yang lebih peka dan prihatin terhadap Bahasa Melayu. Berucap di majlis tersebut, Y.B Tuan Haji Fadillah berkata, bagi membentuk sahsiah diri dan melahirkan pemimpin muda yang berketerampilan, khususnya dalam pengucapan awam, pelajar perlu mempelajari dan menguasai seni pengucapan awam yang merangkumi teknik penyampaian, penghujahan dan pengawalan serta penyampaian idea yang bernas. Y.B Tuan Haji Fadillah turut menekankan bahawasanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Teknologi, ia sememangnya memerlukan bahan bacaan dan rujukan yang banyak, khususnya dalam bahasa melayu. “Dalam hal ini, saya difahamkan bahwa Dewan Bahasa Dan Pustaka telah menerbitkan kamus Sains Dan Teknologi yang mengandungi 7396 entri yang mencakupi bidang utama iaitu Biologi, Fizik, Kimia, Matematik, Kejuruteraan, Perubatan dan Farmasi. Kamus ini bertujuan memudahkan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya pensyarah,pelajar dan pengamal bidang Sains dan Teknologi membuat rujukan dan seterusnya membantu menyumbang kepada perkembangan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang ilmu” , katanya. Pada majlis tersebut, Y.B Tuan Haji Fadillah Yusof turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut. Johan pertandingan ini telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Pesantren Abdul Taib Mahmud, Sarawak. | |
Last Updated ( Friday, 18 February 2011 ) |