Sekolah Agama bukan lagi pilihan kedua
PEDAS : 07 Mei – Menteri Besar, Dato; Seri Utama Hj. Mohamad Hj. Hasan telah merasmikan Sekolah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Hassan Haji Sail ( Maahad Hassan al-Islami ) di Pedas, pagi tadi.Mengambil sempena nama ulama tempatan tersohor serta merupakan Mufti Negeri Sembilan yang kedua, sekolah agama ini dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Pedas (SMKAP ).
Dengan kecemerlangan akademik sedia ada di mana sekolah ini merupakan di antara yang mendapat keputusan cemerlang dalam keputusan peperiksaan tahun 2010, Menteri Besar berharap pencapaian ini akan bertambah baik di masa hadapan.
Katanya, “ gandingan tiga segi, guru, ibubapa dan pelajar merupakan jalinan kerjasama yang berperanan menrealisasikan semua kejayaan ini “.
Adalah menjadi tanggung jawab untuk terus memperjuangkan agar sekolah agama terus dibangunkan sejajar untuk perkembangan syiar Islam di Negeri ini.
Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran telah melaksanakan segala usaha seperti mendirikan sekolah-sekolah baru menggantikan sekolah lama yang usang, menambah bangunan untuk kemudahan pembelajaran serta membuat pengambilan perjawatan guru sandaran kepada guru tetap bagi memastikan sekolah agama setanding dengan sekolah aliran biasa.
Ternyata segala usaha ini berbaloi, semua sekolah agama bantuan kerajaan ini telah begitu menonjol serta berjaya melahirkan para pelajar cemerlang sekaligus menaikkan prestasi dan nama sekolah.
Masa depan sekolah agama akan terus berkembang hebat dan bukan lagi menjadi sekolah pilihan kedua bagi para ibubapa menghantar anak mereka belajar.
Menteri Besar mahu apa yang tersirat menjadi kenyataan, hasratnya mahu melihat para pelajar aliran agama ini menjadi pemimpin dalam apa jua bidang yang pastinya akan melaksanakan tugas mengikut lunas landasan agama Islam khususnya.
Menyentuh sesi sekolah agama petang yang telah dibuat dan berjalan selama lima tahun, Menteri Besar amat optimis serta gembira melihat tindakan yang diambilnya dahulu, kini begitu berjaya di laksanakan dengan bantuan semua pihak.
Para pelajar sekolah rendah yang mengikuti sekolah agama petang ini menjadi pelajar yang cemerlang dan ramai yang berjaya sehingga majlis khatam al-Qur’an terpaksa diadakan di stadium.
Kesedaran ibubapa juga menjadi antara elemen penting kepada keberkesanan pembangunan syiar Islam serta modal insan cemerlang ini disamping kerja kuat semua warga pendidik yang tidak jemu menjalankan tanggung jawab murni ini.
Di majlis perasmian nama sekolah baru ini, Menteri Besar juga telah menyempurnakan Majlis Anugerah Kecermerlangan para pelajar PMR dan SPM bagi tahun 2010 serta menyampaikan hadiah cenderamata kepada balu Allahyarham Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail.
Hadir sama. Tuan Abdul Halim Abdul Razak, Pengarah Pelajaran dan Tuan Zaifulbahri Idris, ADUN Chembung.